Articles by "Jenayah"
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Sophia Fatehah Wan Farhan Danial meninggal dunia awal pagi tadi selepas beberapa jam menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP). - Foto Sinar Harian

BAYAN LEPAS: Polis menahan seorang pengasuh wanita bagi membantu siasatan susulan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat lemas di dalam besen, di rumah pengasuhnya di Batu Maung, Bayan Lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, wanita berusia 43 tahun dari Permatang Damar Laut itu ditahan pada jam 12 tengah hari tadi.

“Suspek ditangkap untuk membantu siasatan dan reman akan dipohon bagi melengkapkan siasatan.

“Penyiasatan akan dilakukan bagi mengenalpasti jika terdapat unsur jenayah dan kes disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selari bersama SDR,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa, Sophia Fatehah Wan Farhan Danial meninggal dunia awal pagi tadi selepas beberapa jam menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dikatakan lemas ketika berada di bawah jagaan pengasuhnya.

Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi pada Selasa ketika pengasuh tersebut mengisi air di dalam besen sehingga hampir penuh untuk memandikan mangsa.

Namun, wanita itu tersebut terlupa untuk mengambil tuala dan meninggalkan mangsa seketika di dalam bilik air.

“Apabila sampai semula di bilik air, pengasuh mendapati kepala mangsa dan separuh badan mangsa telah tenggelam di dalam air sementara kaki berada di luar besen.

“Pengasuh bertindak segera mengalihkan mangsa dari besen dan mendapati mangsa masih dalam keadaan sedar. Pengasuh seterusnya memakaikan lampin lalu menidurkannya,” kata Anbalagan.

Bagaimanapun, selepas 30 minit, kanak-kanak itu dilihat berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya sebelum dia dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans.

Mangsa yang berada dalam keadaan kritikal kemudiannya menghembus nafas terakhir pada jam 2 pagi tadi.

Proses bedah siasat akan dijalankan ke atas mayat mangsa pada Khamis setelah menjalani ujian COVID-19.

Sementara itu, bapa mangsa, Wan Farhan Danial Wan Azmi ketika ditemui redha dengan kejadian menimpa anak bongsunya.

“Pengasuh memang jaga anak saya sejak isteri habis berpantang. Tidak sangka jadi di rumah pengasuh. Pengasuh itu jaga dari anak pertama kami lagi, yang nombor satu dijaga dari umur enam bulan, memang sudah lama.

"Sebelum ini tidak ada da apa-apa yang jadi, kalau demam pun pengasuh akan beritahu, perkara hendak jadi kami tidak boleh hendak salahkan siapa-siapa," katanya.

Sumber ihsan Astro AWANI

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
KP Johor Ayob Khan berkata suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berunsur jenayah kekerasan termasuk dua kali dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat. - Foto Astro Awani

Seorang lelaki yang mengaku berpangkat 'Datuk Seri' ditahan polis selepas mengugut dua mangsa termasuk seorang anggota polis berpangkat Inspektor, pada Khamis, lapor Astro AWANI.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pada Isnin lalu mangsa yang berusia 50-an didatangi dua suspek termasuk ‘Datuk Seri’ berkenaan.

Katanya ‘Datuk Seri' itu kemudian melakukan pemerasan dengan mengugut mangsa supaya membayar sejumlah hutangnya dengan kekerasan sebelum mangsa membuat laporan polis.

Ketika ditahan ‘Datuk Seri’ terbabit sekali lagi bertindak mengugut seorang anggota polis bertugas yang berpangkat Inspektor.

“Tuan-tuan lihat apa ayat yang digunakan untuk mengugut pegawai polis. ‘Tuan tangkap saya, saya akan porak-perondakan semua balai polis dan hidup tuan’.

"Itu ugutan dia, dia ingat dia ada NGO belakang dia, belakang ada orang politik, dia boleh ugut polis. Datuk Seri ke, Tan Sri ke, kita akan ambil tindakan tegas, tiada tolak ansur," katanya dipetik Astro AWANI pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini harı ini.

Siasatan turut mendapati suspek berkenaan menggunakan gelaran 'Datuk Seri' yang tidak diiktiraf kerajaan Malaysia.

Semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berunsur jenayah kekerasan termasuk dua kali dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat dengan ditahan di Simpang Renggam dan Pulau Jerejak, sekitar tahun 80-an serta 90-an.

Kedua-dua suspek termasuk Datuk Seri itu disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan Seksyen 506 kanun keseksaan kerana ugutan jenayah.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Lelaki disyaki rakam video punggung wanita ditahan cawangan unit peronda polis (MPV) - Gambar/ PDRM

Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki merakam video punggung wanita menggunakan telefon bimbit di sebuah pasar raya di Sungai Petani, malam tadi, lapor Astro AWANI.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, laporan dibuat oleh seorang wanita iaitu mangsa pertama berusia 28 tahun pada jam 9 malam.

Beliau berkata, mangsa memaklumkan terdahulu dia menyedari lelaki berusia 27 tahun itu memerhatikan pergerakannya sambil menghalakan kamera telefon dipercayai untuk merakam videonya.

