Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berpuas hati dengan kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia yang disifatkannya kecil berbanding kutipan cukai barang dan perkhidmatan yang bernilai RM39 bilion. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempersoalkan kenaikan kecil Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana hasil kutipan yang dikutip daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST) bernilai RM39 bilion.

Jumlah keseluruhan BR1M dalam Bajet 2016 adalah RM5.9 bilion, namun ahli Parlimen Permatang Pauh itu masih mempersoalkannya.

“GST kalau difikirkan GST yang dikatakan dikutip kerajaan, seorang kena bayar setahun RM1300.

“Kalau dibandingkan dengan BR1M yang diberikan RM1000 untuk satu keluarga akan kekurangan apa yang dibagi balik, kurang daripada apa yang diambil daripada GST,” kata Dr Wan Azizah sejurus selesai pembentangan Bajet 2016 di Parlimen.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan hari ini berkata sekiranya GST tidak diperkenalkan dan masih bergantung kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), hasil negara akan berkurangan RM21 bilion jika keadaan semasa diambil kira.

“Sehubungan itu, pada 2016, dalam perkiraan kerajaan, sekira dan seandainya GST tidak dilaksanakan, dan kita masih dengan sistem SST seperti yang sebelumnya, hasil negara akan berkurangan sebanyak RM21 bilion.

“Jika dihalusi lagi, kalaulah kita kekal dengan SST, kutipan hanyalah sekadar 18 bilion ringgit berbanding GST iaitu sebanyak RM39 bilion,” kata Najib yang juga menteri kewangan.

Menurut Najib, kesannya defisit negara akan meningkat kepada 4.8%, dan bukan lagi 3.1% seperti disasarkan pada 2016.

Najib semasa memperkenalkan GST pada April lalu juga berkata akan memulangkan semula hasil tersebut kepada rakyat.

Namun, Dr Wan Azizah, mengatakan tidak yakin dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan defisit kepada 3.1% kerana setiap tahun mereka akan membentangkan bajet tambahan.

“Saya tidak yakin kerajaan akan mampu mengurangkan bajet defisit kepada 3.1%. Ini disebabkan mereka selalunya akan terpaksa bawa bajet tambahan.

“Dengan melihat keadaan ketika ini, kita tidak akan mampu lakukannya kerana kita sudah menghadapi defisit sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuang daripada menteri kewangan.

“Negara sudah dalam keadaan defisit untuk satu tempoh yang lama,” katanya. – TMI

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share