Anak bekas Timbalan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Dr Ismail tiba-tiba mendadak mencetus kontroversi dan dituduh berfahaman liberal kerana kenangannya pada situasi di Malaysia di mana orang melayu membela anjing dan meminum arak. – Gambar ihsan The Malaysian Insider

Tawfik Ismail dilihat menyokong Perdana Menteri sedia ada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan menghentam Tun Dr Mahathir kononnya mengkhianati amanah rakyat sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri lapor The Malay Mail.

Ikuti tulisan blogger dan penulis buku politik terkenal Shahbudin Husin mengenai Tawfik Ismail yang didakwanya telah membunuh fahaman sederhana G25 serta kritikan rasional tindakan Tawfik Ismail menyokong kepimpinan sedia ada.

Oleh Shahbudin Husin

Selain umum mengenalinya sebagai anak bekas Timbalan Perdana Menteri kedua yang agak disanjung ramai, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tawfik sebaliknya tidaklah begitu dikenali walaupun pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Benut selama sepenggal antara tahun 1986 hingga 1990.

Beliau barangkali dipilih sebagai calon untuk bertanding dalam pilihanraya untuk mengenang jasa dan sumbangan ayahnya atau kerana UMNO mahu melihat waris Tun Dr Ismail terus menyumbang untuk negara, tetapi sepertimana kata pepatah “kuah tidak selalunya tumpah ke nasi”, Tawfik gagal menyerlah sebagai pemimpin politik yang diharapkan mewarisi darah perjuangan ayahnya.

Di Parlimen, walaupun beliau agak ramah dan suka berbual, tetapi penonjolannya di dalam Dewan boleh dikira gagal sebagaimana harapan UMNO terhadapnya. Lantaran itu, beliau hanya dijadikan Ahli Parlimen selama sepenggal sahaja tanpa sebarang rekod yang boleh menyebabkan namanya dikenang.

Selepas itu, namanya tidak lagi pernah di sebut di mana-mana, bahkan jika orang berselisih bahu dengannya pun, barangkali ramai yang yang tidak mengetahuinya sebagai bekas Ahli Parlimen dan anak kepada Tun Dr Ismail yang disanjung itu.

Hanya baru-baru ini saja, apabila Tawfik bercakap mengenai banyak perkara dalam temubual dengan media sempena penerbitan sebuah buku mengenai bapanya, tiba-tiba namanya sebagai anak Tun Dr Ismail disebut semula.

Antara yang disentuhnya dalam temubual itu ialah mengenai kepimpinan Najib, hasil pertemuan dengan Muhyiddin dan Tun Mahathir, kekecewaan bapanya dengan pemerintahan semasa serta mencadangkan pemansuhan Jakim.

Diketahui juga beliau kini turut menganggotai Kumpulan G25, sebuah kumpulan pesara awam Melayu ternama yang non-partisan, berjuang untuk mengukuhkan institusi serta menggalakkan kesederhanaan dalam Islam.

Selama ini yang selalu tampil bercakap dengan media atau memberikan kenyataan mengenai G25 ialah bekas diplomat, Noor Farida Ariffin, tetapi nampaknya seminggu dua ini nama Tawfik lebih menonjol dikaitkan dengan kumpulan tersebut berbanding Noor Farida.

Walaupun selepas itu Kumpulan G25 ada mengeluarkan kenyataan bahawa pandangan Tawfik dalam temubual itu adalah pandangan peribadinya, kaitan beliau dengan kumpulan itu tentu sukar dikikis. Orang akan terus mengaitkan G25 dengan Tawfik, lebih-lebih lagi apabila bercakap mengenai Muhyiddin dan Tun Mahathir, beliau turut mengaitkan kumpulan pesara itu.

Beberapa pandangan dan luahan hati Tawfik dalam temubual itu jelas tidak sederhana, malah sedikit ultra dan ekstrem terutama mengenai cadangannya agar Jakim dimansuhkan dan menolak agar Najib yang banyak masalah daripada disingkirkan.

