"Tolak Muhyiddin, Umno putuskan hubungan Bersatu sebelum Parlimen bersidang" - Tengku Razaleigh

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/03/2021 03:39:00 PTG
Tengku Razaleigh menggesa menolak kempimpinan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. - Foto MalaysiaDateline

Majlis Tertinggi (MT) UMNO diminta untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi memutuskan hubungan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum Parlimen bersidang pada Mac ini.

Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah [Ku Li] berkata, gesaan itu mesti dilakukan mengikut semangat dan kehendak perwakilan 147 Bahagian UMNO di seluruh negara sebelum ini.

"Majlis Tertinggi mesti mengadakan mesyuarat tergempar memutuskan supaya kesemua ahli-ahlinya wajib memutuskan kerjasama dengan Bersatu mengikut semangat dan kehendak Perwakilan 147 Bahagian UMNO," katanya dipetik Sinar Harian melalui kenyataan medianya.

Ku Li dalam kenyataan sama turut menggesa MT UMNO wajib mengundi menolak pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dan ketua kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Gua Musang itu dilapor Sinar Harian turut meminta ahli-ahli Parlimen daripada semua parti komponen Barisan Nasional (BN) turut sama mengundi menolak kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Untuk rekod, sebelum ini, Tengku Razaliegh mengadakan sidang media dengan Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak semua pihak menolak kepimpinan Muhyiddin.

Sebelum ini juga, dua MP Umno telah menyatakan mereka tidak lagi menyokong Muhyiddin selaku perdana menteri. Ini menyebabkan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin hanya disokong 109 ahli Parlimen dan hilang majoriti dalam Dewan Rakyat.

Menurut portal Malaysia Dateline milik parti AMANAH, sebaik sahaja Yang Dipertua Agong menitahkan Parlimen boleh bersidang semasa darurat, Muhyiddin menerima sokongan dua MP dari PKR, menjadikan PN mempunyai majoriti semula.

Hanya melalui tindakan Umno, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin boleh jatuh kerana selama ini Umno yang menongkat kerajaan PN yang ada.

Jika Ku Li berjaya membuatkan Umno menarik balik sokongannya kepada Muhyiddin bermakna kerajaan Muhyiddin akan jatuh, justeru itu samada negara bertukar perdana menteri atau Muhyiddin segera mengisytihar PRU15.