Articles by "Umno"
Memaparkan catatan dengan label Umno. Papar semua catatan
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Datuk A Kadir Jasin bekas pemimpin Umno yang menyertai Bersatu bersama Tun Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin - Foto Info Rakyat Blog

 Tulisan Kadir Jasin di bawah mengulas pujian pemimpin Umno terhadap pemimpin DAP dan sejarah kemenangan saman fitnah DAP terhadap Umno. 

oleh A Kadir Jasin

1. Orang Melayu, khususnya yang menjadi ahli atau penyokong Umno, jangan marah kalau parti DAP yang mereka panggil DAPig ini hebat.

2. Cuba baca perakuan (endorsement) berikut mengenai salah seorang pemimpinnya iaitu YB Yeo Bee Yin, bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Cuaca kerajaan Pakatan Harapan:

“Saya sekarang mengakui bahawa YB Yeo Bee Yin seorang yang jujur dan telus dalam pengurusan wang Skim Mesra Usia Emas.” 

3. Memang hebat pemimpin DAP ini sebab perakuan tersebut bukan daripada penerima bantuan Skim Mesra Usia Emas atau daripada mana-mana brosur propaganda tetapi daripada seorang orang kuat Umno.

4. Bukan setakat itu saja, hero Umno ini turut memohon maaf kepada Yeo atas perbuatan fitnahnya. “Saya minta maaf, YB Yeo Bee Yin,” katanya.

5. Dia ini bukan alang kepalang wira tetapi wira yang menjadi pujaan dan kebanggaan Umno serta orang Melayu yang seangkatan dengannya. Dia tidak lain dan tidak bukan adalah Datuk Seri Jamal Yunus, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor.

6. Pada tahun 2017 Yeo telah mengemukakan saman malu dengan tuntutan ganti rugi RM5 juta ke atas Jamal kerana memfitnahnya mengenai Skim Mesra Usia Emas.

7. Tapi Jamal tidak keseorangan dalam memohon maaf kerana memfitnah. Banyak lagi pemimpin Umno dan Pas yang kalah kes saman malu oleh musuh politik mereka. Ada yang hanya memohon maaf dan membayar kos mahkamah tetapi ada juga yang kena bayar ganti rugi ratusan dan jutaan ringgit.

8. Malah organisasi media pro-Umno/BN ketika parti itu memerintah pun banyak yang kalah saman malu oleh parti-parti pembangkang dan terpaksa bayar ganti rugi yang besar.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Salah satu surat lantikan menggunakan kepala surat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Khidmat Pengurusan yang tular di laman sosial hari ini. - Foto GemilangDaily

Isu pelantikan Ketua Kampung di Johor menjadi kecoh selepas surat pelantikan yang tular di laman sosial didakwa oleh sesetengah pihak sebagai tidak adil dan hanya berpihak kepada satu parti.

Antara surat pelantikan menggunakan kepala surat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Khidmat Pengurusan yang banyak ditularkan adalah dari daerah Kulai, Kluang, Tangkak dan Kota Tinggi.

Surat lantikan berkenaan turut disertakan bersama nama Ketua Kampung serta maklumat nombor pengenalan diri individu berkenaan.

Sementara itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata, situasi yang berlaku itu jelas menunjukkan Menteri Besar Hasni Mohammad tidak mendukung kebersamaan dalam Perikatan Nasional yang pernah dilaungkan sebelum ini.

“Hari ini, heboh seluruh Johor mengenai surat pelantikan Ketua Kampung di mukim-mukim seluruh Johor yang kebanyakkannya berpihak kepada satu parti sahaja.

“Hal ini menunjukkan Menteri Besar Johor langsung tidak mendukung kebersamaan dalam Perikatan Nasional yang beliau sendiri pernah laungkan sebelum ini untuk memberi hak kesamarataan bersama parti komponen yang memimpin negeri ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilapor Free Malaysia Today.

Shamsuddin dipetik FMT berkata, ARMADA Johor menantikan satu penyelesaian yang tegas, bijak dan harmoni dalam memastikan agenda memperkasa masyarakat secara holistik dapat dicapai.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
oleh Ismail Hashim Yahaya

Sejak kenyataan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal yang mengingatkan Umno supaya akur bukan lagi menjadi kuasa besar dalam politik negara, banyak ulasan dan kritikan dibuat berhubung kenyataan tersebut.

Ada yang menyatakan kenyataan tersebut bersifat ego dan tidak menghormati sebuah parti politik yang besar di negara ini.

Wan Fahsyal berkata situasi politik pada masa kini menuntut semua parti bekerjasama memastikan agenda politik parti masing-masing dapat dijayakan. Sekiranya tidak bekerjasama, kita semua rugi dan berkemungkinan kalah nanti.

“Bersatu masih mengharapkan Umno bersama Perikatan Nasional (PN) supaya pertembungan tiga penjuru dapat dielakkan,” katanya dalam sidang media.

Ini mungkin ada kaitan dengan laporan media yang menyatakan bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Jika kita meneliti kenyataan Ketua Armada Bersatu dapat difahami bahawa Umno sudah menjadi rebutan beberapa pihak iaitu kerajaan dan kumpulan pembangkang.

Agaknya inilah kenyataan yang harus difahami atau diterima Umno sebagaimana yang dijelaskan Wan Fahysal bahawa Umno bukankan lagi Abang besar dalam senario politik negara.

Rebutan di sini bukan sahaja dimaksudkan persaingan mendapat sokongan ahli parlimen Umno bagi mencukupkan bilangan kerusi parlimen sama ada untuk mempertahankan kuasa atau membentuk kerajaan baharu, juga percaturan kerusi dalam menghadapi PRU-15 ini.

Rebutan dimaksudkan juga bagi Umno memilih pihak mana yang akan mereka sertai. Oleh itu, ahli parlimen Umno sedang berebut untuk menyertai pihak mana yang menjadi pilihan mereka.

Ini situasi getir bagi Umno kerana kedudukanya sudah berubah sejak kekalahan mereka pada PRU-14 dahulu.

