Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, usaha berfikir secara inovatif bagi meraih pulangan lumayan juga penting bagi membantu negara mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi. – Gambar Flickr

Rakyat perlu memupuk sikap untuk lebih gigih berusaha dan sentiasa berfikiran inovatif bagi meraih pulangan lumayan untuk diri sendiri serta kesejahteraan negara.

Ketika membuat gesaan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, usaha sedemikian juga penting bagi membantu negara mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi.

“Namun, masih banyak yang perlu kita lakukan bagi mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi ini, antaranya kita perlu memupuk sifat gigih berusaha dan sentiasa berfikiran positif.

“Inilah yang akan membolehkan kita menjadi lebih produktif dan mendatangkan pendapatan lumayan untuk diri sendiri.

“Ini sekali gus dapat menjana pendapatan tinggi kepada ekonomi negara secara keseluruhannya,” katanya menerusi catatan terbaharu di laman blognya NajibRazak.com, hari ini.

Tegas Perdana Menteri, biarpun Malaysia sedang mengalami beberapa cabaran ekonomi yang sebahagian besarnya disebabkan faktor luaran, hakikatnya, asas ekonomi negara masih mampan dan kukuh.

“Tunjang ekonomi yang mampan adalah produktif dan produktif yang lebih tinggi mendatangkan pendapatan yang lebih lumayan.

“Sebagai contoh, apabila kita memberi sumbangan besar untuk syarikat, kita akan dinaikkan pangkat. Begitu jugalah dengan negara, jika pekerja negara itu lebih produktif, makan ekonomi negara itu mampu menjana pendapatan lebih untuk semua.

“Inilah yang dimaksudkan dengan negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Malah, menyedari kepentingan itu, kata Najib, kerajaan memberi peruntukan yang besar daripada bajet tahunan untuk sektor pendidikan dan latihan.

“Alhamdulillah taraf pendidikan rakyat kian meningkat dan produktiviti kita pada tahap ini masih mampu mengekalkan kemapanan ekonomi negara,” katanya. – Bernama

 

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE