FACEBOOK hari ini mengumumkan penggunaan atur cara aplikasi secara langsung (Live API) untuk perkhidmatan Facebook Live. – Gambar Itele.fr

Melalui Live API, pengguna tidak lagi terhad melakukan penstriman langsung di Facebook melalui aplikasi iOS atau Android.

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerbeg berkata melalui Live API juga, pembangun boleh menyertakan sokongan penstriman langsung pada sebarang aplikasi kepada peranti mereka.

“Sebelum ini, pengguna laman sosial itu dikenali sebagai Laina berkata kepada saya, ibunya sakit sehingga terlantar di hospital. Jadi dia membuat penstriman langsung majlis perkahwinannya melalui Facebook Live, supaya ibunya dan rakan-rakannya dapat menyaksikan majlis berkenaan.

“Ini merupakan satu kisah yang sangat bermakna. Jadi hari ini juga kami akan mengumumkan sesuatu yang baru mengenai Facebook Live.

“Kami akan membukakan Live API, bagi membolehkan anda melakukan penstriman langsung Facebook Live, melalui sebarang peranti seperti dron ini,” tambah Mark ketika melakukan satu demonstrasi penstriman Facebook Live dengan menggunakan dron DJI di Persidangan F8 Facebook 2016, Fort Mason Center, San Francisco, Amerika Syarikat.

F8 merupakan persidangan tahunan ajuran Facebook, yang mengumpulkan pembangun dan usahawan yang melancarkan produk atau servis di laman web.

Pada persidangan tahun ini, Mark turut berkongsikan perancangan hala tuju Facebook bagi tempoh 10 tahun akan datang, bagi membolehkan lebih ramai dapat berhubung antara satu sama lain di seluruh dunia.

Mark juga mengumumkan kemaskini baharu bagi platform Facebook Messenger, yang memperkenalkan ciri baru seperti sokongan bot, yang menggunakan kecerdasan buatan bagi memudahkan lagi interaksi komunikasi dalam perniagaan.

“Bagi tempoh jangka panjang, kami akan membina pesawat dan satelit untuk mehubungkan lebih ramai pengguna kepada internet supaya kita dapat berinteraksi dengan senang dan realiti virtual membantu kita untuk menyelami dunia ini dengan perpektif yang baru.

“Saya selalu percaya, dengan lebih banyak suara yang akan didengari, dunia ini akan menjadi lebih baik. Saya teruja dengan masa hadapan yang kita bina bersama ini,”katanya. -Astro Awani

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share