Walaupun Umno adalah parti terbesar gabungan, seperti yang dijelaskan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Johari Abdul Ghani, sama ada kerajaan atau pembangkang, di mana perlu memainkan peranan dominan demi mewujudkan kestabilan politik, namun sejauh manakah apa yang disebutkan beliau berpihak kepada realiti yang diinginkan.

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob meminta agar ahli parti itu terus memperkukuhkan Umno dan mengelakkan perpecahan.

Dalam satu kenyataan, Ismail menegaskan pentingnya penyatuan orang Melayu dalam menghadapi politik yang disifatkannya semakin mencabar.

Kenyataan Ismail itu dibuat ketika pergolakan dalaman Umno dikatakan semakin meruncing.

Bagaimanakah Umno hendak atau perlu memainkan peranan yang dominan sekiranya kedudukan Umno sendiri berada dalam keadaan tidak stabil?

Umno merupakan parti terbesar dalam PN dengan 39 kerusi Parlimen. Bersatu pula memiliki 31 kerusi Parlimen tetapi ia berada dalam keadaan terumbang-ambing sekarang.

Terdapat spekulasi yang menyatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi “kata dua” kepada Umno, untuk memutuskan selewat-lewatnya esok, sama ada masih ingin bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU akan datang atau tidak.

Namun, tiada pengesahan berita tersebut. Umno dijangka membuat keputusan sama ada untuk meneruskan kerjasama itu pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 27 dan 28 Mac nanti.

Terdahulu, sebanyak 189 daripada 191 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ketika mesyuarat agung yang berjalan bulan lalu.

Adakah Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 27 dan 28 Mac ini akan menjadi medan perebutan kerusi presiden Umno?

Buku terjudul 30 Dalil Mengapa Ahmad Zahid (ingat pula kepada buku 20 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh PM, masih menggunakan perkataan dalil, tiada idea kreatif langsung)) perlu letak jawatan sebagai presiden Umno itu dikatakan sudah beredar dalam kalangan ahli Umno.

Adakah naskhah yang menyerang bekas timbalan perdana menteri itu adalah hasil tangan pihak yang cenderung bekerjasama dengan PN tidaklah dipastikan?

Jika diteliti kenyataan Wan Fasyal ia mempunyai makna tersirat juga bahawa suatu pembentukan kerajaan akan berlaku dalam masa terdekat mungkin pada Mac ini.

Ini kerana apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bertitah Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

Sekiranya Parlimen dipanggil untuk bersidang maka percaturan kerusi adalah penting kerana kerajaan PN telah kehilangan majoriti dalam Parlimen maka agenda Kovidotkrasi – politik di sebalik pelitup – akan mengatur geraknya melalui strategi halimunannya, mungkin juga segala perbincangan menggunakan aplikasi media sosial iaitu Clubhouse umpamanya.

Maka Umno tidak lagi boleh berangan hendak berkuasa seperti dahulu sebagai parti tunggal yang menentukan kemenangan dalam pilihan raya.

Ini kerana untuk pembentukan kerajaan baharu atau pun mengadakan pilihan raya Umno harus bekerjasama memastikan agenda politik parti masing-masing dapat dijayakan.

Umno seolah-olah kena akur kepada Bersatu yang berkuasa dalam kerajaan PN atau membuat keputusan politik.

Umno bukan lagi sebuah “a force to be reckon with” disebabkan pepecahan seperti yang dijelaskan Ismail Sabri. Para pemimpin dan ahli parlimennya sendiri yang membuatkan Umno jadi lemah.

Walaupun bukan semua tetapi terdapat kalangan mereka mengutamakan kepentingan diri dan kelompok daripada kepentingan parti dan orang Melayu itu sendiri.

Kenyataan ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan bahawa hidup mati Umno bukan di tangan Bersatu, sebagai membalas kenyataan Ketua Armada Bersatu, Wan Fayhsal.dan Umno yang mempunyai tiga juta ahli masih relevan dan kukuh kerana dikuatkan dengan akar umbinya yang setia itu masih boleh dipertikaikan.

Persoalannya ia bergantung kepada sejauh manakah kesetiaan para pemimpin dan ahli parlimennya kepada parti mereka? Ini kerana ada yang cenderung kepada Bersatu, menyokong PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahahir Mohamad.

Ini akan menjadikan sejumlah 3 juta ahli Umno keliru dan bingung. Akan ada gangguan kepada tumpuan mereka menyokong Umno sebagai kesatuan parti atau menyokong pemimpin atau kelompok tertentu.

Penyatuan sekadar kenyataan retorik kerana tidak memaparkan realiti yang berlaku sekarang. Kuasa dan penyatuan Umno telah dicarik-carik dalam logika kerjasama dan kalangan ahli-ahli parlimennya demi survival politik mereka tidak akan berani mempertaruhkan kedudukan dan kepentingan mereka dalam naratif dan wacana masa kini.

Apakah yang dapat dilakukan akar umbi Umno sekarang, sanggupkah kepada menentang ketua bahagian, ketua cawangan atau ketua pemuda dan wanita dan adun dan ahli parlimen jika wujud bukti kecederungan dan bersengkongkol dengan Bersatu (PN) pembangkang (PH) dan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad (walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menolak permohonan pendaftaran Pejuang) ?

Adakah Umno berharapkan Pas bertanding dalam pilihan raya ke-15 atau dalam pembentukan kerajaan baharu, dapatkah Umno mengemudinya jika tolak bekerjasama dengan Bersatu dan PN?

Sanggupkan Pas yang bersama PN itu hendak bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) berjuang dalam pilihan raya tanpa Bersatu dan PN?

Dalam perebutan kuasa ini di samping vaksin, teringat pula di manakah agenda dan perancangan lebih tegas dalam menyelamatkan nyawa, jaminan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam mendepani penularan wabak pandemik Covid-19?

*ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran di Universiti Selangor (Unisel).