"Ketika itu, wanita terbabit bersama dua anaknya sedang memilih barangan di pasar raya berkenaan dan terasa seperti ada orang di belakangnya.

"Tidak lama kemudian, dia bersama suaminya memerhatikan kelakuan suspek (selepas suspek beredar) dari jauh sebelum mendapati suspek merakam gambar punggung beberapa pelanggan wanita di situ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, selain itu, mangsa turut ternampak suspek menyelak kain seorang wanita lain menggunakan kakinya, menyebabkan dia pergi ke arah suspek dan merampas telefon bimbit lelaki itu.

Beliau berkata, mangsa menemui beberapa rakaman video yang dirakam suspek sebelum itu.

"Wanita itu bertanya kepada suspek, adakah gambar atau videonya turut dirakam, suspek mengaku namun mendakwa sudah memadam video berkenaan.

"Berikutan itu, mangsa melaporkan perkara itu kepada pegurusan pasar raya terbabit dan suaminya turut menghubungi polis.

"Suspek kemudian ditahan oleh cawangan unit peronda polis (MPV). Siasatan mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya seperti dilapor Astro AWANI.

Adzli berkata, polis turut menerima laporan daripada mangsa kedua yang merupakan suri rumah berusia 39 tahun berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 509Kanun Keseksaan / 14 Akta Kesalahan Kecil (AKK).

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Polis menahan sekumpulan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian rusuhan di Restoran Sri Pandi di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, pada Ahad.

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki dan memburu empat yang lain berhubung kejadian merusuh di hadapan sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, malam tadi.

BHOnline melaporkan Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata kedua-dua suspek ditahan di sekitar ibu negara oleh anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9).

"Siasatan mendapati kejadian jam 10 malam berpunca sekumpulan 11 hingga 12 individu tidak berpuas hati apabila tidak dibenarkan untuk membuat pesanan makanan di restoran itu.

"Ini kerana pengurus restoran sudah mahu menutup operasi perniagaan mereka pada jam 10 malam bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya hari ini.

Menurut Anuar, perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati kumpulan lelaki terbabit yang kemudian merusuh dengan menggunakan kayu dan parang memecahkan botol dan gelas di restoran itu.

Ada 11 hingga 12 pekerja termasuk pengurus di restoran itu ketika kejadian dengan tiga pekerja cedera di kepala serta kecederaan ringan lain.

Beberapa peralatan seperti kerusi dan meja milik restoran terbabit turut rosak namun tidak serius.

"Kita sudah menahan dua individu berusia lingkungan 20-an dan 30-an malam tadi, di Jalan Travers dan Brickfields dan kita memburu empat lagi individu lain yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata," katanya.

Terdahulu, beberapa rakaman video berhubung kejadian itu viral di media sosial menunjukkan sekumpulan individu membaling kerusi dan meja di hadapan sebuah restoran.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Chong Kok Yeong dan isteri Teoh Lee Hong mendakwa rumah mereka di Taman Pulai Utama, Skudai, Johor dibaling bom molotov pada 9 Feb lalu sehingga menyebabkan beberapa bahagian di halaman rumah terbakar. (Gambar AP)

Pinjam RM1,000, namun hanya terima RM350 dan kini perlu membayar RM12,000 kepada ceti haram atau ah long, dakwa suami isteri yang kini hidup dalam ketakutan gara-gara perbuatan anak yang gagal menjelaskan hutang itu.

Chong Kok Yeong, 55, dan isteri Teoh Lee Hong, 56, mendakwa rumah mereka di Taman Pulai Utama, Skudai, Johor dibaling bom molotov pada 9 Feb lalu sehingga menyebabkan beberapa bahagian di halaman rumah terbakar.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, saya percaya mereka individu sama yang menyimbah cat merah dan hitam pada 7.30 malam, 8 Feb lalu,” katanya pada sidang media di pejabat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor.

Menurut lelaki itu, anaknya yang berusia 21 tahun bekerja di sebuah kedai makan di Pulau Pinang, namun menghilangkan diri sejak 19 Feb lepas.

“Anak lelaki saya ini gemar bermain judi dalam talian dan telah meminjam RM1,000 pada awal Februari lalu, namun hanya terima RM350 dan kini ah long itu minta bayaran balik RM12,000,” katanya, menambah turut menerima surat ugutan rumahnya akan dibakar jika hutang tersebut tidak dibayar.

Chong berkata, dia juga membuat lima laporan polis, mengharapkan tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima semua laporan berkenaan.\

Sumber: Free Malaysia Today

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata kartel dadah didalangi VVIP mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap minggu, namun JSJN menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bukti. - Foto FMT

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, merayu kerajaan meluluskan permohonan menambah anggota polis bagi menghadapi perang dadah, selepas dalang utama kartel berstatus Tan Sri dan Datuk dikenalpasti baru-baru ini.

Bercakap kepada media di Kem PGA Ulu Kinta hari ini, Hamid berkata polis sudah lama memperhatikan lebih lima kartel dadah yang didalangi orang kenamaan, dan mereka katanya sudah tidak boleh lari daripada pengawasan polis.

Namun, kerajaan perlu meluluskan pertambahan anggota jika mahu jenayah berkaitan dadah ditangani secara berkesan.

