Articles by "MyMetro"
Memaparkan catatan dengan label MyMetro. Papar semua catatan
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersedia menemui Nur Sajat untuk membimbingnya yang didakwa berhasrat keluar dari agama Islam. - Foto Astro AWANI

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya smemberi perhatian kepada masalah Nur Sajat yang didakwa merancang keluar dari agama Islam atau Murtad; dan yakin semua pihak memandang serius apa yang berlaku.

Mapim mengulas tindakan usahawan kosmetik, Nur Sajat atau Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang memuatnaik status seolah-olah mahu keluar daripada Islam.

Tindakan tersebut dipercayai ada kaitan dengan waran tangkap yang dikeluarkan ke atasnya selepas gagal hadir dalam sebutan kes di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, 23 Februari lalu berkenaan kes berpakaian wanita di majlis agama anjurannya.

Kenyataan Media MAPIM.

DEMI masa depan dan maruah Islam, kami bersedia bersua dengan saudara Sajat, yang mengikut video yang tular, menyatakan mahu keluar daripada Islam.

Kami amat insaf akan kekhilafan yang berlaku dan mengambil perhatian mengenai apa yang dinyatakan itu.

Kami yakin semua pihak dalam masyarakat Islam memandang berat dengan insiden ini dan umumnya merasa sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku.

Kami bersimpati kepada semua pihak yang mahu menyelesaikan isu ini dan berharap dapat mengawal keadaan agar isu ini dikendalikan dengan sebaik mungkin dan dengan hikmah.

Jalan keluar dengan menghormati tanggungjawab pihak berkuasa dan mengguna pendekatan kasih sayang dan mendidik secara penuh hikmah perlu dilakukan.

Sesungguhnya, apa yang mahu dicapai ialah Sajat, dengan penuh keinsafan, kekal dalam Islam.

Kami sangat yakin Sajat melafaz pernyataan tersebut dalam keadaan tertekan dan emosi yang tidak terkawal dan tidak dari lubuk hati yang sebenar.

Dalam hal ini, kami juga sangat berharap agar masyarakat Islam tidak menambah rumit keadaan.

Inilah saatnya seluruh masyarakat menterjemah rasa kasih sayang antara satu sama lain dan menyelamatkan saudara seagama agar kembali saling bantu- membantu demi kebaikan dan ketakwaan.

Kami memanjangkan tangan silaturrahim kepada Sajat bahawa beliau insan yang perlu bersama diselamatkan dalam menjalani ujian kehidupan yang sangat mencabar di zaman ini.

Kefahaman Sajat mengenai tanggungjawab pihak berkuasa sangat perlu dijelaskan dan kami berharap ada komunikasi yang lancar berlaku untuk mengelakkan salah faham antara dua pihak.

Sebagai badan Islam kami berasa sangat bertanggungjawab untuk turut berperanan menangani isu seperti ini dengan hikmah dan mencari titik penyelesaian yang baik.

Demi Islam dan demi maruah dan kesucian Islam kami dengan penuh harapan dan berdoa agar Sajat menjadi insan yang menyumbang kepada agama, bangsa dan negara dan tidak bertindak keluar Islam.

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Polis menahan sekumpulan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian rusuhan di Restoran Sri Pandi di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, pada Ahad.

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki dan memburu empat yang lain berhubung kejadian merusuh di hadapan sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, malam tadi.

BHOnline melaporkan Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata kedua-dua suspek ditahan di sekitar ibu negara oleh anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9).

"Siasatan mendapati kejadian jam 10 malam berpunca sekumpulan 11 hingga 12 individu tidak berpuas hati apabila tidak dibenarkan untuk membuat pesanan makanan di restoran itu.

"Ini kerana pengurus restoran sudah mahu menutup operasi perniagaan mereka pada jam 10 malam bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya hari ini.

Menurut Anuar, perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati kumpulan lelaki terbabit yang kemudian merusuh dengan menggunakan kayu dan parang memecahkan botol dan gelas di restoran itu.

Ada 11 hingga 12 pekerja termasuk pengurus di restoran itu ketika kejadian dengan tiga pekerja cedera di kepala serta kecederaan ringan lain.

Beberapa peralatan seperti kerusi dan meja milik restoran terbabit turut rosak namun tidak serius.

"Kita sudah menahan dua individu berusia lingkungan 20-an dan 30-an malam tadi, di Jalan Travers dan Brickfields dan kita memburu empat lagi individu lain yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata," katanya.