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
PRU15 Presiden Umno Zahid Hamidi berpeluang menjadi Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin Yassin jika Umno meninggalkan PN dan Bersatu - Foto Finance Twitter

oleh Shahbudin Husin

Dalam PRU15 akan datang, dua matlamat yang ingin dicapai UMNO ialah menang pilihanraya dan mendapatkan kembali jawatan Perdana Menteri.

Lantaran itu, keputusan terbaru yang difahamkan diputuskan oleh MT UMNO iaitu menolak kerjasama dengan PN dalam PRU15 akan datang serta tidak menerima tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri, ia adalah sesuatu yang munasabah untuk mencapai dua matlamat tersebut.

Selain itu, keputusan MT UMNO itu juga selaras dengan usul putus hubungan dengan Bersatu yang telah diluluskan oleh majoriti UMNO bahagian-bahagian seluruh negara, baru-baru ini.

Hanya dengan tidak bekerjasama dengan PN dan Bersatu saja merupakan laluan lebih terbuka untuk UMNO menang PRU15 dan seterusnya menduduki semula kerusi Perdana Menteri.

Sebaliknya, jika UMNO bekerjasama dengan Bersatu dan PN, sementara menang PRU15 belum pasti, yang lebih dulu terpaksa dikorbankan ialah banyak kerusi Parlimen serta jawatan Perdana Menteri kepada Bersatu.

Tujuan Bersatu menarik UMNO bekerjasama dengannya tidak lain ialah bagi memperolehi banyak kerusi untuk mereka ditandingi, selain supaya Muhyiddin Yassin dikekalkan lagi sebagai Perdana Menteri.

Dengan itu, UMNO cuba digula-gulakan dengan tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri, tetapi dari segi jangka panjang dan mungkin hingga akhir zaman, menerima tawaran itu akan terus menjadikannya hilang peluang untuk mendapatkan semula jawatan Perdana Menteri.

Lebih daripada itu, jika setuju bekerjasama dengan Bersatu dan PN juga, UMNO sebagai parti lebih besar akan terus menjadi ‘khadam’ yang dibuli oleh Bersatu dan Muhyiddin yang diketahui umum gerakan politiknya banyak dipapan-caturkan oleh Hamzah Zainuddin serta Azmin Ali.

Tetapi, apabila UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu dan PN, pertandingan dalam PRU akan datang pasti menjurus kepada persaingan tiga penjuru antara BN, PH dan PN.

Dalam senario rasa meluat rakyat sedang memuncak kepada politik Muhyiddin dan kerajaan sekarang serta dijangka berterusan hingga ke peti undi, harapan PN untuk menang banyak kerusi dalam PRU akan datang adalah tersangat tipis.

Walaupun dalam PN ada Bersatu dan Pas, kelompok pengundi Melayu/Islam jauh lebih meyakini UMNO yang sederhana, memiliki barisan kepimpinan berwibawa serta punya rekod memimpin negara berbanding kedua-dua parti tersebut.

Di kerusi-kerusi Melayu, tambahan lagi dengan Bersatu tiada akar umbi dan jumlah cawangannya di sesetengah bahagian pula lebih sedikit daripada jumlah jari di kiri kanan tangan, BN dijangka akan meraih lebih banyak kemenangan berbanding PN.

Keberadaan PAS dalam PN dan untuk membantu Bersatu dirasakan turut tidak mampu menyumbang kelebihan kerana pengundi Melayu/Islam kini rata-ratanya sedar parti Islam itu adalah parti paling tidak berguna setelah mereka merasa nikmat kuasa.

Semua perjuangan dan gembar-gembar perkara-perkara yang kononnya dituntut Islam dan akan dilaksanakan apabila beroleh kuasa, kini disedari rakyat hanyalah auta dan temberang belaka.

PAS dalam PRU akan datang sukar mengelak daripada dihukum pengundi, malah kelakuannya yang menyertai PN kerana lebih tertarik kepada Bersatu, sedangkan sudah ‘bertunang’ dengan UMNO dalam Muafakat Nasional [MN], hanya menyerlahkan perangai galak dan tidak setia parti Islam itu.

Tanpa keraguan sebenarnya, walaupun BN mungkin mustahil mampu menang melebihi 112 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan secara sendirian, tetapi jumlah kerusi kemenangannya tetap diyakini melebihi PN.

Persaingan sebenar BN untuk siapa menang lebih banyak kerusi hanya PH semata-mata.

Sedemikian, jika UMNO dan BN menang lebih banyak kerusi berbanding PN, maka dialah yang berhak memulakan rundingan untuk menubuhkan kerajaan.

Jika bekerjasama dengan PN sudah cukup untuk membentuk kerajaan, mungkin turut disertai dengan GPS daripada Sarawak, maka BN boleh memulakan inisiatif ke arah itu.

Begitu pun, jika PN tidak cukup kerusi, BN boleh pula beralih kepada PH untuk membentuk kerajaan baharu, di samping tidak melupakan GPS yang memang selesa bergerak bersendirian.

Yang penting, melalui jumlah kerusi yang BN diyakini menang lebih banyak berbanding PN, UMNO tidak saja akan kembali menerajui kerajaan selepas PRU akan datang.

Lebih penting dapat merampas kerusi Perdana Menteri yang kini dipegang Muhyiddin untuk menjadi miliknya semula. 

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Menurut Najib sesiapa yang mahu masuk semula UMNO tidak boleh mengenakan apa-apa syarat dipercayai merujuk Tun Mahathir. - Foto FMT

Sesiapa pun individu yang telah keluar daripada UMNO boleh memohon semula sekiranya mahu kembali bersama parti itu.

Namun, mereka itu tidak boleh mengenakan apa-apa syarat sebaliknya menerima segala dasar dan individu lain yang berada di dalam parti itu.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak memberi mesej tegas kepada mereka yang telah keluar daripada UMNO termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sesiapa boleh mohon untuk balik (semula) kepada UMNO... Tetapi orang macam saya, kami ini semua, kita setia dalam UMNO, tidak pernah keluar daripada UMNO.

"Mereka yang keluar daripada UMNO, hendak kembali kepada UMNO, boleh dipertimbangkan.

