 |
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed. Foto Bernama |
Polis mempertahankan tindakan anggotanya yang menggeledah rumah didiami Jufazli Shi Ahmad untuk mendapatkan bahan bukti membantu siasatan di Taman Bukit Segar Cheras, Kajang pada 26 Februari lalu.
Kenyataan pihak polis itu dibuat ekoran penularan video klip berdurasi empat minit 30 saat itu yang tular dalam media sosial di mana selepas kehadiran anggota dan pegawai polis dipertikaikan oleh individu yang berada di rumah tersebut.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, klip video itu memaparkan seorang individu dipercayai Jufazli yang mempertikaikan tindakan polis dengan meminta waran tangkap dan waran geledah semasa pemeriksaan polis di kediamannya.
“Tindakan serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak polis dalam isu ini adalah mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub serta siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
“Tindakan itu juga diambil berlunaskan peruntukan di bawah Seksyen 248 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya jangan terpengaruh dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini seperti dilapor Malaysia Gazette.
 |
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat - Foto Sinar Harian
|
Dalam perkembangan sama,
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat pula menegaskan, semasa kejadian, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Sepang telah melakukan serbuan di rumah berkenaan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia
Dalam proses siasatan itu, polis dikehendaki mengesan seorang individu dikenali sebagai Jufazli Shi Ahmad yang diperlukan bagi bantu siasatan namun sejak kes dilaporkan, beliau gagal tampil berjumpa pegawai penyiasat walaupun dipanggil beberapa kali.
“Saya menegaskan tindakan yang dilakukan pasukan penyiasat mengikut peruntukan undang-undang dan kuasa-kuasa yang menyiasat yang ditetapkan dan menafikan dakwaan individu itu bahawa polis lalukan serbuan tidak mengikut peruntukan undang-undang.
“Pada malam itu, polis menunggu hampir 30 minit di hadapan pintu rumah namun dia gagal dan tidak memberi kerjasama walaupun polis memperkenalkan diri.
“Akhirnya kami tiada pilihan lain dan terpaksa masuk bagi memastikan siasatan dan pengesanan barang-barang kes berkaitan dibuat.
“Kemungkinan barang-barang kes ini sudah dilenyapkan, tindakan rampasan dan pengeledahan sepertimana diperuntukkan dalam Seksyen 248 AKMM bahawa pengeledahan dan penyitaan tanpa waran oleh polis yang tidak berpangkat rendah daripada inspektor,” tegasnya dipetik Malaysia Gazette.
 |
Polis Selangor terpaksa memcah pintu rumah Jufazli Shi Ahmad bagi mendapatkan bahan bukti - Foto OhMedia.my
|
Untuk rekod, bekas ahli DAP dari Sabah Jufazli Shi Ahmad pernah ditahan polis di rumahnya pada Mac, 2019.
Dalam siaran langsung di Facebooknya pada masa kejadian, Jufazli menunjukkan sekurang-kurangnya 4 anggota polis tiba di rumahnya untuk menahan beliau.
Katanya, beliau enggan mengikuti pihak polis kerana mereka tidak mempunyai waran tangkap.
Portal Free Malaysia Today melaporkan sekurang-kurangnya 1 laporan polis dibuat terhadap Jufazli kerana didakwa “menyerang secara lisan” Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dalam satu video berdurasi 58 minit, beliau menuduh Mahathir melakukan pelbagai jenayah, termasuk rasuah, salah guna kuasa dan membuat pakatan sulit dengan presiden PAS Hadi Awang dan bekas ketua menteri Sarawak, Taib Mahmud.
“Saya tidak akan memberikan kerjasama penuh kepada polis jika mereka tidak mematuhi undang-undang dan prosedur mereka sendiri,” katanya dipetik FMT dalam video tersebut.