Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Datuk A Kadir Jasin bekas pemimpin Umno yang menyertai Bersatu bersama Tun Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin - Foto Info Rakyat Blog

 Tulisan Kadir Jasin di bawah mengulas pujian pemimpin Umno terhadap pemimpin DAP dan sejarah kemenangan saman fitnah DAP terhadap Umno. 

oleh A Kadir Jasin

1. Orang Melayu, khususnya yang menjadi ahli atau penyokong Umno, jangan marah kalau parti DAP yang mereka panggil DAPig ini hebat.

2. Cuba baca perakuan (endorsement) berikut mengenai salah seorang pemimpinnya iaitu YB Yeo Bee Yin, bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Cuaca kerajaan Pakatan Harapan:

“Saya sekarang mengakui bahawa YB Yeo Bee Yin seorang yang jujur dan telus dalam pengurusan wang Skim Mesra Usia Emas.” 

3. Memang hebat pemimpin DAP ini sebab perakuan tersebut bukan daripada penerima bantuan Skim Mesra Usia Emas atau daripada mana-mana brosur propaganda tetapi daripada seorang orang kuat Umno.

4. Bukan setakat itu saja, hero Umno ini turut memohon maaf kepada Yeo atas perbuatan fitnahnya. “Saya minta maaf, YB Yeo Bee Yin,” katanya.

5. Dia ini bukan alang kepalang wira tetapi wira yang menjadi pujaan dan kebanggaan Umno serta orang Melayu yang seangkatan dengannya. Dia tidak lain dan tidak bukan adalah Datuk Seri Jamal Yunus, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor.

6. Pada tahun 2017 Yeo telah mengemukakan saman malu dengan tuntutan ganti rugi RM5 juta ke atas Jamal kerana memfitnahnya mengenai Skim Mesra Usia Emas.

7. Tapi Jamal tidak keseorangan dalam memohon maaf kerana memfitnah. Banyak lagi pemimpin Umno dan Pas yang kalah kes saman malu oleh musuh politik mereka. Ada yang hanya memohon maaf dan membayar kos mahkamah tetapi ada juga yang kena bayar ganti rugi ratusan dan jutaan ringgit.

8. Malah organisasi media pro-Umno/BN ketika parti itu memerintah pun banyak yang kalah saman malu oleh parti-parti pembangkang dan terpaksa bayar ganti rugi yang besar.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersedia menemui Nur Sajat untuk membimbingnya yang didakwa berhasrat keluar dari agama Islam. - Foto Astro AWANI

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya smemberi perhatian kepada masalah Nur Sajat yang didakwa merancang keluar dari agama Islam atau Murtad; dan yakin semua pihak memandang serius apa yang berlaku.

Mapim mengulas tindakan usahawan kosmetik, Nur Sajat atau Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang memuatnaik status seolah-olah mahu keluar daripada Islam.

Tindakan tersebut dipercayai ada kaitan dengan waran tangkap yang dikeluarkan ke atasnya selepas gagal hadir dalam sebutan kes di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, 23 Februari lalu berkenaan kes berpakaian wanita di majlis agama anjurannya.

Kenyataan Media MAPIM.

DEMI masa depan dan maruah Islam, kami bersedia bersua dengan saudara Sajat, yang mengikut video yang tular, menyatakan mahu keluar daripada Islam.

Kami amat insaf akan kekhilafan yang berlaku dan mengambil perhatian mengenai apa yang dinyatakan itu.

Kami yakin semua pihak dalam masyarakat Islam memandang berat dengan insiden ini dan umumnya merasa sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku.

Kami bersimpati kepada semua pihak yang mahu menyelesaikan isu ini dan berharap dapat mengawal keadaan agar isu ini dikendalikan dengan sebaik mungkin dan dengan hikmah.

Jalan keluar dengan menghormati tanggungjawab pihak berkuasa dan mengguna pendekatan kasih sayang dan mendidik secara penuh hikmah perlu dilakukan.

Sesungguhnya, apa yang mahu dicapai ialah Sajat, dengan penuh keinsafan, kekal dalam Islam.

Kami sangat yakin Sajat melafaz pernyataan tersebut dalam keadaan tertekan dan emosi yang tidak terkawal dan tidak dari lubuk hati yang sebenar.

Dalam hal ini, kami juga sangat berharap agar masyarakat Islam tidak menambah rumit keadaan.