"Namun, mereka tidak boleh kenakan syarat, dia kena terima. Dia mahu masuk UMNO, terimalah dasar UMNO, terimalah sesiapa yang ada dalam UMNO.

"UMNO adalah parti yang bukan milik mana-mana individu atau Presiden parti sekalipun, ataupun bekas presiden parti, tidak! UMNO adalah milik tiga juta ahlinya," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI, hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir dalam program bersama SINAR HARIAN dilapor meletakkan syarat sekiranya ada pihak yang mahu beliau kembali kepada parti Umno.

“Yalah, kalau UMNO pegang balik kepada dasar awalnya berjuang untuk bangsa, untuk negara, untuk agama saya boleh kembali kepada UMNO tetapi ‘penyangak-penyangak’... apa semua (itu) saya tidak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya 

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata demikian pada program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar baru-baru ini.

Untuk rekod, beberapa pemimpin Umno telah dijatuhkan hukuman bersalah di mahkamah atas beberapa kesalahan seperti penyelewengan atau rasuah, seperti bekas presiden Umno Najib Razak, Isa Samad dan Tengku Adnan Tengku Mansor. Manakala Presiden Umno terkini Zahid Hamidi masih dibicarakan di mahkamah.

Sementara, Mahathir ketika diwawancara Portal berita Malaysia Gazette pula berkata, beliau tidak boleh memaafkan Najib yang didakwanya menghancurkan Umno.

“Tidak, itu berbeza. Saya tak boleh maaf orang yang hancurkan parti saya.

“Itu dia (Najib) buat, dia buat betul-betul sampaikan orang benci pada Umno,” katanya ketika ditanya jika beliau sedia memaafkan Najib sepertimana beliau memaafkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Ku Li pemimpin dihormati rakyat malah Dr Mahathir sendiri pernah berjumpa dan berbincang dengan beliau bagi mencari kaedah terbaik perpaduan orang Melayu. - Foto Astro Awani

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah digesa segera menganjur rundingan untuk mempelawa bekas presiden parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke pangkuan UMNO.

Veteran UMNO, Tan Sri Yussuf Latiff dilapor SINAR HARIAN berkata, UMNO harus menyambut baik kenyataan Dr Mahathir yang menegaskan beliau boleh kembali kepada UMNO jika parti terbesar orang Melayu itu kembali berpegang kepada dasar awalnya iaitu berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

Menurutnya, Tengku Razaleigh atau Ku Li antara pemimpin yang masih dihormati oleh semua pihak malah Dr Mahathir sendiri pernah berjumpa dan berbincang dengan bekas Menteri Kewangan berkenaan bagi mencari kaedah terbaik perpaduan orang Melayu.

“Tengku Razaleigh mempunyai kapasiti sebagai penasihat UMNO dan boleh menasihati semua pihak supaya berlapang dada dan berjiwa besar untuk menerima semula Dr Mahathir demi kepentingan bangsa, agama dan tanah air," katanya dipetik Sinar Harian.

Beliau turut berpandangan bahawa pemimpin UMNO sekarang perlu memikirkan masa depan orang Melayu dan mengetepikan kepentingan diri dan jawatan mereka.

“Sudah tiba masanya pemimpin UMNO benar-benar membuktikan mereka berjiwa besar jika mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang.

"Mereka harus menerima sesiapa sahaja yang mahu kembali menyokong dan memastikan UMNO menang pada pilihan raya nanti,” katanya.

Yussuf berkata, Dr Mahathir juga perlu kembali ke pangkuan UMNO sebagai mengenang perjuangan pemimpin terdahulu iaitu Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

Menurutnya, kesemua pemimpin itu berkorban demi parti dan negara tanpa sebarang kepentingan diri malah tidak mengaut sebarang kekayaan peribadi walaupun ditawarkan.

Katanya lagi, sekiranya tidak bersetuju dengan individu atau pemimpin dalam parti sekalipun, UMNO tidak seharusnya menjadi mangsa sehingga hilang kuasa pemerintahan atau dibatalkan pendaftarannya.

“Dr Mahathir boleh duduk semeja dengan Tengku Razaleigh bagi berbincang memberi cadangan mengenai perubahan yang harus dilakukan oleh UMNO bagi memastikan UMNO kembali berkuasa demi memperjuangkan nasib orang Islam dan Melayu yang kini sering diperkotak-katikkan,” katanya.

Dengan penyertaan Dr Mahathir, parti yang lahir atas serpihan UMNO seperti PEJUANG digesa dibubarkan dan seterusnya menyertai UMNO seperti yang pernah dilakukan oleh Parti Melayu Semangat 46.

Dr Mahathir dalam program Wawancara Khas Bersama Tun M anjuran Sinar Harian mengakui beliau boleh kembali kepada UMNO dengan syarat parti itu dibersihkan dari rasuah dan kembali kepada perjuangan asalnya.

Beliau turut mengakui masih sayangkan UMNO apatah lagi pernah menjadi presiden selama 22 tahun namun sayang itu tidak kepada pemimpinnya membuta tuli tetapi menilai setiap perbuatan mereka.

Dr Mahathir juga bertegas tidak akan bekerjasama dengan mereka yang terbabit dalam kes rasuah.

Beliau pernah menyatakan kekecewaannya akan kesanggupan Muhyiddin bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan meskipun parti itu masih belum diadili dan dipastikan benar-benar sifar rasuah.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Dr Mahathir senantiasa memperjuangkan nasib orang Melayu dengan cara tersendiri meski terdapat kelemahan tertentu namun masih dikira berjaya mengangkat nama bangsa. - Foto Astro Awani


Lebih 80 tahun memperjuangkan nasib orang Melayu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak akan pernah berhenti berbuat demikian.

Menurutnya, sejak dari dulu beliau melihat sendiri nasib orang Melayu dan baginya, kuasa orang Melayu semakin merosot kerana mereka berpecah.

“Kalau saya tarik diri dan tidak suarakan pendapat saya, saya berpendapat bahawa, ini pendapat saya, masa depan orang Melayu sangat gelap.

