Ribuan peserta perhimpunan baju merah mula berarak menuju ke Padang Merbok. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 16 September, 2015.

Dua wartawan dipercayai daripada Astro AEC terpaksa diiringi anggota polis meninggalkan perhimpunan ‘baju merah’ di Jalan Conlay di pusat bandar raya selepas bertanya soalan berunsur provokatif kepada peserta perhimpunan itu.

Antara soalan ditanya kepada peserta ialah ‘Apakah contoh penghinaan terhadap Melayu?’ yang menyebabkan peserta menyorak dan meminta wartawan berkenaan meninggalkan perhimpunan berkenaan.

Kira-kira 10,000 peserta mula berarak menuju Padang Merbok di permulaan perhimpunan ‘baju merah’ hari ini, dengan kehadiran jumlah anggota polis yang ramai menyebabkan suasana agak tegang di pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Ratusan anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berbaris di Jalan Petaling, Plaza Low Yat dan Pudu Sentral, memerhatikan dengan rapat peserta perhimpunan yang berbaju t shirt merah dan membawa sepanduk dan plakad.

Peserta perhimpunan tiba di lokasi berbeza di Kuala Lumpur awal pagi ini dengan bas, ada yang membawa sepanduk tertera “Hidup Melayu” dan “Pertahan Kerajaan Pilihan Rakyat”.

Mereka menuju ke Padang Merbok di mana penganjur dijangka menyampaikan ucapan di hadapan khalayak.

Demonstrasi itu adalah perhimpunan balas terhadap Bersih 4 yang diadakan bulan lalu, di mana penganjur perhimpunan hari ini mendakwa Bersih 4 menghina maruah bangsa Melayu.

Presiden Pekida Jamaluddin Yusof menggambarkan perhimpunan hari ini sebagai ‘jihad’ dan berkata beliau menjangkakan 10,000 ahli daripada NGO Melayu itu akan menghadirinya hari ini.

Plakad anti Lim Kit Siang DAP - Foto TRP
Plakad anti Lim Kit Siang DAP – Foto TRP

The Malaysian Insider membuat liputan acara itu secara langsung.

2.12pm: Di Dataran Merdeka, pemimpin Umno seperti Datuk Rizalman Mokhtar, Datuk Jamal Yunos, Datuk Ismail Kijo duduk sebentar membaca doa sementara meneruskan perarakan ke Padang Merbok.

2.11pm: Peserta memenuhi kawasan depan pusat beli-belah Pavilion. Anggota polis berkawal menghalang peserta memasuki kawasan Bukit Bintang.

1.55pm: Golongan gelandangan diberikan makanan dan t shirt merah di Jalan Hang Lekiu.

1.48pm: Ada bunyi letupan mercun di PWTC dipercayai dibaling oleh seorang lelaki dari atas jejantas.

1.44pm: Dua wartawan daripada Astro diiring keluar daripada perhimpunan selepas bertanya soalan berunsur provokatif kepada peserta iaitu ‘Apakah contoh penghinaan terhadap Melayu?’.

1:08pm: Sekumpulan 5,000 orang di Jalan Conlay, menyanyikan lagu Negaraku sebelum mula berarak ke Padang Merbok.

1pm: Kira-kira 2,000 peserta berkumpul di Dataran Merdeka sementara menunggu kumpulan lain tiba untuk berarak ke Padang Merbok.

12.59pm: Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan mempelawa orang ramai mendapatkan nasi ayam goreng kunyit.

“Ambil dulu nanti saya bayar,” katanya disambut laungan “Hidup Melayu” daripada orang ramai. Beliau turut minta penjual minuman tambah stok kerana ratusan ribu lagi akan datang ke situ.

“Awak kena tambah stok, sekejap lagi ratusan ribu orang akan datang nak beli.”

12:43pm: Peserta melepasi pita kuning di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Polis trafik bantu peserta melalui jalan itu menuju Padang Merbok.

Anggota polis berkawal di Jalan Petaling dan meletakkan halangan bagi mengelak peserta baju merah memasuki kawasan itu. – Gambar The Malaysian Insider, 16 September, 2015.
Anggota polis berkawal di Jalan Petaling dan meletakkan halangan bagi mengelak peserta baju merah memasuki kawasan itu. – Gambar The Malaysian Insider, 16 September, 2015.

12:29pm: Polis menghalang kemasukan ke Jalan Petaling. Polis mengisytiharkan kawasan itu serta Plaza Low Yat dan Bukit Bintang sebagai tempat larangan kepada peserta demonstrasi.

12:14pm: Kira-kira 500 orang mula berarak dari Jalan Putera menuju Padang Merbok membawa sepanduk dan melaungkan “Hidup Melayu”.

12.02pm: Kira-kira 100 peserta berkumpul di depan Bangunan Mara. Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa dalam ucapannya berkata “hari ini adalah perhimpunan aman dan menggesa peserta berzikir dengan nama Allah ketika berarak untuk mendamaikan hati. Annuar akan mengetuai kumpulan baju merah bergerak dari Bangunan Mara.

12:01pm: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan tiba di Masjid Negara, diraikan lebih 1,000 peserta perhimpunan yang melaungkan “Allahuakbar” dan “Hidup Melayu”.

11.46am: Mood di Padang Merbok suram dan keseluruhan padang kosong, hanya ada anggota polis dan anjing.
Sekumpulan besar peserta perhimpunan kelihatan bosan dan tidak selesa ketika menanti acara bermula dan lebih ramai tiba di lokasi.

11.30am: Lebih 10,000 orang berkumpul di PWTC dan bergerak mengikut kumpulan berjalan kaki menuju Padang Merbok.

11.20am: Sekumpulan 50 orang berbaju merah menunggang motosikal mula berkumpul di depan Jalan Petaling.

Jamaluddin memberi jaminan kumpulan itu tidak berminat membuat provokasi dan keganasan, walaupun ada sentimen perkauman dalam perhimpunan itu.

“Pekida tidak suka gaduh. Kita memikirkan apa yang orang luar fikir tentang negara ini dan Pekida.

“Kita tidak mahu dilihat seperti gengster. Kita akan bersopan santun dan menghormati,” katanya.

Terdahulu, pagi ini ribuan ‘si baju merah’ mula berkumpul di jalanan di pusat bandaraya Kuala Lumpur hari ini, beberapa jam sebelum demonstrasi yang diadakan sebagai perhimpunan balas terhadap Bersih 4, hujung bulan lalu, berlangsung di Padang Merbok.

Protes itu yang dianjurkan kumpulan silat Melayu, Pesaka dan disokong beberapa pemimpin Umno dan NGO Melayu, adalah penegasan terhadap dominan Melayu.

Sejumlah besar bas tiba di pusat bandar dengan penumpang mereka berbaju T warna merah.

Peserta perhimpunan itu dilihat memegang plakad dan kain rentang tertera perkataan “Melayu Bangkit”.

Ratusan polis dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sedia berkawal di beberapa kawasan di sekitar ibu kota.

Polis sebelum ini berkata sepanjang Jalan Petaling, Bukit Bintang dan kawasan sekitar Plaza Low Yat tidak boleh dimasuki peserta perhimpunan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak akan menghalang ahli Umno daripada menyertai perhimpunan itu, tetapi tidak mengiktiraf perkumpulan itu.

Perhimpunan itu menerima kritikan daripada parti pembangkang, kumpulan masyarakat sivil dan bekas pemimpin tertinggi Umno, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Tan Sri Rafidah Aziz.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share