Shahidan anggap Tajuddin “paling bodoh” pernah kumpul tandatangan jatuhkan Zahid

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4/04/2021 01:58:00 PTG

Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pernah melakukan gerakan menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno.

Shahidan berkata, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu telah mengumpul lebih 80 tandatangan ketua Umno bahagian untuk menggugat jawatan Zahid.

“Yang paling bodoh ini Tajuddinlah kerana dia pernah buat gerakan ambil tandatangan ketua bahagian untuk jatuhkan presiden (Ahmad Zahid).

“Dia kumpul tandatangan bermula tahun lepas sebelum dilantik jadi pengarah pilihan raya. Lebih 80 bahagian tandatangan dia kumpul untuk jatuhkan presiden,” lapor Malaysiakini.

Turut membuat dakwaan sama terhadap Pengarah Pilihan Raya Umno itu adalah seorang Ahli MT parti yang tidak didedahkan namanya oleh Malaysiakini.

“Dia (Tajuddin) panggil ketua-ketua bahagian, kumpul di rumah dia untuk tandatangan SD (akuan berkanun untuk menolak Zahid),” ujarnya lagi.

MT Umno itu mendakwa pertemuan Tajuddin bersama ketua-ketua bahagian Umno itu dibuat sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, lantaran rasa tidak puas hati beliau tidak diberi jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Dia (Tajuddin) panggil ketua-ketua bahagian, kumpul di rumah dia untuk tandatangan SD (akuan berkanun untuk menolak Zahid),” katanya yang merupakan ahli MT Umno.

Mendakwa pertemuan itu berlaku sebelum PRN Sabah, dia berkata Tajuddin bertindak sedemikian kerana tidak puas hati tidak diberi jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), dan menganggap Zahid sebagai presiden yang lemah.

Shahidan dan Tajuddin kini bertelagah berhubung isu kerjasama Umno dan Bersatu dalam PRU akan datang.

Terdahulu Tajuddin berkata kenyataan Shahidan bahawa keputusan untuk keluar daripada kerajaan PN terletak di tangan setiap anggota parlimen dan bukan MT, sebagai bodoh.

"Yalah, ahli-ahli parlimen tu diorang apa partinya? Jadi ahli parti mana? Umno BN-lah. Apa bodoh sangat Shahidan tu?" katanya.

Shahidan pula membalas dengan menyifatkan kenyataan itu sebagai sangat tidak wajar.

“Keputusan MT selama ini semua saya ikut, keputusan terbaru juga saya ikut...Cuma dalam perkataan saya sebut ‘kalau boleh’ (keputusan dibuat ahli parlimen). Tidak boleh tidak mengapalah,

“Jadi apa dia (Tajuddin) kata itu tak wajar sebagai pengarah pilihan raya sampai nak panggil saya bodoh. Saya pun tak pernah jumpalah pengarah pilihan raya bangang macam Tajuddin," katanya kepada Malaysiakini.

Dakwa Shahidan lagi, usaha menjatuhkan Zahid mungkin terhenti setelah Tajuddin dilantik menjadi pengarah pilihan raya Umno.

"Selepas dapat (jawatan itu), tak tahu dia masih (kumpul tandatangan) atau tidak,” katanya, sambil menyifatkan ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak wajar diberi jawatan tersebut.

"Entah apa dia sembang dengan presiden sampai jadi pengarah pilihan raya.Kalau nak lawan, lawan waktu pemilihan parti.

“Itu semua Tajuddin yang buat. Saya tak buat gerakan. Kalau dia kata saya bodoh kerana kononnya menyokong PN, dia lagi bodoh lawan presiden," dakwanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi Tajuddin untuk mendapatkan respons berhubung dakwaan ini.

Sebelum ini, memang wujud khabar angin berkenaan usaha menjatuhkan Zahid, antaranya menerusi buku berjudul 30 Dalil Mengapa Ahmad Zahid Perlu Letak Jawatan Sebagai Presiden Umno yang dikatakan beredar pada Januari lalu.

Sumber: Malaysiakini