“Sebab itu, walaupun saya dah berumur 95 tahun sekarang, saya masih berminat untuk menjalankan tugas yang saya serahkan kepada diri saya sendiri, bukan siapa-siapa suruh pun,” katanya dipetik Astro AWANI dalam siaran langsung bersama Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya, dengan pengalaman terlibat dalam dunia politik lebih 80 tahun, beliau bersedia untuk berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja yang bertanya kepadanya.

“Saya ingat saya mempunyai banyak pengalaman yang boleh diguna oleh sesiapa sahaja. Sebab itu kalau orang datang jumpa saya dan minta saya buat sesuatu, jadi saya cuba buat sesuatu.

“Setakat ini, buat sesuatu bermakna saya boleh sumbang pendapat yang saya yakin orang lain tidak ada kerana tiada yang menjadi Perdana Menteri sekian lama,” ujarnya.

Dr Mahathir dilapor Astro AWANI turut mengulas berkenaan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan beliau mendakwa pendaftaran parti itu masih tertangguh kerana kerajaan tidak mahu ada parti ditubuhkan untuk menentang kerajaan.

Tegasnya, dari segi undang-undang, Pejuang seharusnya boleh didaftarkan kerana mereka sudah mengikut peraturan ditetapkan.
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Naib Presiden UMNO dilaporkan berkata sebelum ini, isu jawatan TPM tidak pernah didiamkan kerana parti berkenaan merupakan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan. - Foto Astro Awani

Tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada UMNO dianggap cara terbaik untuk mengelakkan pertembungan antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya umum kelak.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib, berkata saranan memberikan jawatan itu kepada UMNO adalah wajar terutamanya dalam meraikan hubungan strategiknya dengan Bersatu.

“Tak salah untuk lantik mana-mana pemimpin UMNO yang terkemuka, yang sedang berada dalam Kabinet hari ini. Mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk dilantik menjadi TPM.

“Pelantikan ini tidak memberi kesan kepada pentadbiran kerana keutuhan jawatan Perdana Menteri masih jelas dan beliau boleh koordinasi Kabinet dengan baik,” katanya kepada Astro AWANI.

Menurutnya, kestabilan politik adalah elemen penting dalam pentadbiran negara dan seharusnya ia menjadi tumpuan utama kerajaan.

“Tindakan itu (beri jawatan TPM) juga menjuarai hasrat penyatuan parti-parti yang berada dalam rumpun UMNO... Bersatu dan Pas juga mempunyai ideologi hampir sama iaitu nasionalis Islamik pragmatik.

"Bila UMNO dan Bersatu berasal daripada satu rumpun, sepatutnya mereka lebih mudah berbincang dan bekerjasama menjayakan penyatuan parti Melayu Islam bersama Pas,” ujarnya.

Baru-baru ini, UMNO akan membangkitkan semula kedudukan jawatan TPM kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengepalai parti BERSATU sebaik sahaja perbahasan pembentangan Belanjawan 2021 selesai di Dewan Rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu jawatan TPM tidak pernah didiamkan kerana parti berkenaan merupakan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini.

Lebih-lebih lagi, tegas Ahli Parlimen Bera itu, apabila tiada pemimpin UMNO diberikan jawatan tertinggi dalam Kabinet selain Menteri Kanan Pertahanan yang disandang beliau ketika ini.

MESTI BACA: "Selepas Vaksin, Darurat Politik, Takda Alasan Lagi Gantung Parlimen," Kata Rafidah Aziz

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Najib  mencelah dalam saman pelucutanhak melibatkan wang tunai dan barangan kemas yang disita oleh pihak berkuasa dari Pavilion Residences di Kuala Lumpur pada tahun 2018. - Foto The Guardian

Umno mempunyai akaun rahsia yang tidak diaudit bagi menerima sumbangan politik, kata pendakwa raya hari ini. 

Malaysiakini melaporkan perkara itu didedahkan ketika pihak pendakwaan menyanggah dakwaan bahawa wang tunai RM114.16 juta, yang dituntut oleh bekas perdana menteri Najib Razak dan Umno dalam saman pelucutanhak berkaitan 1MDB terhadap Obyu Holdings, adalah milik parti itu.

Dalam hujah bertulis oleh timbalan pendakwa raya Faten Hadni Khairuddin hari ini, pihak pendakwa mendakwa ini kerana sebilangan pemimpin Umno sendiri menafikan mereka tahu mengenai dana tersebut.

Pihak pendakwaan mendakwa bahawa kenyataan polis yang dirakam dari beberapa pemimpin parti, seperti bekas setiausaha agung Tengku Adnan Tengku Mansor, dan bendaharinya, Ahmad Husni Hanadzlah dan Salleh Said Keruak, menafikan mereka tahu bahawa Najib sepatutnya menyimpan wang berkenaan bagi pilihan raya umum 2014. Mereka mendakwa bahawa dana itu adalah hasil aktiviti haram dan berasal dari 1MDB.

Pihak pendakwaan berpendapat adalah mustahil presiden parti sekarang, Ahmad Zahid Hamidi mendakwa wang tunai berjumlah RM114.6 juta itu adalah dana Umno kerana ia terdiri daripada mata wang asing. "Wang itu dijumpai daripada 35 beg yang dirampas oleh polis seperti yang disahkan oleh Superintendan Foo Wei Min dalam afidavitnya daripada serbuan itu.

Ia juga terdiri dalam pelbagai mata wang dan pelbagai denominasi. "Ahmad Zahid sendiri menafikan sumbangan politik itu dalam mata wang yang berbeza, ”dakwa pihak pendakwaan dalam hujah bertulis bagi menyanggah Najib dan Umno yang mahu mendapatkan semula aset yang dirampas.

Pasukan pendakwaan - yang diketuai oleh DPP Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berkata terdapat akaun rahsia yang tidak diaudit yang disimpan oleh Umno di sebuah bank di Malaysia. Mereka berpendapat keberadaan akaun yang tidak diaudit itu merupakan kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966, dan dengan itu tiada keperluan bagi Najib menyimpan sejumlah besar dana dalam pelbagai mata wang asing secara peribadi.

"Ahmad Zahid, Tengku Adnan, Ahmad Husni dan Salleh, yang mana keterangan mereka telah direkodkan, menafikan adanya sebarang sumbangan politik dalam bentuk mata wang asing. “Malah, bukti dari bendahari Umno (tidak disebutkan namanya) terdapat satu lagi akaun bank tidak rasmi dan tidak diaudit yang telah digunakan oleh Umno sejak tahun 1988 untuk menerima sumbangan politik.

"Sumbangan politik yang tidak diaudit secara tunai juga melanggar Seksyen 14 (1) (d) dan (b) Akta Pertubuhan. "Tuntutan Umno sebagai pemilik (RM114,164,393.44) bercanggah dengan saksi dari parti itu sendiri dalam keterangan saksi mereka.

Tuntutan ini, jika benar jelas melanggar pelbagai peruntukan dalam perlembagaan parti itu. “Wang tunai yang tidak dihitung, tidak diverifikasi dan tidak diaudit juga menyalahi pelbagai peruntukan dalam Akta Pertubuhan, yang boleh mengakibatkan Umno dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan, ”dakwa pihak pendakwaan.

Najib tetap mengelak dan enggan mendedahkan identiti penderma berkenaan walaupun dalam prosiding yang berlangsung di mahkamah.

Pihak pendakwa berhujah bahawa jika benar wang tunai yang dirampas itu adalah derma politik, pastinya tidak sukar bagi Najib untuk mendedahkan sumber dan identiti penderma.

"Dakwaan yang dikemukakan oleh Najib dan Umno bahawa wang tunai yang dirampas adalah derma politik adalah lemah jika dibandingkan dengan bukti yang menunjukkan sebaliknya," katanya.

Pada 3 September 2019, Najib adalah antara pihak ketiga yang mencelah dalam saman pelucutanhak melibatkan wang tunai dan barangan kemas yang disita oleh pihak berkuasa dari Pavilion Residences di Kuala Lumpur pada tahun 2018. Pihak ketiga yang lain dalam saman pelucutanhak tersebut adalah isteri Najib, Rosmah Mansor,

Umno dan syarikat barangan kemas Global Royalty Trading SAL. Najib dan Umno, melalui peguam mereka Muhammad Shafee Abdullah dan Hariharan Tara Singh, akan membalas hujah pendakwaan semasa prosiding di mahkamah pada 11 dan 15 Mac.
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Mohd Saufi dan isteri, Dahlia bersama anak mereka, Nur Dhiyalissya serta Nur Dhiyadheliena tinggal dalam sebuah bangsal kecil di Pantai Mek Mas, Kota Bharu sejak November tahun lalu.

KOTA BHARU: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul beban. Inilah situasi yang dilalui empat sekeluarga yang terpaksa tinggal dalam sebuah bangsal kecil di Pantai Mek Mas setelah hilang punca pendapatan sejak November tahun lalu.

Mohd Saufi Ibrahim, 41, dan isteri, Dahlia Musliman, 48, serta dua anak mereka, Nur Dhiyalissya, 7, dan Nur Dhiyadheliena, 6, sebelum ini tinggal di rumah sewa dengan bayaran bulanan sebanyak RM250 terpaksa berpindah ke bangsal itu kerana tidak mampu menjelaskan sewa bulanan yang kini tertunggak sebanyak RM1,000.

Mohd Saufi berkata, sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,400 sebulan manakala isterinya pula kerani di syarikat sama yang dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Bagaimanapun kami diberhentikan serentak bersama ramai lagi pekerja lain dipercayai kerana ekonomi syarikat yang terjejas kesan daripada COVID-19.

“Disebabkan hilang punca pendapatan, saya tidak dapat menjelaskan bayaran rumah sewa sehingga tertunggak selama empat bulan dan diarahkan keluar dari rumah tersebut,” katanya ketika ditemui di bangsalnya di Pantai Mek Mas di sini pada Sabtu.

Menceritakan kesusahan yang dialaminya, Mohd Saufi berkata, dia sekeluarga pernah menumpang tidur di pondok pengawal tempat bekas majikannya selama seminggu sebelum dibantu penduduk kampung serta kenalan yang menyumbangkan kayu serta zink untuk membina bangsal di belakang rumah ibunya.

Katanya, keadaan rumah ibunya yang uzur membuatkan dia terpaksa membina bangsal sebagai tempat tinggal mereka sekeluarga manakala kemudahan air diperoleh dari telaga tiub dan elektrik pula di sambung dari rumah ibu saudara serta menumpang tandas di rumah keluarganya.

"Dalam ruang sempit inilah tempat kami empat beranak tidur, memasak, makan dan solat. Alhamdulillah walaupun sukar tetapi saya tenang dan tidak pernah putus rezeki.

“Buat sementara, saya membantu rakan menangkap ikan dengan upah tidak menentu antara RM30 sehingga RM50 seminggu selain menjaga tujuh ekor kambing milik sepupunya dengan upah diberikan anak kambing yang bakal dilahirkan secara bergilir dengan pemilik," katanya.

Sementara itu, Dahlia berkata, anak sulung mereka baharu sembuh daripada demam berikutan cuaca panas dan hujan ditambah dengan bahang bangsal yang berlantaikan pasir serta beratap zink.

Katanya, lebih menyedihkan kedua-dua anaknya itu masih belum memiliki pakaian seragam sekolah selain hanya mempunyai beg sekolah yang disedekahkan kepada mereka.

“Kalau siang kami tidak boleh duduk dalam bangsal kerana terlampau panas, tapi bila hujan pula, atapnya bocor sana sini. Saya susun batu bata dan alas tikar untuk sembahyang walaupun ruangnya terhad. Suka tengok ruang kemas dan bersih walaupun kecil.

“Tanah ini hak kerajaan, saya pinjam guna untuk bercucuk tanam. Ada tanam labu, tomato, pokok kari dan bayam Brazil yang boleh kami makan ketika kesempitan wang,” katanya.

