Articles by "Pakatan Harapan"
Memaparkan catatan dengan label Pakatan Harapan. Papar semua catatan
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Perbandingan komposisi kabinet kerajaan PH dan PN - Foto GangUtara Twitter

oleh Lim Hong Siang

Bayangkan, seandainya Dzulkefly Ahmad selaku menteri kesihatan menangani wabak Covid-19 sebagaimana Adham Baba, apakah yang akan terjadi terhadap beliau?

Atau, Wan Azizah selaku menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat melaram dengan baju kurungnya di pejabat sebagaimana Rina Harun, apakah pula yang akan diperkatakan?

Atau, Mujahid Yusof Rawa selaku menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mencedok sikap dan pendirian Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika berdepan dengan pertikaian seperti pemandu mabuk, LGBT, kasino dan SOP solat di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagaimana pula reaksi masyarakat?

Itu pun belum Maszlee Malik, jikalau prestasinya sekadar tahap Radzi Jidin, yang kelihatan berserabut ketika membuat keputusan untuk persekolahan sepanjang musim penularan Covid-19 – barangkali sudah lumat digiling media. 

Malah, andainya Maszlee Malik mengajak siswa-siswi untuk menyertai pertandingan Tik Tok sebagaimana Noraini Ahmad, wartawan hampir pasti akan berada di situ untuk menjerat dengan soalan susulan “Adakah KPM akan mengadakan bengkel Tik Tok di universiti?”, supaya apa pun jawapan menteri – “Ya”, “Tidak”, “Akan dikaji kemudian” – dijadikan bahan ketawa orang ramai.

Hampir setahun kabinet kerajaan PN Muhyiddin Yassin ditubuhkan. Berbanding penilaian prestasi kabinet Pakatan Harapan sempena ulang tahun pertama, apakah prestasi kabinet Perikatan Nasional lebih terserlah? Jikalau Teresa Kok dipersendakan lantaran saranan “sehari sesudu minyak sawit” selepas setahun mengetuai Kementerian Industri Utama, apakah pula yang terlintas dalam otak kita ketika menyebut nama penggantinya, Khairuddin Aman Razali?

Jikalau kita tidak berpuas hati dengan prestasi Anthony Loke selaku menteri pengangkutan, apakah pula prestasi Wee Ka Siong yang memahat dalam ingatan kita, setelah hampir setahun beliau mengambil alih portfolio ini? Jikalau Syed Saddiq terlalu mentah untuk mengetuai sesebuah kementerian, bagaimana pula isu belia dan sukan ditangani oleh Reezal Merican, yang jauh lebih berusia dan berpengalaman berbanding “budak hingusan” itu?

Cuba pejam mata, dan tampilkan menteri-menteri PN yang kita ingat sepanjang tempoh setahun ini, bersama kejadian yang menggilap nama mereka dalam ingatan kita. Hishamuddin Hussein, hisap vape dalam sidang Dewan Rakyat? Ismail Sabri, SOP yang semua orang pening? 

Zuraida Kamaruddin, memakai PPE ketika menyembur cecair nyah kuman atas jalan raya? Annuar Musa, bertiga ketika bersenam sedangkan SOP menetapkan dua sahaja? Tuan Ibrahim, seruan agar penduduk Kelantan manfaatkan air hujan?

Untuk berlaku adil, mungkin terdapat seorang dua menteri PN yang dilihat melakukan kerja dengan sebaik mungkin, misalnya Khairy Jamaluddin, yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Tidak dinafikan juga adanya menteri PH yang hanya boleh kita menggelengkan kepala.

Namun, tepuk dada tanya selera, benarkah kabinet PN, dengan 32 orang menteri, ditambah dengan tiga orang duta khas bertaraf menteri, dan 38 orang timbalan menteri, berfungsi dengan jauh lebih berkesan, berbanding kerajaan Pakatan Harapan?

Tanpa kayu ukur yang objektif, penilaian prestasi kabinet mungkin dianggap subjektif, bergantung kepada pendirian politik masing-masing. Misalnya, penyokong PH mungkin tidak berpuas hati dengan pendekatan Tengku Zafrul Aziz mengendalikan isu moratorium, sementara penentang PH akan menyindir betapa “kedekutnya”Lim Guan Eng ketika menyandang jawatan menteri kewangan, sehingga PH dilabel sebagai “kerajaan e-wallet RM30”.