“Sekiranya saya perlu menyediakan tujuh dulang hati nyamuk, saya akan sediakan. Saya merayu kerana saya mahu menyedarkan semua pihak ancaman dadah ini adalah benar,” katanya.

“Saya tidak mahu dituduh sebagai Ketua Polis Negara yang gagal menangani masalah dadah.”

Hamid sebelum ini mendedahkan dalang utama sindiket penyeludupan dadah yang berselindung sebalik status Tan Sri dan Datuk sudah dikenal pasti, dan beliau mahu pastikan mereka ini dikenakan tindakan sebaik pembabitan dapat dibuktikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Hamid berkata kartel berkenaan mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap minggu, cuma apa yang menjadi halangan ketika ini masalah untuk mendapatkan bukti yang boleh mengaitkan dalang-dalang itu secara terus.

Kesukaran itu di sebalik kejayaan polis menumpaskan beberapa sindiket, dengan rampasan jutaan ringgit, dalam operasi demi operasi setiap minggu.

“Kartel dadah ini sudah tidak boleh lari,” katanya.

“Itu bukan amaran kosong…saya hanya ingin kongsikan dengan masyarakat bahawa ancaman dadah ini sebenarnya cukup berat.”

Sementara itu, mengulas perkembangan siasatan Macau Scam dan judi dalam talian yang turut membabitkan 31 pegawai dan anggota polis, Hamid berkata kertas siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard mengenainya sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis untuk tindakan lanjut.

Semua pegawai dan anggota polis tersebut kini dalam proses dijatuhi hukuman, tambah beliau.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed. Foto Bernama

Polis mempertahankan tindakan anggotanya yang menggeledah rumah didiami Jufazli Shi Ahmad untuk mendapatkan bahan bukti membantu siasatan di Taman Bukit Segar Cheras, Kajang pada 26 Februari lalu.

Kenyataan pihak polis itu dibuat ekoran penularan video klip berdurasi empat minit 30 saat itu yang tular dalam media sosial di mana selepas kehadiran anggota dan pegawai polis dipertikaikan oleh individu yang berada di rumah tersebut.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, klip video itu memaparkan seorang individu dipercayai Jufazli yang mempertikaikan tindakan polis dengan meminta waran tangkap dan waran geledah semasa pemeriksaan polis di kediamannya.

“Tindakan serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak polis dalam isu ini adalah mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub serta siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Tindakan itu juga diambil berlunaskan peruntukan di bawah Seksyen 248 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya jangan terpengaruh dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini seperti dilapor Malaysia Gazette.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat - Foto Sinar Harian

Dalam perkembangan sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor,  Datuk Fadzil Ahmat pula menegaskan, semasa kejadian, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Sepang telah melakukan serbuan di rumah berkenaan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia

Dalam proses siasatan itu, polis dikehendaki mengesan seorang individu dikenali sebagai Jufazli Shi Ahmad yang diperlukan bagi bantu siasatan namun sejak kes dilaporkan, beliau gagal tampil berjumpa pegawai penyiasat walaupun dipanggil beberapa kali.

“Saya menegaskan tindakan yang dilakukan pasukan penyiasat mengikut peruntukan undang-undang dan kuasa-kuasa yang menyiasat yang ditetapkan dan menafikan dakwaan individu itu bahawa polis lalukan serbuan tidak mengikut peruntukan undang-undang.

“Pada malam itu, polis menunggu hampir 30 minit di hadapan pintu rumah namun dia gagal dan tidak memberi kerjasama walaupun polis memperkenalkan diri.

“Akhirnya kami tiada pilihan lain dan terpaksa masuk bagi memastikan siasatan dan pengesanan barang-barang kes berkaitan dibuat.

“Kemungkinan barang-barang kes ini sudah dilenyapkan, tindakan rampasan dan pengeledahan sepertimana diperuntukkan dalam Seksyen 248 AKMM bahawa pengeledahan dan penyitaan tanpa waran oleh polis yang tidak berpangkat rendah daripada inspektor,” tegasnya dipetik Malaysia Gazette.

Polis Selangor terpaksa memcah pintu rumah Jufazli Shi Ahmad bagi mendapatkan bahan bukti - Foto OhMedia.my

Untuk rekod, bekas ahli DAP dari Sabah Jufazli Shi Ahmad pernah ditahan polis di rumahnya pada Mac, 2019.

Dalam siaran langsung di Facebooknya pada masa kejadian, Jufazli menunjukkan sekurang-kurangnya 4 anggota polis tiba di rumahnya untuk menahan beliau.

Katanya, beliau enggan mengikuti pihak polis kerana mereka tidak mempunyai waran tangkap.

Portal Free Malaysia Today melaporkan sekurang-kurangnya 1 laporan polis dibuat terhadap Jufazli kerana didakwa “menyerang secara lisan” Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu video berdurasi 58 minit, beliau menuduh Mahathir melakukan pelbagai jenayah, termasuk rasuah, salah guna kuasa dan membuat pakatan sulit dengan presiden PAS Hadi Awang dan bekas ketua menteri Sarawak, Taib Mahmud.

