Baju dijual bertemakan Himpunan Maruah Melayu. Presiden Abim menggesa mufti-mufti mengeluarkan fatwa mengenai perhimpunan baju merah yang akan diadakan esok.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa para mufti bersuara bagi mengeluarkan fatwa atau penjelasan hukum mengenai perhimpunan baju merah yang bakal diadakan esok, lapor Sinar Harian hari ini.

Presidennya Amidi Abdul Manan menuntut mufti berbuat demikian agar rakyat tidak nampak seperti adanya sikap berat sebelah di kalangan agamawan.

“Jika dulu Mufti Kelantan (Datuk Mohamad Shukri Mohamad) kata, Bersih 4 haram, maka beliau juga patut buat penegasan untuk perhimpunan baju merah ini.

“Jika mufti berdiam diri, akan beri imej tidak baik, kerana dikatakan tidak berlaku adil,” beliau dipetik berkata akhbar itu.

Beliau menyifatkan tindakan penyokong perhimpunan baju merah itu yang membakar patung-patung menyerupai penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai perbuatan melampau.

Peserta himpunan tidak sepatutnya membangkitkan kontroversi apatah lagi melibatkan kaum, kata Amidi.

“Ini satu contoh tidak baik, pihak berkuasa perlu bertindak seperti mana yang berlaku pada peserta Bersih 4 yang lalu.

“Mereka patut lebih rasional, saya juga tidak rasa ahli Umno yang lain merestui perbuatan sedemikian,” katanya lapor The Malaysian Insider.

Himpunan baju merah atau Himpunan Maruah Melayu, anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), dijadualkan berlangsung esok di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE