Articles by "Khairy Jamaluddin"
Memaparkan catatan dengan label Khairy Jamaluddin. Papar semua catatan
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Khairy Jamaluddin berbincang sesuatu bersama Dr Adham dan Ka Siong di KLIA hari ini. - Foto Bernama

SEPANG - Malaysia kekal dengan polisi untuk memberikan dua dos suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech kepada penduduk di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pendirian itu diambil selari dengan saranan yang dibuat syarikat pengeluar vaksin tersebut.

"Perkembangan terbaharu yang kita baca baru-baru ini yang keluar dari sebuah negara yang telah melaksanakan program vaksinasi dengan kadar cepat, dinyatakan bahawa vaksin Pfizer (suntikan) satu dos sahaja memberi keberkesanan 85 peratus.

"Namun demikian, kita belum lagi buat kajian data tersebut dan kita masih lagi kekal dengan polisi dua dos untuk Pfizer," katanya dilapor Sinar Harian pada sidang media secara maya Ketibaan Bekalan Vaksin Covid-19 Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Malaysia telah membuat ketetapan mengenai jumlah dos vaksin Covid-19 yang akan diberikan.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan turut memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu bersetuju untuk memberikan satu skim perlindungan kepada sesiapa yang menerima kesan sampingan serius yang dapat dikaitkan secara langsung dengan pemberian vaksin.

Katanya, pengumuman lanjut mengenai skim itu akan dibuat dalam masa terdekat.
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Kata Khairy Jamaluddin, perdana menteri bakal menjadi orang pertama disuntik vaksin Pfizer untuk meyakinkan rakyat bahawa vaksin itu selamat. Foto FMT

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menjadi penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 apabila bekalannya sampai di Malaysia hujung bulan ini.

Perkara itu disahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Ya saya sahkan (perdana menteri) adalah orang pertama disuntik vaksin Pfizer sebab nak beri keyakinan kepada orang ramai bahawa vaksin selamat,” kata beliau dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Pada 4 Feb, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hujung bulan ini, dengan sasaran 80% populasi atau 26.5 juta individu menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma dalam tiga fasa.

Fasa pertama dari bulan ini hingga April adalah untuk sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam memerangi wabak itu.

Fasa kedua dari April hingga Ogos adalah bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya.

Fasa ketiga pula adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.

Menjawab dakwaan kononnya Malaysia menerima vaksin Covid-19 agak lewat berbanding negara maju lain serta negara jiran, Khairy menjelaskan ini kerana Malaysia lebih fokus kepada perancangan program vaksinasi yang lebih cekap dan berkesan untuk dijalankan sepanjang tahun sebaik sahaja vaksin diterima akhir bulan ini.

“Kita tidaklah lambat sangat seperti Australia, Korea Selatan dan Jepun yang masih mengkaji (vaksin yang sesuai). Saya suka mempercepatkan proses pembelian dan penghantaran dan mengikut perjanjian termeterai, kita akan terima pada Februari,” tambah beliau.

Khairy berkata, Indonesia mendapat vaksin Sinovac awal kerana negara itu merupakan tempat ujian manakala Singapura membuat pelaburan dengan pengeluar vaksin Pfizer-BioNTech.

“Saya rasa Malaysia tidaklah lewat sangat kerana kita tepati perjanjian. Apabila kita menerimanya (vaksin), kita akan dapat buat program vaksinasi. Tidak guna ada vaksin yang banyak tetapi tidak dapat membuat suntikan berkesan,” kata beliau.