“Saya tidak akan memberikan kerjasama penuh kepada polis jika mereka tidak mematuhi undang-undang dan prosedur mereka sendiri,” katanya dipetik FMT dalam video tersebut.
Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Koong Swee Kwan pembunuh Hussain Najadi pengasas Ambank - Foto NST

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman mati seorang bekas pemandu trak tunda bagi kesalahan membunuh pengasas Arab-Malaysian Bank (AmBank) Hussain Ahmad Najadi pada 2013.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf turut mengekalkan hukuman penjara 18 tahun yang dijatuhkan ke atas Koong Swee Kwan bagi kesalahan cuba membunuh isteri Najadi iaitu Cheong Mei Kuen.

Turut bersidang hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Rahman Sebli dan Hasnah Mohammed Hashim.

Dalam penghakimannya, Rohana berkata pembelaan Koong telah diberi pertimbangan sewajarnya oleh Mahkamah Tinggi namun bukti terhadapnya amat kukuh dan meyakinkan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Koong, berkata jalan terakhir anak guamnya untuk mendapatkan kebebasan ialah dengan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Pengampunan.

Koong, 52, yang dikenali sebagai Sei Ngan Chai, telah dijatuhi hukuman mati pada 27 Okt 2017 kerana membunuh Najadi, 75, selepas kes itu dibicarakan semula.

Dia turut dijatuhi hukuman penjara 18 tahun kerana cuba membunuh Cheong.

Lelaki itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan di kawasan parkir Kuil Kuan Yin di Lorong Ceylon antara 1.30 tengah hari dan 2 petang pada 29 Julai 2013.

Pada 5 Sept 2014, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Azman Husin telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Koong kerana membunuh Najadi dan penjara 18 tahun bagi kesalahan cuba membunuh Cheong.

Chew Siang Chee pemandu teksi yang membawa pembunuh Koong Swee Kwan menembak mati Hussain Najadi dan cuba membunuh isterinya. - Foto Bernama

Bagaimanapun, pada 14 Dis 2016, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengenepikan sabitan terhadapnya dan mengarahkan kes itu dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi selepas memutuskan Mohd Azman mungkin berprasangka memandangkan dia telah mendengar rayuan seorang pemandu teksi, Chew Siang Chee, yang berdepan pertuduhan memiliki pistol dan peluru.

Chew dikatakan adalah individu yang memandu kenderaan membawa Koong dari lokasi selepas insiden tembakan itu.

Dia telah disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memiliki pistol serta peluru hidup. Bagaimanapun, dia telah dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2015.

Perbicaraan semula kes Koong telah didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ab Karim Ab Rahman (kini Hakim Mahkamah Tinggi).

Terdahulu, Hisyam berhujah bahawa pembelaan anak guamnya tidak dinilai secara adil oleh hakim yang mendengar perbicaraan kes itu seperti dikehendaki undang-undang.

Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi pula berhujah bahawa sabitan terhadap Koong adalah selamat kerana terdapat bukti yang kukuh serta meyakinkan untuk menyokongnya.

Dia berkata hakim Mahkamah Tinggi telah mematuhi Seksyen 182 Kanun Tatacara Jenayah ketika memutuskan bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan yang munasabah.

- BERNAMA

TIADA MOTIF PEMBUNUHAN?

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Alor Setar: Jurutera sebuah syarikat di Kulim Hi Tech dekat sini, kerugian RM20,000 selepas menerima mesej WhatsApp daripada lelaki yang menyamar sebagai 'kawan' bernama Zamri yang terdesak mahu meminjam wang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 56 tahun itu menerima mesej berkenaan pada 8.36 malam tadi ketika dia berada di sebuah pasar raya di Jalan Pegawai di sini, lapor Harian Metro.

Menurutnya, dia menerima mesej daripada 'kawan' yang dikenali yang mahu meminjam wang sebanyak RM5,000.

"Tanpa membuat semakan terlebih dahulu, mangsa terus membuat pindahan wang sebanyak empat kali ke tiga akaun berbeza secara perbankan Internet berjumlah RM20,000.

"Bagaimanapun, mangsa mula curiga dan sedar ditipu apabila suspek terus meminta wang untuk membuat pindahan wang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Elias berkata, mangsa kemudian menghubungi Zamri yang sebenar dan rakannya menafikan menghubungi mangsa untuk meminjam wang.

Menurutnya, rakan mangsa memberitahu WhatsApp miliknya sudah digodam selepas menyerahkan nombor kod WhatsApp yang diterima kepada nombor yang tidak dikenali.

"Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis di sini, untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kes ditipu kenalan sepanjang tahun lalu merekodkan 25 kes yang membabitkan kerugian berjumlah RM100,216.76.

"Bagi Januari dan Februari tahun ini, jumlah ditipu kenalan dicatatkan sebanyak 11 kes membabitkan kerugian RM49,935.15 dan ini menunjukkan peningkatan yang sangat ketara," katanya.

Menurut Elias, pihaknya ingin menasihatkan orang ramai jangan mudah percaya pada panggilan atau WhatsApp daripada orang yang tidak dikenali dan mendakwa kenalan lama atau keluarga kerana suspek berkemungkinan menggunakan gambar rakan dan keluarga untuk menipu.