Tambahnya, suaminya itu mempunyai tanah namun mereka tidak mampu dari segi kewangan untuk membina rumah.

“Saya berharap mempunyai sebuah rumah yang lebih selesa dan selamat untuk kami duduki lebih-lebih lagi ketika suami keluar menangkap ikan pada waktu malam,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin ketika dihubungi berkata, keadaan keluarga ini dalam pengetahuan dan pemerhatian pihaknya.

“Saya difahamkan keluarga ini membina bangsal dan tinggal di belakang rumah orang tua mereka itu selepas tidak mampu menjelaskan sewa rumah mereka.

“Rumah orang tuanya juga sudah usang dan dua tahun lalu pihak kami telah membaiki rumah warga emas tersebut termasuk bilik air dan dapur selain menerima bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk isteri pertamanya,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang. - Sinar Harian
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Tan Sri Annuar Musa didakwa melanggap SOP Covid-19

Pihak berkuasa digesa mendakwa Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berikutan tular sebuah gambar yang menunjukkan beliau telah melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, menteri melanggar SOP bukanlah perkara baru namun pihak berkuasa seolah-olah pura-pura tidak melihat apa yang dilakukan oleh mereka.

“Di dalam kes Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, saya percaya rakyat berhak mendapat penjelasan dari pihak polis, apakah Annuar melanggar SOP?

“Sekiranya tidak apakah alasannya? Bukan perbuatannya sudah terang lagi bersuluh melanggar SOP? Mengikut SOP yang ditetapkan, aktiviti beriadah lebih dua orang dilarang sama sekali!” kata beliau dalam kenyataan yang dilapor portal MalaysiaDateline.

Annuar Musa sudah mengeluarkan kenyataan berkaitan isu berkenaan, difahamkan bahawa mereka berjalan di laluan berasingan dan pertemuan mereka adalah secara kebetulan.

“Sekiranya itu penjelasannya, biarlah kenyataan ini dipakai di hadapan majistret,” kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Tambahnya, pihak berkuasa hendaklah mendakwa beliau di mahkamah dan biarkan beliau beri penjelasan tersebut kerana ramai orang di luar sana disaman dan dikenakan tindakan tegas, kebanyakan dari mereka tidak berpeluang untuk menjelaskan situasi mereka.

“Sekiranya mereka ini perlu lalui perkara tersebut, maka Annuar Musa harus lalui perkara yang sama! Sekiranya dia tidak disiasat, rakyat sudah pastinya akan berang dan mempertikaikan kewibawaan pihak polis dalam menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata lagi, ketika ini kerajaan Perikatan Nasional dilihat sebagai kerajaan yang tidak bertanggungjawab apabila setiap kali isu seperti ini muncul pasti ada alasan yang diberikan.

“Hari demi hari kerajaan hanya membuktikan bahawa menteri dan rakyat adalah dari darjat yang berbeza.

“Rakyat biasa seperti Nur Izzati didenda RM1000 di depan kafenya di Segamat, Johor pada 20 Januari lalu kerana tidak memakai pelitup muka tetapi VVIP dan menteri-menteri seperti Annuar Musa boleh memuat naik gambar beliau di sosial media berkumpul beramai-ramai gagal pakai pelitup muka.

“Mengapakah sifat pilih kasih ini diamalkan oleh pihak berkuasa? Apakah para menteri mendapat imuniti apabila mereka melakukan perbuatan melanggar SOP?
.
“Perbincangan tentang hukumannya pula dipanjang-panjangkan, kadang-kala sehingga berbulan lamanya. Sedangkan apabila rakyat biasa melanggar SOP, tindakan serta merta dikenakan ke atas mereka,” katanya dipetik MalaysiaDateline.

KLIK BACA: Sekali lagi Azmin dakwa amalan songsang Anwar, ragui pengampunan penuh Agong Anwar

KLIK BACA: Ayob Khan saran Pencen Seringgit terhadap polis didakwa rasuah diperkenal semula

KLIK BACA: MP Hassan Karim gesa Muhyiddin, Kabinet letak jawatan, senaraikan 4 kegagalan PN 

DIKEMASKINI: Ibu Yati jawab Nasruddin, Minta maaf atau saman kamu dan Yadim

KLIK BACA: Najib Sedih, Persoal Anggota Polis Meninggal Dunia Covid Dibiarkan Kuarantin Di Rumah

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian

 Annuar mahu Umno menang PRU15. - Foto Astro Awani

Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa tidak menolak kemungkinan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh diadakan sebelum 1 Ogos atau 60 hari selepasnya.

 Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, penting untuk UMNO memastikan parti itu memenangi pilihan raya tersebut, atau sekurang-kurangnya menjadi sebahagian daripada ‘pasukan yang menang’.

“Justeru, tanggungjawab para nakhoda adalah mengemudi ke arah kejayaan, bukan ke arah menghancurkan.

“Sementara para juragan terus mendayung dan bekerja kuat sepasukan membawa parti ke destinasinya,” kata Annuar dalam status di Facebooknya, hari ini.

Annuar turut mengingatkan agar ahli UMNO tidak bersikap sombong atau mempunyai sifat hasad dengki.

Sebaliknya, perkara utama Annuar berkata, UMNO perlu selamat, kekal serta disayangi oleh rakyat.

“Jangan pepat (rata) di luar, rencong (serong) di dalam. Jangan depan lain, belakang lain.

“Berkata benar dan berterus terang serta sabar bila difitnah. Insya-Allah kebenaran dan kemenangan menanti di hadapan,” tegasnya.

KLIK BACA: 70 menteri tertinggi dalam sejarah Msia dan dunia tak berfungsi??? - Raja Bahrin

KLIK BACA: Anggota Polis IPD Klang meninggal dunia ketika jalani kuarantin COVID-19 di rumah

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Tengku Adnan Tengku Mansor merayu hukuman penjara akibat rasuah. - Foto kredit The Star

Rayuan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dihukum penjara 12 bulan dan denda RM2 juta selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan akan didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya April ini.

