Tenaga elektrik tiada alasan kerajaan tak beri peluang, titah Sultan Johor

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/10/2021 02:04:00 PG
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar - Foto Facebook

Cadangan Majlis Pecah Tanah Projek Taman Solar Sultan Ibrahim di Pengerang, Johor yang dijadualkan pada 23 Mac ini dengan keberangkatan hadir Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dibatalkan.

Majlis pecah tanah projek berkenaan terpaksa dibatalkan kerana sehingga kini Kerajaan Persekutuan belum memberikan sebarang maklum balas berkaitan cadangan projek tersebut, menurut Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

“Saya nampak tidak ada alasan mengapa Kerajaan Persekutuan tidak boleh berikan peluang kepada Negeri Johor untuk menjadi pengeluar tenaga elektrik yang mesra alam ini, kita ada kawasan tanah yang sesuai, pembangunan yang pesat di negeri ini dan permintaan daripada negara jiran, menjadikan Johor sebagai lokasi yang paling strategik” titah Sultan Johor dalam satu kenyataan.

Terdahulu Sultan Johor bertitah mengumumkan Johor akan menjadi pengeluar utama tenaga mesra alam, dengan pembukaan taman tenaga solar di Pengerang.

“Taman Solar Sultan Ibrahim, projek bernilai RM1.4 billion itu akan menjadi yang terbesar seumpamanya, di Asia Tenggara dengan berkapasiti 450MW (megawatt).

“Ia adalah projek pelaburan swasta berskala besar yang pertama diperolehi oleh Negeri Johor bagi tahun 2021 atas usaha Baginda Tuanku Sultan yang sentiasa mengalakkan pelaburan dan pembangunan ekonomi untuk rakyat dan negeri Johor,” kata kenyataan itu.

Projek itu juga seiring dengan Pelan Pembangunan Mapan Johor 2030 yang mengutamakan kelestarian alam sekitar dalam pembangunan ekonomi dan kemakmuran hidup rakyat.

Taman Solar Sultan Ibrahim dijangka memberi impak kepada pembangunan ekonomi Negeri, dengan penawaran kerja kepada pelbagai peringkat, kerana ia juga akan menjadi sistem penyimpanan tenaga solar terbesar di rantau ini apabila beroperasi sepenuhnya menjelang 2023.