Terdahulu, beberapa rakaman video berhubung kejadian itu viral di media sosial menunjukkan sekumpulan individu membaling kerusi dan meja di hadapan sebuah restoran.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Chong Kok Yeong dan isteri Teoh Lee Hong mendakwa rumah mereka di Taman Pulai Utama, Skudai, Johor dibaling bom molotov pada 9 Feb lalu sehingga menyebabkan beberapa bahagian di halaman rumah terbakar. (Gambar AP)

Pinjam RM1,000, namun hanya terima RM350 dan kini perlu membayar RM12,000 kepada ceti haram atau ah long, dakwa suami isteri yang kini hidup dalam ketakutan gara-gara perbuatan anak yang gagal menjelaskan hutang itu.

Chong Kok Yeong, 55, dan isteri Teoh Lee Hong, 56, mendakwa rumah mereka di Taman Pulai Utama, Skudai, Johor dibaling bom molotov pada 9 Feb lalu sehingga menyebabkan beberapa bahagian di halaman rumah terbakar.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, saya percaya mereka individu sama yang menyimbah cat merah dan hitam pada 7.30 malam, 8 Feb lalu,” katanya pada sidang media di pejabat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor.

Menurut lelaki itu, anaknya yang berusia 21 tahun bekerja di sebuah kedai makan di Pulau Pinang, namun menghilangkan diri sejak 19 Feb lepas.

“Anak lelaki saya ini gemar bermain judi dalam talian dan telah meminjam RM1,000 pada awal Februari lalu, namun hanya terima RM350 dan kini ah long itu minta bayaran balik RM12,000,” katanya, menambah turut menerima surat ugutan rumahnya akan dibakar jika hutang tersebut tidak dibayar.

Chong berkata, dia juga membuat lima laporan polis, mengharapkan tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima semua laporan berkenaan.\

Sumber: Free Malaysia Today

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata kartel dadah didalangi VVIP mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap minggu, namun JSJN menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bukti. - Foto FMT

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, merayu kerajaan meluluskan permohonan menambah anggota polis bagi menghadapi perang dadah, selepas dalang utama kartel berstatus Tan Sri dan Datuk dikenalpasti baru-baru ini.

Bercakap kepada media di Kem PGA Ulu Kinta hari ini, Hamid berkata polis sudah lama memperhatikan lebih lima kartel dadah yang didalangi orang kenamaan, dan mereka katanya sudah tidak boleh lari daripada pengawasan polis.

Namun, kerajaan perlu meluluskan pertambahan anggota jika mahu jenayah berkaitan dadah ditangani secara berkesan.

“Sekiranya saya perlu menyediakan tujuh dulang hati nyamuk, saya akan sediakan. Saya merayu kerana saya mahu menyedarkan semua pihak ancaman dadah ini adalah benar,” katanya.

“Saya tidak mahu dituduh sebagai Ketua Polis Negara yang gagal menangani masalah dadah.”

Hamid sebelum ini mendedahkan dalang utama sindiket penyeludupan dadah yang berselindung sebalik status Tan Sri dan Datuk sudah dikenal pasti, dan beliau mahu pastikan mereka ini dikenakan tindakan sebaik pembabitan dapat dibuktikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Hamid berkata kartel berkenaan mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap minggu, cuma apa yang menjadi halangan ketika ini masalah untuk mendapatkan bukti yang boleh mengaitkan dalang-dalang itu secara terus.

Kesukaran itu di sebalik kejayaan polis menumpaskan beberapa sindiket, dengan rampasan jutaan ringgit, dalam operasi demi operasi setiap minggu.

“Kartel dadah ini sudah tidak boleh lari,” katanya.

“Itu bukan amaran kosong…saya hanya ingin kongsikan dengan masyarakat bahawa ancaman dadah ini sebenarnya cukup berat.”

Sementara itu, mengulas perkembangan siasatan Macau Scam dan judi dalam talian yang turut membabitkan 31 pegawai dan anggota polis, Hamid berkata kertas siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard mengenainya sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis untuk tindakan lanjut.

Semua pegawai dan anggota polis tersebut kini dalam proses dijatuhi hukuman, tambah beliau.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed. Foto Bernama

Polis mempertahankan tindakan anggotanya yang menggeledah rumah didiami Jufazli Shi Ahmad untuk mendapatkan bahan bukti membantu siasatan di Taman Bukit Segar Cheras, Kajang pada 26 Februari lalu.

Kenyataan pihak polis itu dibuat ekoran penularan video klip berdurasi empat minit 30 saat itu yang tular dalam media sosial di mana selepas kehadiran anggota dan pegawai polis dipertikaikan oleh individu yang berada di rumah tersebut.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, klip video itu memaparkan seorang individu dipercayai Jufazli yang mempertikaikan tindakan polis dengan meminta waran tangkap dan waran geledah semasa pemeriksaan polis di kediamannya.

