Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ditahan selama 28 hari untuk siasatan di bawah Sosma dan dipercayai berkaitan dengan 1MDB. – Gambar FMT

Bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ditahan selama 28 hari untuk siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Khairuddin, yang sebelum itu dibebaskan selepas ditahan reman sejak Sabtu lepas, ditahan semula semalam di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur.

Jumaat lepas, beliau ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di kediamannya di Mont Kiara, dipercayai berkaitan siasatan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tahanan reman itu dibuat mengikut Kanun Keseksaan atas cubaan melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Rashid, yang ditemui pemberita selepas majlis korban dan solat sunat Aidiladha di Bukit Aman hari ini, berkata polis akan merujuk hasil siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

“Ada kemungkinan kita akan dapat lengkapkan kertas siasatan lebih awal.”

Media tempatan melaporkan Khairuddin didakwa sedang merancang untuk meminta Amerika Syarikat campurtangan dalam hal ehwal Malaysia.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menganggap tindakan Khairuddin menggunakan saluran perundangan asing untuk mengenakan tekanan antarabangsa terhadap Malaysia berhubung isu 1MDB sebagai mensabotaj negara. – Bernama

khairuddin dan umie aida khairuddin-umie aida

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share