![]() |
Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman berkata, Sajat perlu merujuk kepada pihak yang pakar agar mampu kembali kepada tuntutan agama.- Foto Straits Times |
![]() |
Sajat seorang khunsa bercadang murtad keluar Islam kerana tertekan kes JAIS. - Foto Mkini |
Mufti Pahang menasihatkan Nur Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat tidak biar diri dikuasai emosi dan segera menarik balik kenyataan yang membayangkan dia keluar daripada Islam atau murtad.
Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman berkata, Sajat seorang usahawan yang juga personaliti selebriti itu sebaliknya perlu merujuk kepada pihak yang pakar agar mampu kembali kepada tuntutan fitrah agama.
“Semoga dia menarik semula kenyataannya itu dan cuba dapatkan nasihat pihak tertentu untuk bertaubat daripada terus berada dalam keadaan yang merosakkan diri.
“Jika ikut hati, mati; ikut rasa boleh binasa. Janganlah ikut perasaan,” katanya kepada Malaysiakini.
Mufti Pahang itu juga berkata, Sajat boleh didakwa atas kesalahan pengucapan murtad oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
“Perbuatan dia tak beri kesan rugi pun pada masyarakat atau merugikan Allah SWT. Allah boleh mencipta generasi baru yang akan lebih taat kepada-Nya.
“Akan ada prosedur siasatan ketat sebelum boleh menghukum seseorang itu sudah murtad. Namun dia boleh disabitkan dan didakwa di mahkamah berdasarkan pengucapan atau perbuatannya untuk cuba murtad.
“Justeru pihak berkuasa masih ada masa untuk mendakwa (berkaitan kes disiasat) kerana dia masih Islam dan belum terbukti sudah murtad.
"Dari segi zahir mungkin boleh berlaku tapi secara rasmi, murtad itu mesti disahkan oleh mahkamah,” katanya.
Sebelum kes JAIS, Sajat juga pernah berkata lebih baik untuknya keluar Islam susulan kontroversi berpakaian seperti wanita ketika menunaikan umrah bersama keluarganya pada Julai tahun lalu.
Abdul Rahman menambah, pihak berkuasa wajar memainkan peranan penting untuk bertindak secara bijaksana dalam menangani isu Nur Sajat.
“Pihak berkuasa agama pada asasnya bukan untuk menghukum orang tetapi menasihati, membina semangat dan memberi petunjuk serta dorongan untuk golongan begini kembali normal.
“Tapi mungkin ada pihak marah-marah dan dakwa itu ini, justeru, wajarlah disiasat perkara tersebut dengan bijaksana bagi memastikan mana satu betul.
“Tindakan Jais sebenarnya untuk menyelamatkan Nur Sajat.
"Sifat Islam adalah saling menasihati. Jika pihak berkuasa tak ambil tindakan, bermakna akan ada pihak berpeluang buat apa saja untuk melanggar Islam." tegas Mufti Pahang tersebut seperti dilapor Malaysiakini.
Sebelum ini tular satu klip video di media sosial memaparkan Nur Sajat meluahkan hasratnya untuk keluar Islam susulan kecewa dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Nur Sajat dilihat seolah-olah mengancam untuk keluar Islam sambil bersumpah atas nama kedua ibu bapanya untuk berbuat demikian.
Nur Sajat berasakan laluan itu lebih ‘afdal’ buatnya selepas melalui pengalaman dikecam dan dipersalahkan pelbagai pihak susulan disiasat berkaitan kesalahan jenayah syariah kerana menghina Islam dan kesucian institusi agama di Selangor.
Untuk rekod pada 23 Feb lalu Nur Sajat dikenakan waran tangkap selepas dia gagal hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor untuk sebutan semula pertuduhan kes berpakaian wanita.
Nur Sajat, 35, bagaimanapun mendakwa dia mempunyai alasan untuk tidak hadir iaitu kerana mengalami masalah kesihatan.