“Tindakan serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak polis dalam isu ini adalah mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub serta siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Tindakan itu juga diambil berlunaskan peruntukan di bawah Seksyen 248 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya jangan terpengaruh dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini seperti dilapor Malaysia Gazette.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat - Foto Sinar Harian

Dalam perkembangan sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor,  Datuk Fadzil Ahmat pula menegaskan, semasa kejadian, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Sepang telah melakukan serbuan di rumah berkenaan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia

Dalam proses siasatan itu, polis dikehendaki mengesan seorang individu dikenali sebagai Jufazli Shi Ahmad yang diperlukan bagi bantu siasatan namun sejak kes dilaporkan, beliau gagal tampil berjumpa pegawai penyiasat walaupun dipanggil beberapa kali.

“Saya menegaskan tindakan yang dilakukan pasukan penyiasat mengikut peruntukan undang-undang dan kuasa-kuasa yang menyiasat yang ditetapkan dan menafikan dakwaan individu itu bahawa polis lalukan serbuan tidak mengikut peruntukan undang-undang.

“Pada malam itu, polis menunggu hampir 30 minit di hadapan pintu rumah namun dia gagal dan tidak memberi kerjasama walaupun polis memperkenalkan diri.

“Akhirnya kami tiada pilihan lain dan terpaksa masuk bagi memastikan siasatan dan pengesanan barang-barang kes berkaitan dibuat.

“Kemungkinan barang-barang kes ini sudah dilenyapkan, tindakan rampasan dan pengeledahan sepertimana diperuntukkan dalam Seksyen 248 AKMM bahawa pengeledahan dan penyitaan tanpa waran oleh polis yang tidak berpangkat rendah daripada inspektor,” tegasnya dipetik Malaysia Gazette.

Polis Selangor terpaksa memcah pintu rumah Jufazli Shi Ahmad bagi mendapatkan bahan bukti - Foto OhMedia.my

Untuk rekod, bekas ahli DAP dari Sabah Jufazli Shi Ahmad pernah ditahan polis di rumahnya pada Mac, 2019.

Dalam siaran langsung di Facebooknya pada masa kejadian, Jufazli menunjukkan sekurang-kurangnya 4 anggota polis tiba di rumahnya untuk menahan beliau.

Katanya, beliau enggan mengikuti pihak polis kerana mereka tidak mempunyai waran tangkap.

Portal Free Malaysia Today melaporkan sekurang-kurangnya 1 laporan polis dibuat terhadap Jufazli kerana didakwa “menyerang secara lisan” Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu video berdurasi 58 minit, beliau menuduh Mahathir melakukan pelbagai jenayah, termasuk rasuah, salah guna kuasa dan membuat pakatan sulit dengan presiden PAS Hadi Awang dan bekas ketua menteri Sarawak, Taib Mahmud.

“Saya tidak akan memberikan kerjasama penuh kepada polis jika mereka tidak mematuhi undang-undang dan prosedur mereka sendiri,” katanya dipetik FMT dalam video tersebut.
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Tiga maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuching. - Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Tiga maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuching, di sini, pada Ahad.

Dua daripada mangsa dilaporkan adik beradik, lapor Sinar Harian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata mangsa yang maut ialah Lee Pan Nee, 45, dan adik lelakinya, Lee Veeran, 35, serta Muhammad Hafiz MD Isa, 32.

"Kita terima maklumat berlaku satu kemalangan maut di Jalan Kuching pada jam 12.30 tengah malam melibatkan sebuah kereta Proton Satria Neo yang dipandu Muhammad Hafiz dan kenderaan pacuan empat roda Mazda BT 50 yang dinaiki oleh Pan Nee dan Veeran," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Zulkefly berkata siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Satria Neo dari arah Kepong menghala ke Bulatan Segambut hilang kawalan lalu melanggar batu penghadang di tengah jalan.

"Kereta itu kemudian masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Mazda BT 50 yang sedang bergerak di lorong paling kanan," katanya.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, kesemua individu tersebut mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat dibawa ke Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dah bedah siasat akan dibuat setelah keputusan ujian Covid-19 diperolehi," katanya.

Zulkefly memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Ayam yang dilengkapi dengan pisau tiga inci dikenali 'kodi kathi untuk acara sabung haram di Lothunur, sebuah kampung di selatan Telangana. - Facebook@---110024353960390

SEEKOR ayam laga dilapor 'membunuh' tuannya sendiri dalam satu acara sabung di India.

Ayam sabung yang diletakkan pisau di taji itu dipercayai mengelar tuannya dalam kejadian di Lothunur, sebuah kampung di selatan Telangana.

Ketika kejadian, pemiliknya Thanugulla Satish Goud, 45, dilapor sedang menyiapkan ayamnya untuk bersabung.