Beliau berkata, buat pengesahan terlebih dahulu dengan menghubungi rakan atau keluarga anda melalui nombor telefon sebenar mereka dan berhati-hati berkongsi maklumat peribadi di media sosial supaya tidak disalahgunakan sindiket penipuan.

"Bukan itu saja, orang ramai juga disarankan supaya tidak membenarkan kenalan anda untuk menggunakan akaun bank sebagai akaun tumpang kerana dikhuatiri untuk tujuan penipuan," katanya dipetik Harian Metro.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Pemangku Ketua Polis Labuan DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani - Foto Borneo Today

Labuan: Polis Labuan membuka kertas siasatan berkaitan tiga laporan polis berhubung hantaran melalui Facebook yang membantah laungan azan di Masjid Sultan Muhammad V.

Pemangku Ketua Polis Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, siasatan dimulakan dari pelbagai sudut bagi menyelesaikan isu sensitif berkenaan.

"Kita mengambil berat kepada laporan yang dibuat berkaitan hantaran di platform sosial media itu yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

"Difahamkan, akaun Facebook itu adalah palsu, namun usaha sudah dimulakan mendapatkan butiran pemilik akaun itu melalui bantuan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM)," katanya kepada Bernama hari ini.

Umno bahagian Labuan membuat laporan polis pada Sabtu terhadap pemilik akaun Facebook Jason Ho yang memuat naik hantaran membantah laungan azan menggunakan pembesar suara, serta ugutan yang berbau perkauman.

Laporan polis terhadap hantaran yang boleh menjejaskan keharmonian kepelbagaian kaum dan agama itu, dibuat Setiausaha Umno Bahagian Labuan Dzulfaizal Ab. Manan di balai polis Labuan.

Turut membuat laporan polis pada hari yang sama ialah, Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Labuan yang diketuai Ketuanya Musa Basman.

Menurut Dzulfaizal dan Musa, laporan itu dibuat sebagai tanda sokongan kepada Jawatankuasa Masjid Sultan Muhammad V (yang membuat laporan pada 26 Feb) mahukan pemilik Facebook berkenaan disiasat.

"Individu itu sudah memuat naik hantaran di halaman Facebook Masjid Sultan Muhammad V, yang mendakwa laungan azan solat lima waktu menganggu ketenteraman.

"Apa yang dinyatakan individu berkenaan adalah sesuatu yang tidak wajar, kerana selama ini di Labuan tidak pernah wujud masalah bantahan berkaitan laungan azan," kata Dzulfaizal.

Lebih mengejutkan lagi katanya, mesej dari individu berkenaan juga mengandungi unsur ugutan dan berbaur penghinaan terhadap agama Islam, dengan tuduhan yang melampau.

"Individu itu mendakwa bahawa 'Islam is fake', penganas dan sebagainya. Kenapa perlu dikatakan agama kami membawa kebencian dan keganasan?" katanya.

Dzulfaizal yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Labuan, menyifatkan individu terbabit sebagai tidak menghormati agama Islam, yang merupakan agama rasmi Persekutuan yang jelas termaktub dalam perlembagaan, sambil meminta supaya perkara ini dapat disiasat dengan segera.

"Sekiranya pemilik akaun Facebook itu adalah samaran, kami berharap agensi yang berkaitan khususnya SKMM, dapat bertindak dan mengesan individu itu untuk tindakan selanjutnya," katanya.

- BERNAMA

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Jakarta: Seorang lelaki di Indonesia ditahan selepas menggunakan wang yang tersilap dimasukkan ke dalam akaun banknya.

Media tempatan melaporkan lelaki berkenaan bertindak sedemikian selepas menyangka wang itu adalah komisen daripada hasil jualan kereta.

Namun, dana berjumlah 51 juta rupiah (kira-kira RM14,630) itu sebenarnya bukan miliknya.

Sebaliknya, pihak bank tersilap dengan memasukkan wang itu ke dalam akaunnya.

Tribunenews melaporkan Ardi Pratama, 29, dari Surabaya langsung tidak menyangka dia akan ditahan polis selepas wang itu dimasukkan secara salah ke dalam akaun Bank Central Asia (BCA) miliknya, pada 17 Mac tahun lalu.

Pada mulanya, dia menyangkakan ia komisen hasil jualan kereta mewah selepas dia berjaya menjual kenderaan itu.

"Duit itu digunakan abang saya dan dipindahkan kepada ibu saya untuk membayar hutang. Nilainya sekitar 30 juta rupiah (RM8,610)," kata adiknya Tio Budi Satrio.

Ardi memberitahu pegawai bank dia sudah pun menggunakan wang itu dan berjanji akan menggantikannya secara ansuran.

BCA memaklumkan wang itu dipindahkan ke akaun Ardi bernombor 829089620, sedangkan sepatutnya ia dimasukkan ke akaun bernombor 829089626 milik seseorang bernama Philip.

Perbezaan digit terakhir itu menyebabkan wang itu dimasukkan ke akaun yang salah.

Peguam Ardi, R Hendrix Kurniawan berkata, pada 27 Mac, anak guamnya sudah bersetuju untuk membayar semula wang itu secara ansuran.

