Tun M tak serang saya mungkin ambil vaksin kot, gurau Anwar

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/15/2021 12:17:00 PTG
Anwar tetap menghormati negarawan Tun Mahathir - Foto Al Jazeera

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir secara gurauan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tiba-tiba 'senyap' sedangkan selalu sering menyerangnya.

Kata Anwar, hanya beberapa minggu ini sahaja Dr. Mahathir ‘menyepi’ dan tidak menghentamnya, dan beranggapan mungkin Ahli Parlimen Langkawi itu sudah mengambil vaksin Covid-19.

“Saya selalunya selama ini, dua minggu ini saja dia tak serang saya. Saya pun hairan sebab apa. Mungkin dia ambil vaksin kot?

“Dua minggu ini dia tak serang, kalau tak tiap-tiap minggu ada saja Anwar begitu, Anwar begini. Jadi saya tak perlu jawab. Sebab apa? Sebab kita nak tumpu kerja dan masa depan,” katanya kepada Mingguan Malaysia dalam wawancara baru-baru ini.

Anwar berkata, meskipun kerap diserang, beliau tidak berdendam dengan Dr.  Mahathir malah menyifatkan negarawan itu sebagai seorang yang banyak jasa kepada negara.

Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar turut berkata, tindakan lompat parti itu mengkhianati amanah yang diberikan oleh pengundi, dan menyifatkannya sebagai langkah yang akan makan diri kerana ‘pengkhianat tidak akan menang’.

Anwar mendakwa, setakat ini belum pernah mana-mana individu yang digelar ‘pengkhianat’ – yang merujuk kepada politikus lompat parti – pernah memenangi sebarang pilihan raya, malah mendakwa semua mereka kalah teruk.

“Saya berdoa agar yang khianat itu terus merudum,

“Orang yang khianat ini tidak akan menang. Adakah yang khianat boleh menang? Belum ada, kalah teruk semua.

Pengalaman kita dari 2004, yang khianat itu semua merudum. Sebaik sahaja dia khianat pengundi akan menghukum,” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia tersebut.

Anwar turut menggesa agar perbahasan mengenai Akta Lompat Parti dibuat segera demi memastikan satu peruntukan undang-undang dapat dikuatkuasa bagi menangani isu itu.