Ayam tersebut dilengkapi pisau tiga inci dikenali sebagai 'kodi kathi’ untuk acara sabung haram.

Haiwan itu bagaimanapun melompat dan cuba lari.

"Pisau itu terkena pada pemiliknya dan menyebabkan kecederaan serta kehilangan darah yang banyak," lapor polis kepada Times of India.

Polis menambah, pihaknya sedang mencari mereka yang menyertai acara haram itu yang berlangsung pada 22 Februari lepas.

Ayam itu disimpan di sebuah ladang untuk tujuan keselamatan sebelum dibawa ke mahkamah kelak sebagai bukti punca kematian.

Sabung ayam diharamkan di India pada 1960 tetapi aktiviti itu diteruskan di banyak negeri terutama semasa musim perayaan.

Pada tahun lepas, seorang penonton sabung ayam meninggal dunia selepas dikelar ayam laga dalam satu acara.

Media tempatan melaporkan ayam itu panik dan meluru ke arah mangsa dikenali senagai Saripalli Venkateswara Rao yang berusia 55 tahun.

- Astro AWANI

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas, termasuk menggunakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 terhadap tauke dadah. (Gambar Bernama)

JELI: Polis mengenal pasti beberapa dalang utama sindiket penyeludupan dadah yang berselindung di sebalik status “Tan Sri”, “Datuk Seri” dan “Datuk”, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, Jabatan Narkotik di Bukit Aman kini dalam proses mengambil tindakan terhadap tauke dadah terbabit, yang juga didapati hidup mewah dengan berselindung di sebalik perniagaan sah menyebabkan polis sukar mendapatkan maklumat yang boleh mengaitkan mereka dengan kegiatan pengedaran dadah.

“Tetapi, saya akan pastikan mereka ini akan masuk (penjara), walaupun saya tahu statusnya tinggi bergelar Datuk, Datuk Seri atau Tan Sri…saya akan berusaha, perbuatan tidak bertanggungjawab mereka ini akan terungkai dan mereka akan didakwa.

“Paling tidak pun saya akan ambil tindakan di bawah Poca (Akta Pencegahan Jenayah 1959),” katanya selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat.

Hamid berkata, sudah tiba masanya kegiatan golongan itu didedahkan dan dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang merosakkan ribuan orang akibat terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.

“Beribu masyarakat rosak disebabkan perbuatan mereka hendak mendapatkan keuntungan secara haram ini dan sudah berapa ramai yang masuk penjara, berapa ramai warga polis dihukum disebabkan menerima rasuah untuk beri perlindungan menutup kegiatan tauke-tauke dadah ini.

“Jangan ingat mereka boleh berselindung di sebalik ‘title’ yang mereka itu untuk menjalankan aktiviti perniagaan yang kononnya sah, tetapi sebaliknya melakukan kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah.”

Beliau turut memberi jaminan polis di setiap peringkat daerah dan negeri akan menjalankan siasatan secara telus dan terperinci berhubung sindiket pengedaran serta penyeludupan dadah itu bagi memastikan setiap rangkaian sindiket dari atas hingga bawah ditumpaskan.

Mengulas laporan berhubung kejadian seorang pegawai dan lima anggota polis ditahan dalam serbuan parti liar di sebuah pangsapuri di Ipoh semalam, Hamid berkata: “Saya ingatkan kepada warga PDRM bahawa tiada maaf lagi untuk kesalahan sebegini kerana perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab.

“Saya sudah arahkan siasatan lanjut dilakukan supaya mereka tidak terlepas dan akan pastikan mereka dihukum.”

- BERNAMA

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Bomba Malaysia menyelamatkan mangsa kemalangan di jalanraya, tempat kerja atau di rumah - Foto hiasan.

“Kamu adalah hero saya,” berulang kali Raydon Koh mengungkapkan ayat itu kepada anggota bomba ketika mengeluarkan kaki kanannya yang tersepit di dalam saluran paip lubang tandas rumahnya di Taman Sutera Dahlia Johor Bahru, malam tadi.

Malah, sepanjang proses mengeluarkan kakinya itu, kanak-kanak berusia tiga tahun itu juga tidak menangis walaupun terpaksa menahan kesakitan selama sejam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, PBK II Mohamad Nazaruddin Ahmad Zainuddin berkata pada kejadian 11.22 malam itu, ibu Koh memberitahu anaknya itu bersendirian ke bilik air untuk membuang air sebelum kaki kanannya tersangkut sehingga paras lutut.