Saya tidak berniat untuk menilai prestasi PN bertitik tolak dari pendirian politik. Cuma, ingin saya ketengahkan pandangan bahawa apa pun gandingan parti politik yang memerintah, tetap akan ada masalah yang timbul, dan mengambil masa untuk diselesaikan. Isunya sentiasa lebih rumit daripada apa yang terbayang, mengambil kira latar belakang masyarakat yang berbilang, dan kumpulan berkepentingan yang pelbagai. Contohnya, isu judi, arak, hudud, sekolah pelbagai aliran dan sebagainya – mustahil diselesaikan dengan retorik yang berapi-api.

Malah, ada kalanya, untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan semata-mata pun bukan tugas yang mudah. Ambil contoh kes kematian anggota bomba arwah Muhammad Adib, yang dikerah sepenuhnya oleh pemimpin PAS dan Umno ketika PH memerintah – kekal tidak selesai setelah PH tumbang, dan peguam negara ketika itu, Tommy Thomas digantikan seorang Melayu-Muslim.

Namun, perasankah kita, bahawa kehangatan dan keterdesakan isu-isu yang tersenarai tadi, semakin meluntur ketika pemerintahan PN? Dari mufti, ustaz, KOL (pemimpin pendapat), ahli akademik, hinggalah saudara-mara yang berkongsi mesej berhubung kelemahan PH dalam menangani masalah-masalah tersebut dalam kumpulan WhatsApp, apakah mereka masih aktif? 

Adakah mereka masih terhanyut-hanyut dalam ilham tidak bertebing untuk berpuisi menjelang pagi Jumaat? Adakah mereka masih gusar kerana Islam terancam apabila berlakunya kes kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu mabuk? Adakah mereka masih menjuarai kempen BMF (Buy Muslim First)? Atau mereka sudah bertaubat, tidak mahu berpolitiking dan nak move on?

Jikalau mereka neutral, dan tidak menyebelahi mana-mana gandingan parti politik, maka kita ingin tahu, apakah pendirian dan penilaian mereka, ketika berdepan dengan masalah yang kononnya gagal diselesaikan PH, tetapi juga gagal diselesaikan PN setelah hampir setahun? 

Juga, adakah mereka lebih selesa dengan sebuah kerajaan yang gagal memberi kata dua dalam isu “imbas atau tidak MySejahtera di stesen minyak”? Atau, adakah mereka lebih berpuas hati dengan seorang menteri yang “buat dulu, fikir kemudian”, mengumumkan sekolah dibuka semula sebaik ibu bapa memerah segala-gala yang ada untuk membeli peralatan seperti komputer riba atau tablet bagi anak-anak mereka?

Rakyat dihasut pada zaman PH

Nampak? Sememangnya saya tidak bersetuju untuk menyerang mana-mana kerajaan dengan isu perkauman dan agama. Saya menolak andainya PH cuba merampas semula kuasa dengan meludah balik air liur daripada pemimpin Umno-PAS kepada pemimpin Umno-PAS.

Jikalau kita merenung sedalam-dalamnya, isu BMF adalah isu ekonomi yang menuntut penyelesaian tuntas, mempertingkat daya saing perusahaan kecil dan sederhana tempatan tanpa perlu mencungkil sentimen perkauman. Begitu juga isu pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), Sekolah Menengah Persendirian Cina, Dong Jiao Zong dan sebagainya...

....ia harus kembali kepada soal pendidikan – diukur dari segi kualiti, kelayakan, hak kaum minoriti dan sebagainya. Isu ini muncul lebih awal sebelum tertubuhnya PH, dan sudah tentu masyarakat Malaysia memerlukan lebih dialog untuk mencari muafakat sebelum ditemukan jalan keluarnya.

Justeru itu, tibanya masa kita menilai semula, apakah keresahan dan kegusaran yang ditimbulkan sepanjang tempoh 22 bulan PH berkuasa itu, adalah sesuatu yang sahih dan benar? Atau ia semata-mata diada-adakan untuk menghasut emosi kita, agar kemarahan dan kebencian yang tercetus, membuatkan kita hilang kesabaran dan pertimbangan yang waras ketika menilai, sehingga kita sanggup memberi laluan kepada pengkhianat (mandat rakyat) untuk menawan Putrajaya melalui pintu belakang (atau tebuk atap)?