Inilah saatnya seluruh masyarakat menterjemah rasa kasih sayang antara satu sama lain dan menyelamatkan saudara seagama agar kembali saling bantu- membantu demi kebaikan dan ketakwaan.

Kami memanjangkan tangan silaturrahim kepada Sajat bahawa beliau insan yang perlu bersama diselamatkan dalam menjalani ujian kehidupan yang sangat mencabar di zaman ini.

Kefahaman Sajat mengenai tanggungjawab pihak berkuasa sangat perlu dijelaskan dan kami berharap ada komunikasi yang lancar berlaku untuk mengelakkan salah faham antara dua pihak.

Sebagai badan Islam kami berasa sangat bertanggungjawab untuk turut berperanan menangani isu seperti ini dengan hikmah dan mencari titik penyelesaian yang baik.

Demi Islam dan demi maruah dan kesucian Islam kami dengan penuh harapan dan berdoa agar Sajat menjadi insan yang menyumbang kepada agama, bangsa dan negara dan tidak bertindak keluar Islam.

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Polis menahan sekumpulan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian rusuhan di Restoran Sri Pandi di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, pada Ahad.

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki dan memburu empat yang lain berhubung kejadian merusuh di hadapan sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, malam tadi.

BHOnline melaporkan Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata kedua-dua suspek ditahan di sekitar ibu negara oleh anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9).

"Siasatan mendapati kejadian jam 10 malam berpunca sekumpulan 11 hingga 12 individu tidak berpuas hati apabila tidak dibenarkan untuk membuat pesanan makanan di restoran itu.

"Ini kerana pengurus restoran sudah mahu menutup operasi perniagaan mereka pada jam 10 malam bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya hari ini.

Menurut Anuar, perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati kumpulan lelaki terbabit yang kemudian merusuh dengan menggunakan kayu dan parang memecahkan botol dan gelas di restoran itu.

Ada 11 hingga 12 pekerja termasuk pengurus di restoran itu ketika kejadian dengan tiga pekerja cedera di kepala serta kecederaan ringan lain.

Beberapa peralatan seperti kerusi dan meja milik restoran terbabit turut rosak namun tidak serius.

"Kita sudah menahan dua individu berusia lingkungan 20-an dan 30-an malam tadi, di Jalan Travers dan Brickfields dan kita memburu empat lagi individu lain yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata," katanya.

Terdahulu, beberapa rakaman video berhubung kejadian itu viral di media sosial menunjukkan sekumpulan individu membaling kerusi dan meja di hadapan sebuah restoran.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dirasakan kebanyakan rakyat dewasa menurut kajian IDE patut meletak jawatan. 

Kebanyakan orang tua (umur lebih 50 tahun) di negara ini, merasai Tan Sri Muhyiddin Yassin patut meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Demikian dapatan yang diperolehi oleh Institut Darul Ehsan (IDE) yang bertanya 8,352 individu dalam kajian yang dibuat oleh mereka.

“Sentimen paling kuat di kalangan mereka yang berusia di atas 66 iaitu 64 peratus, sementara 47 peratus dalam kumpulan berusia 60 hingga 65 tahun mahu beliau mengundurkan diri sebelum pilihan raya berikutnya.

“Sentimen menggesa beliau berhenti adalah sekitar 57 peratus dalam kumpulan berusia 50 hingga 59 tahun,” kata IDE dalam satu kenyataan hari ini, seperti lapor Malaysia Dateline.

Kajian IDE juga menunjukkan bahawa hanya dua daripada 10 rakyat Malaysia mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri sehingga penggalnya berakhir.

Tinjauan yang dilakukan oleh IDE mendapati hanya 19 peratus daripada 8,352 individu yang ditanya percaya pemimpin Bersatu itu patut bertahan hingga pilihan raya berikutnya iaitu PRU15.

Sebanyak 46 peratus responden pula berkata, Muhyiddin patut meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Undian yang dilakukan secara dalam talian dari 19 Februari hingga 28 Februari itu juga menunjukkan 29 peratus mahu Muhyiddin membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya baharu sementara 2% berkata beliau patut mengekalkan darurat untuk terus berkuasa.

IDE adalah badan pemikir pilihan raya yang terletak di bawah kerajaan negeri Selangor.

