Paduka Puteri Johor Tunku Aminah Maimunah Iskandariah menutup akaun media sosial Instagram susulan kritikan tidak memakai tudung. – Gambar Facebook

Paduka Puteri Johor Tunku Aminah Maimunah Iskandariah kini berhenti menggunakan media sosial selepas pengguna Internet membanjiri akaun Instagramnya dan mengkritik kerana tidak memakai tudung, lapor akhbar The Star hari ini.

Baginda memberitahu pemberita, komen yang ditulis menyinggung perasaannya dan beliau tidak mahu orang yang tidak dikenali menghakiminya daripada segi cara berpakaian.

“Mula-mula, saya post gambar kucing, tetapi selepas itu, orang mula meninggalkan komen yang tidak enak tentang saya tidak memakai tudung yang menyinggung perasaan saya.

“Ia kemudiannya berlarutan, hinggalah akhirnya, saya rasa mereka menceroboh ruang privasi saya.

“Selepas menerima nasihat yang baik daripada ibu bapa saya, yang risaukan kesejahteraan dan keselamatan saya, saya putuskan untuk meninggalkan semua media sosial,” katanya dipetik sebagai berkata selepas menghadiri satu majlis makan tengahari anjuran Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Binatang (SPCA) Johor Baru, semalam.

Tunku Aminah merupakan satu-satunya anak perempuan daripada 6 anak Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Idris.

Abangnya, Tunku Idris, mempertahankan beliau pada Sabtu, menggunakan Instagram untuk menyatakan bagaimana adiknya memilih untuk berpakaian adalah antara dirinya dan Allah.

“Saya cuma tahu tentang itu selepas baca dalam The Star beberapa hari lepas, semua abang saya menyokong saya, buatkan saya sangat gembira,” kata Tunku Aminah.

Walaupun apa yang terjadi menyebabkan beliau terpaksa menutup akaun Instagram miliknya, Tunku Aminah berkata beliau gembira dengan pilihan yang dibuat.

Katanya, berundur daripada dunia media sosial dan tinggal dalam “dunia kecilnya sendiri” membuatkan beliau berpuas hati.

“Saya percaya ini keputusan terbaik saya pernah buat. Saya sedar, menjadi perhatian ramai tak sesuai untuk saya, dan saya benar-benar gembira selepas menutup akaun Instagram saya awal bulan ini,” katanya. – TMI

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share