Sesungguhnya, sesebuah negara akan menjadi makmur dan sejahtera seandainya ditadbir kerajaan yang cekap dan berkesan. Namun, mustahil juga sesebuah negara bertambah baik jikalau kualiti rakyatnya menjunam – kurang kesedaran, mudah terpedaya dan gagal membezakan antara yang benar dan yang batil.

Ya, sememangnya Langkah Sheraton adalah percaturan sekerat politikus oportunis yang bermuslihat. Namun, perlu diakui juga bahawa proses ini tidak akan berjalan lancar tanpa restu rakyat. Ia didasari kegusaran dan keresahan masyarakat Malaysia, yang dihasut secara terancang untuk mengatur setiap langkah ke arah itu.

Muhyiddin dalam pertemuan di Hotel Sheraton yang menjadi pemula kepada penjajaran baru politik tanah air

Rakyat perlu menjadi matang, diasah otaknya untuk berfikir secara berdikari. Hindari segala berita palsu, ucapan kebencian yang membakar emosi kita. Belajar untuk menyemak fakta – apakah sebenarnya yang berlaku, dan bukannya terikut-ikut dengan khabar angin yang belum pasti kesahihannya.

Akhir kata, kita mendapat apa yang memadai untuk diri kita. Jikalau anda menganggap prestasi Adham Baba, Rina Harun, Radzi Jidin, Wee Ka Siong jauh lebih baik berbanding Dzulkefly Ahmad, Wan Azizah, Maszlee Malik, Anthony Loke, tahniah. Tetapi jikalau anda bertanggapan sebaliknya, adakah anda pernah berkongsi berita palsu dan mesej berbaur kebencian dalam tempoh 22 bulan itu? Jika jawapannya ya, adakah anda menyesal sekarang?

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Wawancara Khas Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad anjuran Sinar Harian yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar selaku moderator di Studio F Kompleks Karangkraf. - Foto Sinar Harian

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dipilih menjadi Menteri Kewangan semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah kerana berjaya menguruskan kerajaan Pulau Pinang dengan baik, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Yang hutang (Pulau Pinang) semua hapus. Kita pilih dia kerana dia ada kebolehan dalam bidang itu walaupun yang berminat hendak jadi Menteri Kewangan ini ialah Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tetapi saya bagi Guan Eng," katanya dalam wawancara anjuran Sinar Harian.

Perdana Menteri ketujuh itu berkata, pemilihan Guan Eng daripada parti DAP sebagai Menteri Kewangan pada masa itu juga berdasarkan senioriti pemimpin itu dalam parti berkenaan.

Malah, katanya, beberapa pemimpin senior lain daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut dipilih bagi mengisi jawatan penting dalam Kabinet.

"Berkenaan dengan Guan Eng. Dia ketua daripada parti DAP. Kita bagi senior post kepada ketua-ketua parti. Mohamad Sabu jadi Menteri Pertahanan. Muhyiddin (Bersatu) jadi Menteri Dalam Negeri.

"Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR) jadi Timbalan Perdana Menteri. Tak akan saya hendak bagi Menteri Kerja Raya kepada Guan Eng. Saya kena bagi kepada dia sesuatu yang senior," katanya.

Mengulas pelantikan Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara pula, Dr Mahathir berkata, beliau memilih Tommy sebagai percubaan selepas jawatan itu sering dimonopoli peguam berbangsa Melayu.

"Saya hendak tengok kalau bukan Melayu ini apa dia boleh buat. Cuma dua tahun sahaja lepas dua tahun dia berhentilah. Jadi kita tengoklah dia buat apa.

"Banyaklah orang kata dia buat (perkara) yang tak kena tapi saya dapati dia patuh kepada peraturan dan undang-undang," katanya dipetik Sinar Harian.

MESTI BACA: "Selepas Vaksin, Darurat Politik, Takda Alasan Lagi Gantung Parlimen," Kata Rafidah Aziz

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian

Tun Mahathir tidak seperti Najib Razak dalam menjaga membeli kesetiaan pengundi.  - Foto Astro Awani

Pakatan Harapan (PH) tidak dapat melayan rakyat seperti mana layanan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Perkara itu diakui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan PH tidak dapat memberi wang kepada rakyat seperti yang Najib lakukan.

“Kalau kita cuba kurangkan BR1M, mereka kata Najib lebih baik dari Dr Mahathir, dia bagi juga kita duit, Dr Mahathir bagi apa? Itu menjadi tumpuan mereka.