Muhyiddin menyambut tahun pertamanya sebagai perdana menteri baru-baru ini selepas membawa partinya keluar daripada gabungan Pakatan Harapan dan menarik 10 ahli Parlimen PKR daripada parti itu.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Chong Kok Yeong dan isteri Teoh Lee Hong mendakwa rumah mereka di Taman Pulai Utama, Skudai, Johor dibaling bom molotov pada 9 Feb lalu sehingga menyebabkan beberapa bahagian di halaman rumah terbakar. (Gambar AP)

Pinjam RM1,000, namun hanya terima RM350 dan kini perlu membayar RM12,000 kepada ceti haram atau ah long, dakwa suami isteri yang kini hidup dalam ketakutan gara-gara perbuatan anak yang gagal menjelaskan hutang itu.

Chong Kok Yeong, 55, dan isteri Teoh Lee Hong, 56, mendakwa rumah mereka di Taman Pulai Utama, Skudai, Johor dibaling bom molotov pada 9 Feb lalu sehingga menyebabkan beberapa bahagian di halaman rumah terbakar.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, saya percaya mereka individu sama yang menyimbah cat merah dan hitam pada 7.30 malam, 8 Feb lalu,” katanya pada sidang media di pejabat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor.

Menurut lelaki itu, anaknya yang berusia 21 tahun bekerja di sebuah kedai makan di Pulau Pinang, namun menghilangkan diri sejak 19 Feb lepas.

“Anak lelaki saya ini gemar bermain judi dalam talian dan telah meminjam RM1,000 pada awal Februari lalu, namun hanya terima RM350 dan kini ah long itu minta bayaran balik RM12,000,” katanya, menambah turut menerima surat ugutan rumahnya akan dibakar jika hutang tersebut tidak dibayar.

Chong berkata, dia juga membuat lima laporan polis, mengharapkan tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima semua laporan berkenaan.\

Sumber: Free Malaysia Today

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Dr Mahathir Mohamad berkata Muhyiddin Yassin sukar digugat parti pembangkang. - Foto Facebook Che Det

Tun Dr Mahathir memberi bayangan, tidak ada pihak atau ketua parti lain dari blok pembangkang mampu gugat kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri, walaupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekurangan sokongan MP di Parlimen.

“Mungkin tidak ada,” katanya ringkas ketika diaju soalan oleh moderator forum, apakah kerajaan PN boleh digugat, selepas Parlimen dibenarkan kembali bersidang oleh Yang di-Pertuan Agong ketika tempoh darurat.

Dr Mahathir dilapor FMT berkata demikian ketika dialog anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), bertajuk “Masa Depan Malaysia Ke Mana Kita?”

Selepas setahun PN mentadbir negara, isu jumlah sokongan Ahli Parlimen terhadap Muhyiddin tetap dipertikaikan keabsahannya. Sebelum ini, dua Ahli Parlimen Umno, iaitu Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz menarik sokongan terhadap perdana menteri.

Muhyiddin dilihat kembali memiliki sokongan apabila dua Ahli Parlimen PKR, iaitu Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon menandatangani dan menyerahkan akuan berkanun (SD), menyatakan sokongan kepada PN.

Presiden PKR Anwar Ibrahim pula berkata, penyertaan Sng dan Choong itu memberi petunjuk kerajaan PN masih belum memiliki majoriti untuk mentadbir negara, “sehinggakan perlu membeli beberapa Ahli Parlimen”.

Mahathir pula dipetik FMT berkata, tindakan Muhyiddin bersetuju melaksanakan darurat adalah salah, apatah lagi ketika memutuskan untuk menggantung Parlimen.

“Dia kata hendak ada darurat sebab Covid-19, itu tidak benar. Undang-undang sedia ada sudah cukup untuk kita bertindak atas penyakit ini. Kita sudah buat macam-macam sebelum ini untuk halang wabak ini dari berjangkit, undang-undang sudah cukup dan tidak perlu darurat.

“Perdana Menteri tidak dapat sokongan untuk kekal kedudukannya. Jadi, hendak kekal sebagai perdana menteri perlu isytihar darurat, maka dia kekal sebagai perdana menteri. Ini politik, bukannya soal Covid-19.” kata bekas perdana menteri tersebut dipetik FMT.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Pengasas Parti Pejuang diketuai Ahli Parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir sekali lagi membawa JPPM ke mahkamah. - Foto Bernama

Parti politik baharu Dr Mahathir Mohamad, Pejuang, memfailkan kes di mahkamah untuk memaksa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membuat keputusan mengenai rayuan terhadap pendaftaran parti itu.