"Kemudian, BCA mengemukakan saman pada 31 Mac. Pada 2 April, anak guam saya dipanggil BCA dan hasratnya untuk membayar secara ansuran, ditolak," katanya.

- Agensi 

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman Datuk Razarudin Husain  - Foto BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang individu bergelar Tan Sri dan dua Datuk adalah dalang utama aktiviti pengedaran dadah kokain di negara ini sejak empat tahun lalu.

Tindak tanduk mereka amat sukar dihidu selepas hanya mempamerkan kehidupan seharian dengan terbabit dalam perniagaan sektor perhotelan, perkapalan, pengangkutan dan pembuatan besi.

Namun sebaliknya aktiviti yang menjana kehidupan mewah mereka adalah hasil daripada penyeludupan dan pengedaran dadah kokain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, ketiga-tiga kenamaan itu juga dikesan tidak menggunakan kakitangan perniagaan sah untuk aktiviti 'perniagaan' pengedaran dan penyeludupan dadah bagi mengelak sebarang kebocoran maklumat sekiranya kakitangan terbabit mengetahui tentang kegiatan dadah.

Menurutnya, Tan Sri dan Datuk ini mempunyai kakitangan lain untuk melaksanakan perniagaan dadah mereka daripada proses membawa masuk dadah menggunakan perairan negara, penyimpanan sehinggalah proses pengedaran ke luar negara.

"Tindakan JSJN Bukit Aman, pada masa ini adalah mengumpulkan maklumat dan bukti kukuh daripada ahli-ahli sindiket pengedaran dadah tempatan yang sudah diberkas sebelum ini sebelum melakukan tindakan tangkapan ke atas Tan Sri dan Datuk terbabit.

"Malah kita juga sudah menahan beberapa 'anak buahnya' melalui beberapa kejayaan yang sudah dilakarkan dalam operasi-operasi sebelum ini yang membabitkan peringkat Bukit Aman, Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara,"katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razarudin berkata, adalah amat penting bagi pasukannya mengumpulkan bukti kukuh sebelum sesuatu tindakan tangkapan dilaksanakan bagi memastikan ketiga-tiga dalang utama ini menerima hukuman sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

"Ada pepatah yang menyatakan 'jerat selalunya tak lupakan pelanduk' dan kita akan memberkas mereka yang dikesan aktif di semenanjung Malaysia ini apabila segala bukti yang kita ada jelas menunjukkan pembabitan mereka dalam kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan perisikan awal yang dijalankan, orang bawahan atau suruhan kepada tiga Tan Sri dan Datuk ini akan menguruskan penghantaran dadah ke Indonesia, Taiwan, Hong Kong dan Australia menggunakan kargo udara dan khidmat perkapalan.

Katanya, kes rampasan 12 tan kokain bernilai RM2.4 bilion yang disembunyikan dalam arang batu serta menjadi sejarah rampasan terbesar dadah dalam negara di Terminal Kargo Utara Butterworth, Pulau Pinang, pada 10 September 2019, dipercayai turut mempunyai kaitan dengan Tan Sri dan Datuk terbabit.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti dalang utama sindiket penyeludupan dadah di negara ini yang berselindung di sebalik status Tan Sri dan Datuk.

Abdul Hamid berkata, beliau akan memastikan individu berstatus Tan Sri dan Datuk itu dipenjarakan atau dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) sebaik pembabitan mereka dapat dibuktikan oleh JSJN.

Sumber: Harian Metro

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas, termasuk menggunakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 terhadap tauke dadah. (Gambar Bernama)

JELI: Polis mengenal pasti beberapa dalang utama sindiket penyeludupan dadah yang berselindung di sebalik status “Tan Sri”, “Datuk Seri” dan “Datuk”, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, Jabatan Narkotik di Bukit Aman kini dalam proses mengambil tindakan terhadap tauke dadah terbabit, yang juga didapati hidup mewah dengan berselindung di sebalik perniagaan sah menyebabkan polis sukar mendapatkan maklumat yang boleh mengaitkan mereka dengan kegiatan pengedaran dadah.

“Tetapi, saya akan pastikan mereka ini akan masuk (penjara), walaupun saya tahu statusnya tinggi bergelar Datuk, Datuk Seri atau Tan Sri…saya akan berusaha, perbuatan tidak bertanggungjawab mereka ini akan terungkai dan mereka akan didakwa.

“Paling tidak pun saya akan ambil tindakan di bawah Poca (Akta Pencegahan Jenayah 1959),” katanya selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat.

Hamid berkata, sudah tiba masanya kegiatan golongan itu didedahkan dan dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang merosakkan ribuan orang akibat terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.

“Beribu masyarakat rosak disebabkan perbuatan mereka hendak mendapatkan keuntungan secara haram ini dan sudah berapa ramai yang masuk penjara, berapa ramai warga polis dihukum disebabkan menerima rasuah untuk beri perlindungan menutup kegiatan tauke-tauke dadah ini.

“Jangan ingat mereka boleh berselindung di sebalik ‘title’ yang mereka itu untuk menjalankan aktiviti perniagaan yang kononnya sah, tetapi sebaliknya melakukan kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah.”