“Ada yang tuduh kononnya PH dikuasai DAP, itu propaganda Najib untuk jatuhkan PH tapi banyak benda yang kita buat tidak diiktiraf umpamanya untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang berfungsi cukup sukar, bukanlah mudah apabila ada pertukaran kuasa.

“Kalau kita lihat negara lain, bila ada peralihan maka berlaku macam-macam keganasan dan sebagainya tapi kita ambil alih dengan begitu licin dan kita dapat dirikan kerajaan bersih,” katanya.

Astro AWANI melaporkan beliau berkata demikian pada program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar anjuran Sinar Harian pada Rabu.

MESTI BACA: "Selepas Vaksin, Darurat Politik, Takda Alasan Lagi Gantung Parlimen," Kata Rafidah Aziz

Ahli Parlimen Langkawi turut menjelaskan sebab beliau dilihat tidak sebulu dengan semua Perdana Menteri yang Malaysia pernah ada kecuali Tun Abdul Razak.

Tegasnya, sejak dari dulu beliau melihat kepada perbuatan seseorang dan bukannya meletakkan kesetiaan kepada individu.

“Saya sokong dari segi perbuatan, bukan orang. Orang ini tak kira, macam-macam jenis orang ada. Tunku Abdul Rahman misalnya, beliau dipandang tinggi kerana beri kemerdekaan kepada negara.

“Tetapi bila beliau [Tunku] buat benda yang saya tak setuju, saya tegur apa yang beliau buat. Bila beliau buat untuk kemerdekaan, saya sokong. Jadi kita tak boleh begitu setia kepada orang itu sebagai individu,” ujarnya.

Menurutnya, itu adalah prinsip yang dipegang beliau sejak dari dulu.

MESTI BACA: "Selepas Vaksin, Darurat Politik, Takda Alasan Lagi Gantung Parlimen," Kata Rafidah Aziz

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kekesalan terbesarnya adalah melepaskan jawatan tersebut pada 2003 yang kemudiannya diganti oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi. - Foto Bernama

Sepanjang hampir 24 tahun menjadi Perdana Menteri (dua kali menerajui negara), Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kekesalan terbesarnya adalah melepaskan jawatan tersebut pada 2003.

Menurut Dr Mahathir, tiada siapa menyuruhnya berhenti pada waktu itu namun tindakan berbuat demikian adalah atas kerelaannya sendiri.

“Saya masih popular, saya masih mendapat sokongan dua pertiga tetapi saya fikir sudah tiba masa saya letak jawatan sebab saya fikir saya sudah tua, umur lebih 70 tahun.

“Jadi saya fikir saya patut letak jawatan tapi saya tak sangka orang yang gantikan saya buat benda-benda yang sebabkan rakyat tidak senang dengan mereka,” katanya.

Astro AWANI melaporkan Dr Mahathir berkata demikian dalam program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar anjuran Sinar Harian.

Ketika ditanya oleh Johan Jaaffar tidakkah beliau menyesal meletak jawatan kali kedua pada tahun lepas, ini jawapan beliau:

“Kali kedua saya terpaksa letak jawatan, parti saya dah jatuh,” katanya.

Pada 24 Februari 2020, Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajuinya runtuh dalam krisis politik negara ekoran tindakan Langkah Sheraton.

Serentak peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri, Ahli Parlimen Langkawi itu juga mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu parti yang memerintah negara bersama rakan-rakan komponen dalam PH.

Dr Mahathir mengambil alih kerajaan dan menjadi Perdana Menteri kali kedua pada usia 92 tahun selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018.

Negarawan berusia 95 tahun itu juga merupakan Perdana Menteri keempat dari 16 Julai, 1981 hingga 31 Oktober 2003.

Beliau juga mencatat sejarah sebagai bekas perdana menteri yang menentang tiga Perdana Menteri bermula dengan Tun Abdullah Badawi, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin. 

Tun Abdullah Badawi atau Pak Lah bagi skandal budak tingkat empat pejabat perdana menteri.

Najib Razak atau BossKu bagi skandal 1MDB dan SRC International.

Muhyiddin Yassin bagi kes 'Sheraton Move' [pengkhianatan pintu belakang / tebuk atap] dan terkini bagi kes pengisytiharan DARURAT yang menggantung sidang Parlimen.

MESTI BACA: "Selepas Vaksin, Darurat Politik, Takda Alasan Lagi Gantung Parlimen," Kata Rafidah Aziz