Apa masalah beliau dengan Jakim dan kenapa hanya jabatan berkaitan Islam itu saja yang menjadi sasarannya?

Apakah hanya kerana hal-hal jabatan itu berkaitan brandy, wiski dan anjing serta keinginan menjulang hak peribadi saja sudah memadai untuk mewajarkan Jakim dimansuhkan tanpa melihat peranan dan sumbangannya yang lebih besar kepada agama dan umat Islam?

Mengapa pula kewujudan banyak kementerian dan terlalu ramai menteri dalam kabinet Najib tidak ditegurnya? Bahkan, kenapa banyak hal lain yang lebih besar yang berlaku dalam negara tidak menjadi sasarannya?

Penulis buku politik terkenal Shahbudin Husin - Foto theantdaily
Penulis buku politik terkenal Shahbudin Husin – Foto theantdaily

Mengenai Najib yang dipercayainya masih boleh dikekalkan serta dalam masa yang sama tidak dapat mengenalpasti siapa benar dan siapa salah dalam kontroversi 1MDB serta derma RM2,600 juta, sekali lagi ternampak Tawfik semakin jauh daripada naluri kesederhanaannya.

Sukarkah difahami salah atau benar dalam kemelut 1MDB berlaku sehingga berlaku pemecatan, penyingkiran dan kacau ganggu di beberapa agensi penguatkuasa kerajaan?

Sukarkah juga ditimbang salah atau benarnya bila wang berbilion-bilion masuk ke dalam akaun peribadi seorang Perdana Menteri yang pada mulanya cuba dinafikan tetapi kemudian diakui setelah tidak mampu diselindungkan lagi?

Selain itu, hujah terbaru Tawfik bahawa lebih banyak wang lesap di zaman Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri berbanding 1MDB, sebenarnya sudah pun dijawab oleh bekas Perdana Menteri itu sebelum ini dengan mengatakan semua yang berlaku ketika era pemerintahannya diketahui untung rugi serta ke mana perginya wang yang didakwa hilang itu.

Lebih dari itu, ketika wujud dakwaan kerugian dalam pelbagai projek yang diilham di era Tun Mahathir, tidak ada sama sekali tuduhan atau bukti mengenai kemasukan wang ke dalam akaun peribadinya sepertimana yang berlaku kepada Najib.

Dalam temubual yang sama juga, Tawfik turut menjangkakan jika masih hidup, bapanya tentu kecewa dengan pemerintahan yang ada sekarang kerana keadaan yang kucar kacir, hubungan kaum tergugat serta pemimpin lebih sibuk mempertahankan Perdana Menteri sahaja.

Jika begitu, kenapa Tawfik ingin menjadi sebahagian komponen yang turut mempertahankan Najib?

Apakah beliau sedar, Najib sebenarnya lebih dipertahankan kerana kepentingan peribadi dan bukannya untuk masa depan negara?

Di manakah sederhananya G25 melalui pendirian Tawfik untuk terus mengekalkan Najib yang dibelenggu isu 1MDB dan derma yang menjadi bualan seluruh dunia sedangkan dalam masa yang sama beliau juga yakin arwah ayahnya pasti turut sama kecewa dengan keadaan negara sekarang?

Sebagai bekas kakitangan awam yang berpengaruh, G25 mungkin boleh memainkan peranan baiknya untuk negara, tetapi penonjolan Tawfik tentang beberapa isu yang diperkatakannya, tidak dinafikan telah mencalar keyakinan ramai terhadap kesederhanaan kumpulan itu.

Malah, tidak mustahil ada yang beranggapan terselit sama unsur-unsur kepentingan peribadi dalam sesetengah anggota Kumpulan G25. –¬†http://shahbudindotcom.blogspot.my/

[signoff predefined=”Disclaimers”][/signoff]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share