“Pemeriksaan dilakukan pada saluran paip dan sebahagian daripada saluran tersebut dipotong dengan menggunakan peralatan khas dan kaki kanak-kanak tersebut berjaya dikeluarkan dalam masa tujuh minit,” katanya kepada Bernama, di Johor Bahru, hari ini.

Mohamad Nazaruddin berkata kanak-kanak itu sempat mengucapkan penghargaan dengan mengatakan anggota bomba yang menyelamatkannya sebagai heronya, dan ketika proses mengeluarkan kakinya, kanak-kanak itu tidak menangis dan hanya menjerit apabila terasa sakit.

“Dia juga berjaya diselamatkan tanpa mengalami kecederaan yang teruk,” katanya dan menambah pihaknya menasihatkan ibu bapa kanak-kanak itu supaya membawa anak mereka ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Seramai 13 anggota dengan sebuah jentera, satu unit Emergency Rescue Medical Services (EMRS) dan tiga Rapid Intervention Motorcycle (RIM) ditugaskan menyelamatkan mangsa.

- Bernama

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Peraturan baharu itu berkuat kuasa pada 11 Mac, mengikut ordinan yang diterbitkan di laman web Warta Persekutuan hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR - Individu yang melanggar peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19 berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac 2021.

Perkara itu dinyatakan dalam Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik dalam Portal rasmi Jabatan Peguam Negara hari ini.

Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP boleh didenda sehingga RM50,000.

Warta itu menyebut bahawa suatu Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bahawasanya disebabkan oleh suatu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit  iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19), suatu Proklamasi Darurat telah dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan pada 11 Jan 2021.

Ia menyatakan yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa tindakan serta-merta adalah dikehendaki untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang dinamakan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Ordinan itu turut merangkumi pindaan terhadap penalti umum mengikut Seksyen 24 dan menyatakan mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah Akta itu, yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata, berdepan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda RM100,000.

Ia juga menyebut bahawa orang yang diberi kuasa boleh mengarahkan pesakit COVID-19 atau kontak rapat untuk memakai peranti pengesanan seperti gelang tangan atau apa-apa peranti lain yang diberikan pegawai yang diberi kuasa.

“Mana-Mana orang yang memusnahkan, merosakkan, menghilangkan atau mengubah peranti pengesanan itu melakukan suatu kesalahan,” menurut ordinan itu.

Selain itu, bagi syarikat yang melanggar SOP tersebut, wakilnya boleh didakwa di mahkamah. 

Sumber:- BERNAMA
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis sudah mengambil keterangan bapa dan kakak suspek masing-masing berusia 64 dan 34 tahun untuk membantu siasatan. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Polis masih mengesan seorang lelaki yang didakwa memurtadkan seorang wanita Islam sehingga menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis sudah mengambil keterangan bapa dan kakak suspek masing-masing berusia 64 dan 34 tahun untuk membantu siasatan.

“Mengikut keterangan bapa dan kakaknya, suspek berumur 29 tahun itu sudah lama tidak tinggal di rumah yang diperiksa polis tempoh hari,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan 34 kereta Toyota Hilux GS-Cargo Single Cab 2.4 kepada kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Ayob Khan memberi jaminan kes itu akan disiasat secara telus, adil dan saksama mengikut undang-undang dan orang ramai dinasihatkan supaya “tidak memanaskan” keadaan dengan mengeluarkan kenyataan atau provokasi yang boleh menimbulkan ketegangan kaum dalam negara khususnya di negeri ini.

Video berdurasi tiga minit dan 26 saat yang menunjukkan seorang lelaki mengaku memurtadkan seorang perempuan Islam dipercayai isterinya, tular menerusi media sosial.

Susulan itu, satu pemeriksaan dijalankan polis di sebuah rumah di Perjiranan Dato Onn, Bandar Dato Onn pada 19 Feb lepas susulan maklumat bahawa orang ramai berkumpul di rumah itu kerana mengesyaki suspek berada di kediaman berkenaan.

Namun ketika pemeriksaan dibuat, hanya bapa dan kakak suspek yang berada di rumah itu.

Sementara itu, berkenaan program yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Johor Khaw Kok Chin itu, Ayob Khan berkata semua kenderaan pacuan empat roda bernilai RM5.3 juta itu akan diagihkan ke semua ibu pejabat polis daerah negeri ini bagi menggantikan kenderaan Land Rover yang lama digunakan polis.

“Kenderaan ini akan digunakan bagi tujuan operasi yang dilengkapi pelbagai aksesori tambahan seperti ‘weapon bracket’, radio kawalan jauh dan kamera kenderaan,” katanya.

- BERNAMA

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian

Pelakon, pengacara dan penyanyi terkenal, Adibah Noor berkata, tiada salahnya jika menteri membiasakan diri menyampaikan ucapan dalam bahasa kebangsaan atau Melayu.

