Umno diheret ke arah Anwar, DAP, kata Annuar Musa

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/05/2021 04:49:00 PTG
Annuar Musa berkata, kenyataan media terbaru Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan bukti bahawa UMNO kini dikuasai Pakatan Harapan (PH). - Foto ihsan FMT

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mendakwa UMNO kini seperti sudah berada di bawah pengaruh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, kenyataan media terbaharu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan bukti bahawa UMNO kini dikuasai Pakatan Harapan (PH).

"Selepas tersebar surat sokongan dan ikrar setia Presiden UMNO kepada Anwar yang disembah kepada Yang di-Pertuan Agong, kenyataan media ini merupakan satu lagi bukti pimpinan UMNO kini berada di bawah pengaruh Anwar Ibrahim.

"Ini jelas membelakangi dasar parti tidak menyokong Anwar dan DAP," kata Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Jumaat.

Pada Khamis, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan sidang Parlimen diadakan segera.

Bagaimanapun MIC mendakwa kenyataan Ahmad Zahid itu kurang tepat.

Presiden MIC, SA Vigneswaran sebaliknya berkata, mesyuarat BN pada Rabu memutuskan untuk tidak membuat sebarang andaian dengan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung sidang Parlimen

Mengulas lanjut, Annuar berkata, kenyataan Ahmad Zahid agar sidang Parlimen diadakan dibuat kira-kira 24 jam selepas Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya memutuskan sekali lagi bahawa BN mengekalkan dasar tidak menyokong atau bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Menurut Annuar, ini jelas menunjukkan semua keputusan UMNO tidak lagi dipatuhi sebaliknya parti itu hanya mencuba untuk terus menjayakan agenda peribadi.

“Ahli dan akar umbi dipersendakan pemimpin. Hasrat ahli ingin melihat semangat kesatuan parti-parti berteraskan perpaduan Melayu semakin kabur.

“Peranan UMNO memperkasa muafakat bersama Pas semakin renggang sedikit demi sedikit UMNO diheret ke arah Anwar dan DAP. Kita semakin jauh dari aspirasi rakyat, terutama orang Melayu dan umat Islam,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengulangi pendiriannya kepada keputusan parti untuk tidak menyokong Anwar dan tidak bersama DAP.

“Saya masih utuh mendukung setiap ayat dalam piagam Muafakat Nasional dan nota persefahaman UMNO dan Pas yang saya turut terlibat menggubal dan membuat pengisytiharannya,” katanya.

Sumber berita: Astro AWANI

TERBARU: Syarikat Suap Zahid Tiada Perniagaan Tapi Wang Banyak Keluar Masuk, Kata Pegawai SPRM Kepada Mahkamah