TPPA akan memberikan Volkswagen peluang untuk mengeksport ke negara lain manakala Proton pula terpaksa bersaing hebat bermaksud kehilangan perlindungan – Gambar FMT

KUALA LUMPUR: Volkswagen Group Malaysia tidak menafikan yang ia akan mendapat manfaat daripada eksport jika Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Pengarah Urusannya, Armin Keller, berkata Volkswagen akan memiliki kelebihan daya saing selaku hab eksport memandangkan kilangnya di Kompleks Automotif DRB-HICOM di Pekan, Pahang ialah satu-satunya kilang pemasangan syarikat di rantau ini.

“TPPA akan memberikan kami asas untuk mengeksport ke negara lain dan saya sambut baik segala perkara yang ada kaitan dengan liberalisasi. Namun saya tak tahu perincian perjanjian perdagangan itu, justeru saya tidak boleh ulas banyak,” katanya megikut laporan berita yang dipetik daripada BERNAMA.

Sementara itu, Keller berkata, ketika ini kilang Volkswagen di Pekan mengeluarkan 20,000 unit kereta setahun.

Mengenai prospek tahun ini, Keller berkata, pihaknya menjangka pertumbuhan stabil dan akan menambah tiga lagi pusat 3S akan dibuka dalam masa terdekat, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 pusat menjelang akhir tahun ini.

“Unjuran jualan bagi 2016 tidak bertumpu kepada jumlah jualan namun lebih kepada memuaskan hati pelanggan kami,” katanya.

Keller juga berkata Volkswagen Malaysia tidak berhasrat menaikkan harga semua modelnya sekali pun nilai ringgit merosot.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share