China ‘abang besar’: Hishamuddin letak taraf Malaysia seperti boneka asing

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4/04/2021 03:06:00 PG

Tindakan Menteri Luar Hishamuddin Hussien menyifatkan China sebagai ‘abang besar’ kepada Malaysia terus dikritik, kali ini daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, Malaysia sebagai negara yang berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia, kenyataan Hishamuddin itu jelas suatu bentuk penghinaan terhadap negara sendiri.

“Menteri Luar harus segera memohon maaf kepada rakyat Malaysia lantas menarik balik kenyataan hambar tersebut,” kata beliau dalam kenyataan.

Beliau berkata, pengucapan Hishamuddin itu bukan bahasa dan gaya yang sepatutnya digunakan dalam dunia diplomasi dan hubungan antarabangsa kerana ia seolah-olah meletakkan taraf Malaysia kepada hanya sebagai boneka asing.

“China adalah negara sahabat dan kita seharusnya menumpukan segala usaha dan keringat untuk meningkatkan kerjasama perdagangan serta pelaburan dengan negara tersebut.

“Namun, apa yang menghairankan adalah tindakan Menteri Luar Hishammuddin Hussien sewaktu pertemuan dengan rakan sejawatnya, Wang Yi yang menyifatkan Republik itu sebagai ‘big brother’ kepada Malaysia,” katanya.

Semalam, Malaysia Dateline melaporkan kritikan rakyat negara ini terhadap pengucapan Hishamuddin yang menyifatkan China sebagai ‘abang besar’ di Malaysia ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China di Fujian baru-baru ini bagi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sekaligus memulakan pengukuhan kerjasama Malaysia-China dalam pelbagai bidang terutama di era pasca pandemik #COVID19.

Sebagai negara yang berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia, kenyataan beliau itu jelas suatu bentuk penghinaan terhadap negara kita sendiri.

Sumber - Malaysia Dateline