Portal BHOnline melaporkan peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan memaklumkan bahawa rayuan kes itu ditetapkan selama dua hari bermula 22 dan 23 April ini.

Pada 21 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta selepas mendapati Tengku Adnan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap kes pendakwaan.

Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Mohamad Hasan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan - Foto ihsan FMT

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menafikan laporan berita konon beliau dipilih sebagai calon perdana menteri daripada gabungan Muafakat Nasional (MN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Timbalan presiden Umno itu menyifatkan penyebaran berita palsu lebih cepat berbanding penularan wabak Covid-19, kata berseloroh.

“Sila ambil maklum, ini adalah berita palsu (beliau dipilih calon perdana menteri MN). Berita palsu ‘lebih cepat’ tersebar berbanding virus Covid-19, berhati-hatilah,” katanya di laman Facebook beliau.

Penafian itu turut memaklumkan isu calon perdana menteri tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Laporan palsu itu yang disiarkan pada 22 Jan lalu turut mendakwa, MKT Umno bersetuju menamakan Mohamad sebagai calon perdana menteri MN dan mendapat undian tertinggi berbanding calon lain.
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dituntut melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno oleh akar umni parti hari ini tampil menjawab desakan tersebut melalui laman Facebook beliau.

Zahid Hamidi penuh semangat menulis sehingga 15 kali nama parti Umno yang menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Zahid Hamidi juga antara pimpinan Umno yang berdepan pendakwaan jenayah. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menghadapi 40 pertuduhan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) dengan perbicaraan bermula 12 April nanti.

Pengasas Yayasan Akalbudi itu turut dihadapkan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana yayasan itu.

Berikut tulisan penuh Zahid berkenaan Umno menerusi Facebook miliknya sebentar tadi:

“UMNO bukan parti tidak sedar diri. UMNO bukan parti lemah. UMNO tahu apa yang sepatutnya UMNO tahu.

“UMNO tahu suatu ketika ia pernah tewas angkara fitnah dan pembohongan.

“UMNO cekal pada kebenaran. UMNO terus menegakkan kebenaran.

“Dan kebenaran itu lebih berhak untuk diikuti” (والحق أحق أن يتبع)

“Dengan itu juga UMNO sama sekali tidak ‘surrender’. UMNO tidak tunduk, dibuli atau dibeli.

“UMNO berusaha bangkit dan InsyaAllah kebangkitan UMNO sedang berlaku.

“UMNO bangkit dalam diam penuh hikmah. UMNO bangkit tanpa melukut di tepi gantang.

“Bertawakal pada Tuhan – UMNO tahu apa yang patut dilakukan. Pisang tidak berbuah dua kali.

“UMNO tetap mara. Dengan izinNya lambang kita yang gagah akan terus dipandang mulia dan indah.” 

Untuk rekod ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut menjadi Presiden Umno pertama dalam sejarah parti tidak mendapat tempat di dalam barisan Kabinet.
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Zahid Hamidi mengikuti Mesyuarat Ahli Majlis Presiden PN secara maya dipengerusikan Muhyiddin yang turut disertai presiden serta wakil presiden parti. - Foto kredit Zahid Hamidi Facebook

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoal kewajaran kerajaan mengisytiharkan darurat ketika rakyat berdepan kesukaran dalam hidup susulan penularan COVID-19.

Zahid Hamidi turut membangkitkan persoalan bagaimana ada negara lain mampu bebas daripada pandemik itu tanpa perlu mengisytiharkan darurat.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu membangkitkan perkara berkenaan dalam Taklimat Darurat Mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang tadi.

"Petang tadi dalam Taklimat Darurat kepada presiden parti politik, saya sempat membangkitkan, kenapa terdapat negara yang bebas daripada wabak COVID-19 dan banyak lagi yang kadar pandemik berkurangan.

"Sedangkan negara kita terpaksa proklamasi darurat dan rakyat semakin sengsara dengan kepayahan hidup," kata Zahid dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sebelum itu, Muhyiddin dalam status di Facebook memaklumkan mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan PN berlangsung petang tadi dihadiri 12 wakil presiden parti termasuk timbalan presiden.

Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua jam yang diadakan secara maya dan berkata ahli Majlis Presiden PN berpuas hati dengan penjelasan berhubung ordinan dan pengurusan darurat serta pengurusan pandemik COVID-19 yang sedang dilaksanakan,
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian

oleh Penulis Khas

1). Berpakat jatuhkan kerajaan yang sah di pilih rakyat.

2). Berpakat dengan pesalah yang ada kes mahkamah secara tidak langsung mengiktiraf halalkan perbuatan jenayah.

3). Berkawan dengan Umno padahal berzaman ia tarbiyah rakyat kutuk, laknat, benci kan Umno.

4). Berpakat dengan perompak penyamun masuk ikut pintu belakang atau tebuk atap.

5). Pemimpin Pas terutama Haji Hadi Awang memberi jawapan yang tidak tepat dan merapu apabila di tanya wartawan.

6). Pemimpin Pas bermewah seperti membeli kereta jenama mahal di masa yang tidak kena dimana Rakyat menderita hilang kerja dll.

7) . Pemimpin Pas banyak bercakap back-up pemimpin yang terpalit dengan kesalahan kes mahkamah.

8). Pas, PPBM, Umno saling bercakaran berebut kerusi utk PRU 15. Nampak sangat meraka berjuang untuk perut mereka bukan berjuang untuk rakyat

9). Menjatuhkan martabat ulamak menjadikan Islam di pandang serong oleh masyarakat . Masyarakat keliru dan memandang remeh dengan amal ibadat seterusnya menjadi masyarakat menjauhi Islam.

10). Pas enti non muslim terutama DAP padahal ahli DAP warganegara Malaysia. Ahli parlimen DAP paling ramai di Dewan Rakyat. Jika Pas bersikap demikian bagaimana ia hendak perintah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.

*Artikel ini pertama kali disiarkan di portal Malaysia Dateline.