Tidak sampai setahun pelancaran telefon pintar Galaxy S6, Samsung telahpun menayangkan telefon pintar terbaharu mereka iaitu S7 dan juga S7 Edge di Kongres Mobil Sedunia yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol baru-baru ini. – Gambar Phoneprice.in

Ura-ura mengenai perkara itu telah berjalan sejak sebulan lalu apabila laman portal berita gajet antarabangsa menyiarkan beberapa gambar yang didakwa sebagai telefon terbaharu milik Samsung.

Berita itu turut diperkuatkan lagi apabila laman sosial Samsung secara rasmi mengeluarkan sekeping gambar menunjukkan sebuah kotak hitam yang bercahaya di dalamnya pada 1 Februari lalu.

Dengan menggunakan kapsyen, ‘Nantikan kemunculan Galaxy Terbaharu’, ia telah mengukuhkan berita mengenai gajet itu yang diperkenalkan secara rasmi dalam satu majlis di Sepanyol. Majlit itu turut ditayangkan melalui internet di seluruh dunia.

Kongres Mobil Sedunia menjadi platform pelbagai jenama alat komunikasi mobil serta syarikat telekomunikasi melancarkan pelbagai produk terbaharu mereka termasuklah Sony, LG, Huawei, ZTE dan pelbagai lagi jenama lain.

Di sini juga menjadi medan kepada pemain industri untuk berhubung di antara satu sama lain dalam menjalinkan pelbagai kerjasama, bermula 22 Februari hingga 25 Februari lalu dengan tagline Segalanya adalah Mobil.

Siri S terbaharu Samsung ini masih mengekalkan ciri yang sama iaitu skrin berskala besar, namun ada beberapa kelebihan ketara yang disuntik kepada peranti terbaharu ini.

Samsung seakan mendengar permasalahan pengguna yang mahukan kapasiti memori lebih besar dan berbeza sebelum ini yang dikeluarkan dengan memori tersedia sama ada 32GB, 64GB atau 128GB.

Kini, dengan S7 dan S7 Edge, pengguna diberikan hanya dua pilihan sama ada 32Gb atau 64GB tetapi slot kad micro SD yang disediakan boleh menampung sehingga 200GB bagi keperluan pengguna.

Paling mengagumkan, peranti Samsung siri S ini turut dilengkapi keupayaan yang kalis air sehingga 1.5 meter dan kalis habuk, sekali gus menjadikan peranti ini boleh digunakan di mana-mana sahaja termasuk ke bilik mandi atau kolam renang.

Penggunaan telefon yang telah menjadi perkara wajib hari ini membuatkan Samsung membekalkan kapasiti bateri yang lebih besar agar mampu bertahan lebih lama iaitu dengan 3,000mAh untuk S7 manakala 3,600mAh untuk S7 Edge.

Bukan itu sahaja, kemudahan mengecas pantas yang diperkenalkan untuk model sebelum ini turut dibekalkan pada telefon terbaharunya, beserta dengan pengecas tanpa wayar yang lebih pantas.

Nampaknya Samsung sudah kembali kepada keperluan yang dikehendaki pengguna yang sebelum ini dilihat ingin menjadi seperti pesaing mereka, Apple.

Selain itu, pelbagai ciri lain turut dinaik taraf oleh Samsung termasuklah rekaan yang lebih menawan serta kamera untuk waktu malam dan fokus automatik yang lebih pantas dan cepat.

Ia dijangka dilancarkan di Malaysia pada pertengahan Mac ini. – AFP/Utusan

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share