China ‘abang besar’: Budaya mengampu kerajaan PN di tahap maksima

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4/06/2021 08:09:00 PTG

 Pengiktirafan China sebagai ‘Abang Besar’ dianggap amat keterlaluan, malah menunjukkan bahawa budaya mengampu kerajaan PN sudah berada di tahap maksima, demikian menurut Ahli Parlimen Johor Bharu Akmal Nasir.

Katanya, Hishamuddin Hussien tidak perlu mempertahankan kenyataannya yang hanya sekadar menegakkan benang yang basah.

“Rakyat Malaysia tidak terlalu dungu dalam hal-hal berkaitan diplomasi,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Hishamuddin perlu berjiwa besar dengan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia serta menarik balik ungkapan ‘Abang Besar’ yang mencalarkan imej negara di mata dunia.

Kataya, Menteri Luar berkenaan diingatkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia.

“Kenyataan yang dikeluarkan dengan memanggil China sebagai ‘Abang Besar’ merupakan suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan memperlihatkan bahawa pemimpin negara mempunyai pemahaman lemah terkait diplomasi, strategi, politik Asean dan juga China,” katanya.

Dalam mana-mana hubungan diplomatik, katanya, penggunaan sesuatu frasa ayat oleh pemimpin perlu dikaji secara mendalam sebelum diungkapkan.

“Ini kerana diplomasi merupakan garis pertahanan pertama bagi sesebuah negara.

“Kenyataan yang tidak selayaknya diungkapkan oleh Menteri Luar bukan sahaja merendahkan martabat negara, malah meletakkan Malaysia seperti boneka kepada negara China.

Sebagai sebuah negara yang berdaulat, Hishammuddin perlu sedar bahawa China tidak pernah mengiktiraf Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia dan sentiasa menganggap beberapa pulau yang menjadi pertikaian di perairan sempadan Malaysia – China sebagai milik mereka,” katanya.

Sumber: MalaysiaDateline