Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya menyarankan perdana menteri mendermakan RM2.6 bilion kepada universiti itu susulan potongan bajet tahun depan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Asraf

Kumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) menyarankan Datuk Seri Najib Razak mendermakan wang RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi beliau kepada universiti terbabit, susulan jumlah tersebut tidak dilihat dalam peruntukan Bajet 2016 yang dibentangkan di Parlimen minggu lepas.

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM Muhammad Wafiuddin Rosli berkata, kesatuan mahasiswa universiti turut menuntut perdana menteri menjelaskan kegunaan dana RM2.6 bilion yang dikatakan diterima beliau daripada penderma Timur Tengah.

“Setelah meneliti Bajet 2016, kami tidak dapat cari di mana-mana dalam bajet itu, RM2.6 bilion diberikan kepada mana-mana kementerian.

“Sekiranya beliau tidak ada hasrat menggunakan wang tersebut, sudilah menderma kepada bendahari UM agar dapat digunakan bagi membangunkan universiti sebagai sebuah universiti bertaraf dunia,” katanya pada sidang media di Fakulti Undang-Undang UM, Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas Bajet 2016, kumpulan mahasiswa itu juga membidasnya menyifatkan ia “belanjawan syok sendiri”, apatah lagi dengan pengurangan peruntukan kepada institusi pengajian tinggi awam.

Wafiuddin berkata, pengurangan peruntukan itu tidak selaras dengan hala tuju negara menjadikan universiti tempatan bertaraf dunia.

Malah katanya, pengurangan peruntukan IPTA menyaksikan UM antara yang paling terjejas dan mengalami kerugian besar apabila menerima potongan paling besar dari RM638,115,900 tahun ini kepada RM463,905,500 tahun depan.

“Ini menjadikan UM sebagai ‘the biggest loser’. UM sebagai ‘universiti premier’ memerlukan dana mencukupi untuk membiayai usaha penyelidikan, penaiktarafan kemudahan, menarik tenaga pengajar yang berbakat dan melakukan proses pengantarabangsaan.

“Semua ini penting dalam mengejar kedudukan lebih tinggi dalam ranking universiti dunia,” katanya.

KLIK BACA: KORANG JANGAN MIMPI DAH KENA BEKU?  – DATUK A KADIR JASIN

Kumpulan mahasiswa yang turut terdiri daripada Progresif UM dan Kesatuan Anak Muda Baru UM (UMany) itu berkata, UM kehilangan banyak tenaga pengajar yang terkenal dan berkredibiliti seperti Farish Noor, KS Jomo dan sebagainya.

“Kini mereka tidak lagi mengajar di UM dan kita menghadapi masalah menggantikan pengajar seperti mereka di Fakulti Undang-undang.

“Bagi menjimatkan kos dan menangani kekurangan kakitangan akademik, pengajar sambilan diambil mengajar kelas tutorial. Sesetengah pensyarah, walaupun lama mengajar, masih berkhidmat mengikut kontrak.

“Kita tidak akan menjadi universiti bertaraf dunia selagi universiti tidak memainkan peranan utamanya mengajar dan mendidik generasi muda dan membekalkan pendidikan tinggi berkualiti,” katanya.

Wafiuddin berkata, perkara yang membimbangkan mahasiswa ialah kenaikan kos sara hidup yang katanya, tidak setimpal dengan dana diterima melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan biasiswa.

“Tiap-tiap tahun kos sara hidup meningkat, tetapi jumlah pinjaman PTPTN dan biasiswa diterima kita tidak meningkat.

“Kita tidak ingin melihat yuran pengajian universiti naik semata-mata kerana UM ingin mengurangkan kos pentadbiran universiti dan ini sememangnya diakibatkan pengurangan peruntukan tersebut.” – The Malaysian Insider

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share