Adibah berkata demikian selepas menarik perhatian ramai pada 15 Feb lalu apabila memperbaiki sebutan bahasa Inggeris Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun.

Kata Adibah ramai pemimpin dunia memilih untuk berucap dalam bahasa kebangsaan masing-masing kerana kandungannya tetap boleh diterjemah ke bahasa khalayak sasaran khususnya apabila dalam majlis rasmi.

“Teruskan saja berucap dalam bahasa kebangsaan. Ramai pemimpin dunia juga memilih untuk berucap dalam bahasa kebangsaan mereka dengan penterjemahan atau sari kata disediakan dalam bahasa Inggeris untuk tontonan audiens antarabangsa,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Rina menjadi buah mulut ramai selepas dilihat kekok semasa memberi ucapan dalam bahasa Inggeris pada persidangan Suruhanjaya Pembangunan Sosial (CSocD59), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-59 baru-baru ini.

Menjelaskan matlamatnya, pemilik nama penuh Adibah Noor Mohamed Omar itu berkata dia hanya mahu mendidik orang ramai memperbaiki sebutan bahasa Inggeris.

Melalui Twitter, bekas guru bahasa Inggeris itu memuat naik klip video cara sebutan yang betul untuk perkataan doubt diucap Rina sambil berkongsi ilmu dengan pengikutnya di media sosial.

Untuk rekod, Adibah pernah berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris bermula dari 1993 hingga 1995.

Adibah, 50, berkata sekiranya seseorang menteri mahu berucap walau dalam apa jua bahasa sekali pun, mereka wajar mewujudkan pasukan yang boleh memantau proses tersebut.

“Wujudkan pasukan yang memantau sebutan, intonasi dan bahasa tubuh agar mesej dapat disampaikan dengan lebih baik. Bukan sekadar membaca saja,” katanya.

Untuk rekod wujud juga segelintir pihak yang berasa tidak setuju dengan cara pelakon drama bercorak komedi dan pendidikan Oh My English! itu membuat teguran ke atas Rina.

Malah ada yang menyifatkan Adibah sengaja mencari kesalahan individu berpengaruh bertujuan meraih populariti.

Mengulas hal tersebut, penyanyi Terlalu Istimewa itu berkata, dia sememangnya tidak boleh mengawal reaksi orang ramai.

“Yang boleh terima, alhamdulillah, kita belajar sama-sama. Yang tak boleh terima, tak mengapa. Semoga kita semua dapat manfaat daripada sikap kita,” katanya.

Untuk rekod, Rina yang juga ketua Wanita Bersatu itu bukanlan personaliti pertama ditegur Adibah.

Sebelum ini dia pernah membetulkan beberapa kesalahan sebutan dibuat pembaca berita TV3 semasa melafazkan wilderness, selain bunyi lirik dinyanyikan seseorang penyanyi popular.
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Batu Pahat: Seorang mangsa ditemukan hanya tinggal tengkorak selepas dipercayai hampir 10 bulan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 122.4 Lebuhraya Utara Selatan arah Yong Peng-Pagoh, dekat sini, hari ini, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, polis menerima maklumat daripada pekerja penyelenggaraan lebuh raya yang sedang melakukan kerja pembersihan longkang mengenai penemuan sebuah kereta dan satu tengkorak manusia di cerunan tepi sebelah kiri lebuh raya pada 1.10 tengah hari.

"Siasatan awal mendapati kedudukan kereta berkenaan agak terlindung di sebalik semak yang bercerun dengan jarak lebih kurang 67 meter dari lebuh raya, manakala tengkorak pula dijumpai berhampiran dengan kereta berkenaan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta itu hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di bawah cerunan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada Mei atau awal Jun tahun lalu.

Menurutnya, pemilik kereta Hyundai Sonata itu sudah dikenal pasti dan sudah dihubungi pihak polis serta sedang menunggu waris untuk siasatan lanjut.

"Kami sedang berusaha untuk mengenalpasti identiti mangsa melalui pemilik kenderaan yang dikenal pasti dan akan dipanggil bagi membantu siasatan.

"Kami sedang menyiasat mengenai satu laporan polis orang hilang dibuat pada Jun tahun lalu yang mungkin ada kaitan dengan kemalangan berkenaan.

"Tengkorak manusia itu kemudian dibawa ke Jabatan Patalogi Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sehubungan itu, Ismail menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati semasa memandu dan menunggang kenderaan.