Beliau turut memberi jaminan polis di setiap peringkat daerah dan negeri akan menjalankan siasatan secara telus dan terperinci berhubung sindiket pengedaran serta penyeludupan dadah itu bagi memastikan setiap rangkaian sindiket dari atas hingga bawah ditumpaskan.

Mengulas laporan berhubung kejadian seorang pegawai dan lima anggota polis ditahan dalam serbuan parti liar di sebuah pangsapuri di Ipoh semalam, Hamid berkata: “Saya ingatkan kepada warga PDRM bahawa tiada maaf lagi untuk kesalahan sebegini kerana perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab.

“Saya sudah arahkan siasatan lanjut dilakukan supaya mereka tidak terlepas dan akan pastikan mereka dihukum.”

- BERNAMA

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Polis masih lagi mengesan seorang lagi rakan suspek, dikenali sebagai 'Bob Mah Sing', berusia 40-an yang masih lagi bebas. - Foto ihsan PDRM

Seorang pemandu kereta Proton Waja yang merempuh dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierramas di Sungai Buloh, di sini sehingga memaksa polis melepaskan beberapa tembakan, berjaya diberkas.

Astro AWANI melaporkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di kawasan perumahan Desa Aman, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

"Berdasarkan semakan, suspek mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kes dadah dan masih lagi mengesan seorang lagi rakan suspek, dikenali sebagai 'Bob Mah Sing', berusia 40-an yang masih lagi bebas," katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari, kedua-dua lelaki tidak mengendahkan polis ketika diminta keluar daripada kenderaan ketika pemeriksaan dilakukan.

Sebaliknya kata beliau, mereka bertindak memecut kenderaan berkenaan lalu merempuh beberapa kenderaan yang berada di hadapan laluan yang sama bagi meloloskan diri.

"Cubaaan mereka untuk merempuh kereta peronda polis berhampiran Bulatan Sierramas, Sungai Buloh, memaksa salah seorang daripada anggota melepaskan tembakan ke arah kedua-dua tayar kenderaan itu.

"Kenderaan suspek kemudian cuba memecut ke arah Kuala Selangor-Sungai Buloh, namun begitu kereta itu ditinggalkan di tepi jalan ekoran kebocoran pada tayar," ujarnya.

Nik Ezanee memberitahu, polis turut merampas satu bungkusan plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat 1.7 gram dalam kenderaan yang ditinggalkan itu.

Beliau memberitahu, suspek yang dtahan itu akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah reman.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 307, 427 dan 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian atau seorang lagi suspek yang masih bebas diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Chew Yong Hoa di talian 014-3929448 atau balai polis berhampiran dengan segera.


Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Video tular menunjukkan sebuah kereta merempuh beberapa kenderaan lain dalam usaha pemandunya melarikan diri daripada polis.

PETALING JAYA: Dua anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar sebuah kereta selepas pemandunya merempuh beberapa kenderaan untuk melepaskan diri di Bulatan Sierramas, Sungai Buloh.

Suspek bertindak agresif dan enggan menyerah diri walaupun keretanya dikepung anggota polis terbabit.

Kejadian berlaku sekitar 12.40 tengah hari tadi apabila anggota polis cuba menahan dua lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja.

Bagaimanapun, dua lelaki itu enggan membuka pintu kereta walaupun berulang kali diarahkan polis.

Pemandu kereta sebaliknya merempuh lori dan kenderaan lain dalam cubaan untuk meloloskan diri.

Dua anggota polis yang berada di lokasi kejadian melepaskan tembakan ke arah tayar kereta itu.

Kereta penjenayah turut merempuh kenderaan lain, sebelum melepaskan diri.

Kereta penjenayah itu akhirnya ditemui ditinggalkan berhampiran MRT Damansara Damai, Harian Metro melaporkan.

Dua penjenayah di dalamnya dipercayai melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran.

Ketua Polis Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan kejadian itu dan berkata anggota polis terbabit adalah dari Ibu Pejabat Polis Gombak, lapor The Star.

- FMT

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Lelaki dan wanita disyaki mabuk hina anggota polis ditahan - Foto NSTP

Dua ejen broker tanah ditahan kerana disyaki menghina dan menghalang tugas anggota polis di Damansara pada Khamis. 

Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sepasukan polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah menahan sebuah kereta BMW yang dinaiki seorang lelaki dan wanita dalam keadaan mencurigakan pada jam 12.20 tengah malam.

"Semasa hendak melakukan pemeriksaan, kedua-dua suspek berusia 28 dan 33 tahun itu enggan bekerjasama serta tidak berpuas hati terhadap polis yang menahan mereka.

"Suspek wanita tersebut telah mengeluarkan kata-kata kesat yang berbaur penghinaan terhadap polis manakala suspek lelaki pula cuba mempertikaikan tugas anggota terbabit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, kedua-dua individu yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Mereka ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan tidak sopan," katanya.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Lelaki rakam bawah skirt wanita ditangkap - Foto hiasan

KAJANG: Tindakan seorang penghantar makanan merakam video dengan meletakkan telefon bimbitnya di bawah skirt seorang wanita, membawa padah apabila dia didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli menjatuhi hukuman itu terhadap Shahidan Mohammad, 46, selepas dia mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Shahidan didakwa melakukan kesalahan itu ke atas mangsa berusia 38 tahun di dalam lif sebuah pangsapuri di Bandar Damai Perdana di sini pada 9 malam, 20 Feb lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa berada di dalam lif bersama tertuduh yang juga penghuni pangsapuri berkenaan, dia merasakan lelaki terbabit mencubit pahanya.

