BATU PAHAT – Apalah salah seorang ibu apabila dia kerap dibelasah anak bongsunya di Parit Sulong, di sini.

Pemuda itu yang disyaki terlibat penyalahgunaan dadah akan memukul ibunya jika wanita berkenaan tidak menyerahkan wang atau barang berharga kepadanya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, pemuda berusia 22 tahun itu bertindak demikian sejak terjerumus kancah dadah beberapa bulan lalu.

Menurutnya, warga emas berumur 61 tahun berkenaan dipukul hampir setiap hari jika kemahuan anaknya tidak dituruti untuk membeli dadah.

“Terbaharu, wanita tersebut terpaksa menerima enam jahitan selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada anaknya itu, pada minggu lalu, di kediamannya di Parit Sulong.

“Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.40 petang itu, polis menerima panggilan daripada orang ramai yang membuat aduan berhubung kecederaan dialami warga emas berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, sebaik anggotanya tiba di lokasi, memang ada seorang wanita yang mengalami kecederaan di bahagian kepalanya akibat terjatuh semasa cuba melarikan diri daripada dipukul anaknya.

Din berkata, daripada laporan yang dibuat orang ramai, mangsa ketika itu sedang berehat di rumahnya dan ketika itulah dia mendengar bunyi bising, di mana anak wanita itu pulang dan meminta duit daripadanya.

“Akibat trauma setelah dipukul beberapa kali sebelum ini, mangsa ketakutan dan bergegas ke luar rumah untuk menyelamatkan diri, tetapi pada masa sama dia dikejar anaknya.

“Malangnya, mangsa terjatuh dan kepalanya terhentak pada batu. Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan tidak lama kemudian, dan susulan tangkapan yang dilakukan mendapati, suspek positif dadah.

Beliau berkata, polis percaya wang yang diminta daripada ibunya itu adalah untuk membeli dadah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan,” katanya lapor Sinar Harian.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share