Katanya, mereka perlu memaklumkan pergerakan kepada ahli keluarga terdekat supaya mudah dihubungi atau dikesan jika berlaku perkara tidak diingini.
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Mangsa kes bunuh mayat mati meninggal dunia - Foto mStar

ALOR SETAR - Seorang lelaki maut dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul di bahagian kepala di sebuah rumah di Jalan Hong Seng, Pasar Kota Sarang Semut, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan insiden pergaduhan antara dua lelaki kira-kira jam 8.05 pagi.

"Siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek marah kerana mangsa mengejek dirinya sebelum pergaduhan tercetus antara mereka.

"Punca kematian mangsa kerana dipukul oleh objek tumpul di bahagian kepala. Polis telah menahan suspek pada hari sama lebih kurang satu jam selepas kejadian," katanya kepada Sinar Online selepas melawat sekatan jalan raya di Tol Alor Setar (Selatan) pada Khamis.

Ahmad Shukri berkata, polis turut merampas senjata berupa sebatang besi yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek masing-masing berusian lingkungan 30-an sedang menjalani perintah sekatan atas kesalahan kes jenayah.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat," katanya.
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Perompak menuntut RM50,000 sebelum mengambil rantai bernilai RM1,200 dan bayi mangsa. - Foto hiasan

GEORGE TOWN: Seorang bayi berusia tiga bulan disumbat dalam dram dengan mulutnya disumbat kain dan ditampal pita pembalut selama lebih setengah jam oleh perompak yang berpura-pura menjadi penghantar barang.

Dua lelaki itu, seorang daripadanya bersenjatakan pisau, merompak wanita berusia 30 tahun berkenaan di kediamannya di sebuah flat di Batu Lanchang.

Mereka kemudian merampas bayi itu daripadanya dan menyoroknya dalam dram di dalam rumah itu.

Ibu bapa yang menyangka bayi mereka diculik bergegas mencari kanak-kanak itu di sekitar kediaman mereka sebelum akhirnya terdengar bunyi tangisan perlahan dari rumah mereka sendiri.

Portal FMT melaporkan dalam kejadian jam 10.30 pagi di Jalan Van Praagh, Isnin lalu, dua lelaki itu muncul di depan pintu rumah mangsa dengan membawa kotak dan memintanya menurunkan tandatangan. Sebaik wanita itu membuka pintu, seorang daripadanya yang bersenjatakan pisau memberi amaran supaya tidak menjerit atau dia akan dicederakan.

Menurut FMT, polis berkata dua lelaki itu kemudian masuk ke rumah mangsa dan menuntut RM50,000. Apabila mangsa berkata tidak mempunyai wang sebanyak itu, mereka melarikan rantainya bernilai RM1,200.

Anak perempuannya berusia tiga tahun ditinggalkan bersamanya manakala bayi lelaki berusia tiga bulan diambil suspek.

Mulut bayi itu disumbat kain sebelum ditampal pita pembalut. Bayi itu kemudian diletakkan dalam dram di dalam salah satu bilik kediaman berkenaan sebelum suspek beredar.

Wanita itu hanya menyedari bayinya hilang 10 minit kemudian.

Mangsa dan suaminya mengambil masa hampir setengah jam untuk mencari bayi mereka itu sebelum terdengar bunyi tangisan perlahan.

Ketua polis daerah timur laut Soffian Santong berkata polis kini memburu suspek dan meneliti rakaman CCTV.

Katanya, mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Nurfaiz Fathi Marhom di 04-282 5922 sambungan 228.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Pengasas Sugarbook itu turut disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Foto FMT

SHAH ALAM: Pengasas aplikasi Sugarbook yang ditolak permohonan reman ke atasnya pagi tadi ditahan semula oleh polis hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes rogol dan persundalan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata, penahanan lelaki berusia 34 tahun itu dibuat berikutan satu laporan polis daripada seorang pelajar institut pengajian tinggi pada 2019.

Katanya, kejadian berkenaan berlaku di Subang Jaya pada 19 Februari 2019.

“Lelaki itu telah ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 376 dan 372 Kanun Keseksaan berikutan laporan polis yang dibuat oleh pelajar wanita berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pagi tadi lelaki berkenaan dibebaskan polis selepas permohonan reman terhadapnya ditolak Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noorasyikin Sahat selepas membuat aku janji akan bekerjasama dengan pihak polis dalam siasatan berkaitan aplikasi itu.

Fadzil berkata pihak Pengarah Pendakwaan Selangor telah membuat permohonan semakan ke atas keputusan penolakan permohonan reman itu.

“Permohonan akan didengar di hadapan seorang Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah di Shah Alam pukul 9 pagi, esok,” katanya.

Terdahulu media melaporkan usahawan tempatan berasal dari Minden, Gelugor, Pulau Pinang itu ditahan pada 4.30 petang di sebuah kondominium di Kuala Lumpur semalam.