Curiga dengan tindakan lelaki itu, mangsa telah mengekori lelaki tersebut sehingga ke rumahnya dan meminta pihak pengurusan menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati lelaki itu telah merakam video dengan meletakkan telefon bimbitnya di bawah skirt mangsa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran mengambil kira tindakan lelaki itu jelas tidak menghormati dan mengganggu kesantunan seseorang wanita.

Peguam S Priyalatha yang mewakili tertuduh bagaimanapun memberitahu anak guamnya memohon maaf kepada mangsa dan semua pihak serta merayu hukuman ringan kerana perlu menyara isteri yang bekerja sebagai kerani serta enam anak berusia antara lima hingga 17 tahun.

- BERNAMA

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Ahmad Tuah Abdullah atau Tuah Ahmad Tuah seorang penjual kuih dimusim PKP dituduh menghina Polis Diraja Malaysia - Foto Bernama

KAJANG, 25 Feb  -- Seorang penjual kuih yang videonya tular di media sosial kerana menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat video secara langsung di akaun Facebook miliknya untuk memalukan pasukan keselamatan itu, tahun lepas.

Bagaimanapun, Ahmad Tuah Abdullah, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kai Che Ali. 

Lelaki itu didakwa secara sedar menggunakan aplikasi Facebook atas nama 'Tuah Ahmad Tuah' dan memulakan video secara langsung yang jelek sifatnya untuk memalukan nama PDRM dan nama ketua anggota PDRM, dengan niat menyakitkan hati orang lain dan pasukan keselamatan itu. 

Ahmad Tuah yang didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai makan di sini, pada 2.44 petang, 31 Ogos tahun lepas, dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a)

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin. 

Ahmad Tuah yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana bekerja sebagai penjual kuih hanya memperoleh pendapatan rendah lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini. 

"Saya tidak ada niat untuk menjatuhkan martabat PDRM dalam video itu. Saya mohon mahkamah kurangkan jaminan kerana saya tidak berkemampuan," katanya dalam nada sebak. 

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

_ BERNAMA


Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Kes polis, kes bunuh, kes tembak pistol senapang  - Foto hiasan

KANOWIT: Seorang lelaki maut selepas dipercayai tertembak diri sendiri menggunakan senapang patah ketika memburu di kawasan Hutan Latong, Machan, di sini, malam tadi.

BHONline melaporkan kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika mangsa berusia 30 tahun keluar memburu bersama tiga lagi rakannya.

Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong, berkata siasatan awal mendapati sejurus tiba di lokasi mangsa yang membawa senapang patah berjalan di hadapan diekori rakannya di belakang.

"Selepas beberapa minit memasuki hutan, secara tiba-tiba rakan mangsa terdengar bunyi letupan senjata api dari arah mangsa pada jarak kira-kira 10 meter di hadapan.

"Mereka kemudian mendapati mangsa berada dalam keadaan berlumuran dengan kesan tembakan di bahagian perut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kanowit untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan kira-kira jam 11.15 malam.

"Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis masih menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Berita terkini terbaru malaysiakini politik gossip artis harian metro sinar harian
Wanita yang mengaku murtad meminta maaf untuk dirinya dan suami.

Kuala Lumpur: "Demi Tuhan kita takkan buat apa lagi, kepada Menteri-Menteri, kepada seluruh rakyat Malaysia bagilah kesempatan (kepada) aku dan suami minta maaf. Kalau aku sama suami ada salah, maafkan."

Itu rayuan seorang wanita yang mengaku warga Indonesia dan meninggalkan agama Islam untuk berkahwin dengan suaminya bukan Islam dalam satu klip video berdurasi 3 minit 30 saat yang tular di media sosial.

Wanita terbabit mendakwa dia dimurtadkan atau keluar daripada Islam di negara asalnya iaitu Indonesia.

"Tolong, maafkan suami saya. Kami punya anak kecil lagi...tolonglah. Bersujud di kaki kalian semua pun tak ada masalah.

"Anak saya masih kecil, masih memerlukan ayah. Mungkin kalau semua orang dah maafkan, kita janji kita takkan buat video tentang agama semua itu," katanya dalam petikan video itu.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh meminta orang ramai menyerahkan siasatan isu video seorang lelaki bukan Islam yang dikatakan memurtadkan seorang wanita Islam kepada pihak polis.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya difahamkan isu itu sudah pun dalam perhatian dan tindakan polis selepas menerima aduan dari pelbagai pihak.

Dalam perkembangan berkaitan, Polis Johor mendedahkan pihaknya menyerbu sebuah rumah di Perjiranan Dato Onn, sekitar jam 9.50 malam semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, lelaki yang mendakwa sudah memurtadkan perempuan Islam itu sudah dikenal pasti namun ketika serbuan dia tiada di rumah berkenaan.

Katanya, kes video itu sedang Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.