Gambar Geng Nicky diedar di pos kawalan sempadan negara

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4/05/2021 06:42:00 PTG
Polis telah mengedarkan gambar ahli kumpulan 'Geng Nicky' kepada petugas di sepanjang pos kawalan sempadan negara bagi memastikan ahli kumpulan jenayah terancang itu tidak melarikan diri atau cuba memboloskan diri ke negara jiran.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata gambar ahli kumpulan 'Geng Nicky' yang diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee itu kini diedar kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mengawal sempadan tanah air.

"Semua anggota dan pegawai PGA di pos kawalan di sempadan sudah diarahkan supaya membuat pemantauan terhadap kes ini. Segala pergerakan yang mencurigakan akan dipantau termasuk cubaan keluar dari sempadan mengikut laluan tidak sah.

"Kesemua anggota turut diarahkan supaya sentiasa berwaspada dan melakukan pemeriksaan dengan lebih ketat di sempadan," Majlis Perasmian Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) di Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan, Nicky, dan ahli kumpulannya kemungkinan berusaha melarikan diri ke luar negara selepas operasi memberkasnya pada 20 Mac lepas didakwa telah dibocorkan pihak yang menerima habuan daripadanya.

Polis juga tidak menolak kemungkinan ahli perniagaan itu akan menggunakan laluan tikus di sempadan negara ini bagi melarikan diri daripada ditahan.

Selasa lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan 34 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa disyaki mempunyai hubungan dan melindungi kegiatan sindiket jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

Nicky, 33, merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lepas.

- Bernama