Dia disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - BERNAMA

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Lelaki itu didakwa merogol anak tirinya di dalam sebuah kereta di Jalan Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang.

BUTTERWORTH: Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan merogol anak tiri perempuannya yang berusia 15 tahun, di dalam sebuah kereta, pada 4 Februari lepas.

Astro AWANI melaporkan tertuduh yang berusia 43 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol anak tirinya di dalam sebuah kereta, yang diletakkan di tepi jalan di Jalan Bagan Jermal, Butterworth pada jam 6.30 petang, 4 Februari lepas.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mempunyai penjamin, selain mempunyai masalah kesihatan termasuk penyakit paru-paru dan buah pinggang serta masih menerima rawatan di hospital.

Noor Aini kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Mahkamah menetapkan 18 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi keputusan perubatan dan laporan DNA.
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian

 KOTA KINABALU: Petugas hidupan liar akhirnya berjaya menangkap seekor buaya yang lebih sebulan mendiami longkang monsun di seberang sebuah taman joging di sini, lapor FMT.

Renjer unit penyelamat hidupan liar negeri memerangkap reptilia sepanjang 2m itu di Taman Ujana Rimba Tropika semalam.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuugan berkata, buaya itu kali pertama dilihat di kawasan berkenaan Disember lalu.

“Kami menerima laporan buaya itu berjemur di beberapa struktur pilon plastik di seberang taman itu,” katanya dalam kenyataan.

Buaya itu ditangkap di longkang berkenaan yang bertentangan dengan bangunan Wisma Muis.

Tuuga berkata, insiden konflik antara buaya dan manusia meningkat di Sabah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sambil menambah, beberapa kejadian mengakibatkan kematian manusia.

“Ini disebabkan oleh peningkatan populasi buaya hasil program pemuliharaan yang berkesan sepanjang 30 tahun ini,” katanya.

Sen Nathan, yang mengetuai unit penyelamat hidupan liar, berkata, ada yang ingin jabatan hidupan liar tidak mengganggu reptilia itu.

“Mereka menyuruh kami memasang tanda untuk memberi amaran kepada orang ramai tentang buaya itu tetapi, sayangnya, ini tidak akan berkesan di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu,” katanya

Longkang monsun itu bersambung dengan sistem saliran di kawasan perumahan di kawasan Luyang dan Foh Sang yang berdekatan.

“Haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing akan menjadi ‘fair game’ untuk reptilia ini,” katanya.

“Apabila buaya itu bertambah besar, ia akan menjadi risiko serius bagi anak kecil dan orang dewasa. Inilah sebabnya mengapa buaya ini harus dipindahkan dari lokasi tersebut.”

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian

Sepasang suami isteri ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes seorang bayi perempuan berusia 14 bulan disyaki didera keluarga angkat.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud berkata suspek masing-masing berusia 26 dan 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 pagi tadi di sebuah rumah di Kok Lanas, Kota Bharu.

Menurutnya, hasil ujian air kencing mendapati si suami positif dadah jenis methamphetamine.

Ketika ini, kata Abdul Rahim kedua-dua mereka direman selama tujuh hari bermula sehingga Ahad depan.

"Siasatan mendapati kanak-kanak itu dipercayai mengalami kecederaan pada bahagian badan, muka, dahi dan tangan selain bengkak paha kanan.

"Kanak-kanak itu juga dipercayai diserahkan kepada pasangan terbabit selaku keluarga angkat pada Ogos tahun lalu oleh ibu kandungnya yang berusia 33 tahun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun tambah Abdul Rahim, pasangan itu menyerahkan semula mangsa kepada ibu kandungnya yang tinggal Besut, Terengganu pada Nov lalu.

Katanya, apabila menerima semula anaknya, ibu kandung kanak-kanak itu menyedari terdapat kesan parut pada tubuh anaknya sebelum membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Besut.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001," jelasnya.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Polis menahan empat lelaki disyaki terlibat kes pergaduhan bersenjatakan parang di Taman Juara Jaya, Batu 9 Cheras di sini pada Ahad.

Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (JSJ) dalam kenyataan berkata, polis sedang mengesan beberapa lagi suspek.

Motif kejadian adalah perebutan kawasan penjualan dadah antara Geng 08 Sg Besi Indah, Serdang dengan Geng 36 Bukit Belimbing, Kajang.

Video pergaduhan itu turut tular yang memaparkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang mencederakan sekumpulan lelaki yang lain.

JSJ Selangor memaklumkan dua lelaki yang cedera sedang menerima rawatan di hospital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata serta Seksyen 148 kanun sama kerana memiliki senjata dan merusuh.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta berhubung dengan mana-mana balai polis yang berdekatan atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi di talian 019-6655811.