Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa hari ini menafikan wujudnya akuan bersumpah (SD) yang didakwa diedarkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Annuar berkata, selaku kawan kepada Tengku Razaleigh, beliau berpendapat ahli parlimen Gua Musang itu tidak akan melakukan sesuatu yang melanggar perlembagaan.

Malah, Annuar juga berpendapat dakwaan yang mengatakan Tengku Razaleigh atau Ku Li mengedarkan SD menyatakan hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilakukan oleh individu yang cuba mengambil kesempatan terhadap pemimpin tersebut.

“Mustahil (ada SD). Saya juga ahli parlimen. Saya juga kawan Ku Li. Saya kenal dia dari segi cara dia dan sebagainya. Saya tak fikir dia akan buat sesuatu yang di luar daripada peraturan.

“Mungkin ada pihak cuba nak gunakan pengaruh beliau pada saat tertentu. Itu mungkin.

“Mengenali Ku Li, beliau adalah seorang yang sangat berpegang kuat pada prinsip perlembagaan. Saya boleh bayangkan apa yang berlaku. Yang pasti bukan Ku Li,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Selain itu, ditanya sama ada tiada sebarang SD diedarkan di kalangan ahli parlimen di Dewan Rakyat, Annuar berkata perkara itu tidak pernah wujud.

Katanya, sebagai seorang yang rapat dengan Tengku Razaleigh perkara mengenai SD tidak pernah ‘dibisikkan’ kepadanya.

“Tak pernah, kalau tak, tentu saya orang antara yang rapat dengannya, mesti ada dia bisikkan. Tapi tak ada pun. Baru ini kita dengar cerita itu. Nampaknya yang lebih tahu ialah orang yang bukan ahli Umno.

“Mungkin ada usaha dari pihak tertentu dan mungkin mereka lihat Ku Li orang yang orang yang tak banyak bersuara dan diam. Mungkin mereka cuba nak gunakan Ku Li,” katanya.

Ditanya mengenai pihak tertentu berkenaan, beliau sebaliknya untuk tidak menamakan mereka.

“Saya tak kata siapa-siapa. Ada percubaan pihak tertentu mungkin cuba guna Ku Li.

“Barangkali ada lihat kecewa bila Ku Li tandatangan dokumen (Deklarasi Kelantan),” katanya lagi.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini dilihat ‘agresif’ untuk menjatuhkan Najib, bekas menteri kabinet itu memberitahu perkara tersebut telah dijangka.

Ini kerana, beliau memahami cara bekas perdana menteri selama 22 tahun itu berfikir apabila negarawan itu tidak suka terhadap sesuatu perkara.

“Saya kenali Tun (Dr Mahathir). Saya fikir saya tahu cara dia kerja. Bila dia rasa sesuatu yang dia tak suka secara peribadi, beliau biasanya tidak terhenti begitu sahaja. Dia akan buat sesuatu. Itu kita faham dan bersedia dengan pendekatan sedemikian.

“Tapi di hati kecilnya saya tetap percaya Tun faham apa doa lakukan itu tak patut, cuma dia tak ada pilihan.

“Biarlah dia dengan caranya. Umno, kita boleh urus keadaan kita dengan baik,” kata Annuar.

Klik baca: Tajuddin perasan kedudukan Najib kini kukuh seperti bukit batu 

Klik baca: Najib cuba campurtangan siasatan Bank Negara – Muhyiddin

KLIK BACA: DUA ABDULAZIZ – ‘PENDERMA’ NAJIB ATAU SEORANG PEMBUNUH

MALAYSIAKINI

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share