Menteri terbabit dan JPPM dinamakan sebagai responden dalam tindakan berkenaan.

Portal FMT melaporkan dalam permohonan untuk semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi hari ini, pemohon, Setiausaha Agung Penaja Pejuang Amiruddin Hamzah mahukan deklarasi bahawa menteri terbabit gagal membuat sebarang keputusan berhubung rayuan Pejuang terhadap keputusan JPPM menolak permohonannya untuk didaftarkan.

Dalam kenyataan Amiruddin berkata, “kelalaian dan kegagalan” responden membuat keputusan melanggar kewajipan statutorinya mengikut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966.

Parti itu juga mahukan deklarasi bahawa pelanggaran kewajipan statutori oleh responden adalah tidak munasabah dan dibuat dengan niat jahat, selain cubaan tidak wajar bagi menafikan hak perlembagaan Pejuang untuk bertanding dalam pilihan raya umum dengan menggunakan logo parti itu sendiri.

Menurut FMT, beliau juga menuntut perintah mandamus terhadap Hamzah supaya memberikan keputusan berhubung rayuan parti itu dan mengarahkan JPPM menyelesaikan pendaftaran Pejuang, tujuh hari selepas perintah mahkamah dikeluarkan.

Mandamus adalah perintah mahkamah yang memaksa seorang pegawai kerajaan supaya melaksanakan tugas rasminya.

Pejuang sebelum ini mencabar kegagalan JPPM bertindak, dengan berusaha memaksa kerajaan membuat keputusan berhubung pendaftarannya.

Pejuang diasaskan pada Ogos tahun lalu sebagai parti Melayu bebas susulan perpecahan dalam PPBM, yang juga diasaskan bekas perdana menteri itu.

Pengasas lain adalah anak Mahathir, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun; Senator Marzuki Yahaya dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh.

Bekas menteri pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, juga seorang pengasas parti itu tetapi sudah meninggalkannya.

Mahathir berkata, sasaran parti itu adalah memerangi rasuah, selain mendakwa parti Melayu lain seperti Umno dan PPBM tergelincir dari landasan asal akibat wang serta kuasa.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata kartel dadah didalangi VVIP mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap minggu, namun JSJN menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bukti. - Foto FMT

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, merayu kerajaan meluluskan permohonan menambah anggota polis bagi menghadapi perang dadah, selepas dalang utama kartel berstatus Tan Sri dan Datuk dikenalpasti baru-baru ini.

Bercakap kepada media di Kem PGA Ulu Kinta hari ini, Hamid berkata polis sudah lama memperhatikan lebih lima kartel dadah yang didalangi orang kenamaan, dan mereka katanya sudah tidak boleh lari daripada pengawasan polis.

Namun, kerajaan perlu meluluskan pertambahan anggota jika mahu jenayah berkaitan dadah ditangani secara berkesan.

“Sekiranya saya perlu menyediakan tujuh dulang hati nyamuk, saya akan sediakan. Saya merayu kerana saya mahu menyedarkan semua pihak ancaman dadah ini adalah benar,” katanya.

“Saya tidak mahu dituduh sebagai Ketua Polis Negara yang gagal menangani masalah dadah.”

Hamid sebelum ini mendedahkan dalang utama sindiket penyeludupan dadah yang berselindung sebalik status Tan Sri dan Datuk sudah dikenal pasti, dan beliau mahu pastikan mereka ini dikenakan tindakan sebaik pembabitan dapat dibuktikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Hamid berkata kartel berkenaan mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap minggu, cuma apa yang menjadi halangan ketika ini masalah untuk mendapatkan bukti yang boleh mengaitkan dalang-dalang itu secara terus.

Kesukaran itu di sebalik kejayaan polis menumpaskan beberapa sindiket, dengan rampasan jutaan ringgit, dalam operasi demi operasi setiap minggu.

“Kartel dadah ini sudah tidak boleh lari,” katanya.

“Itu bukan amaran kosong…saya hanya ingin kongsikan dengan masyarakat bahawa ancaman dadah ini sebenarnya cukup berat.”

Sementara itu, mengulas perkembangan siasatan Macau Scam dan judi dalam talian yang turut membabitkan 31 pegawai dan anggota polis, Hamid berkata kertas siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard mengenainya sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis untuk tindakan lanjut.

Semua pegawai dan anggota polis tersebut kini dalam proses dijatuhi hukuman, tambah beliau.