Tak mahu lagi orang ‘ludah’ polis, Hamid perjelas tindakan bongkar kartel dalam PDRM

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/24/2021 11:42:00 PG
Abdul Hamid Bador menegaskan pendedahan kartel jenayah dalam polis tidak ada kena-mengena dengan kontrak perkhidmatannya yang akan tamat Mei ini. - Foto FMT

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, pendedahan wujudnya kartel jenayah dalam polis dibuat kerana beliau tidak lagi mahu orang awam “meludah kita”. 

Hamid mendedahkan kartel itu kerana ia membabitkan soal integriti dan dibuat atas keperluan membela kewibawaan polis.

“Kita ingat orang hormat kita, tetapi di belakang orang ludah kita. “Apa berlaku masa lampau, bagaimana orang takut untuk membuat laporan polis, (jadi) kita tak nak wujudkan keadaan sebegitu.

 “Saya nak jadikan balai polis sebagai tempat perlindungan untuk buat aduan,” katanya dipetik Berita Harian. 

Beliau sekali lagi memberi kata dua kepada anggota polis yang bersekongkol dengan penjenayah supaya menghentikan perbuatan itu serta-merta. 

“Saya beri amaran untuk hentikan elemen dan pergaulan dengan tauke dadah serta judi. “Putuskan hubungan dengan mereka bagi jalankan tugas secara selesa tanpa diugut pihak lain. 

Elakkan diri terpaksa pakai baju jingga (baju reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) kerana sejak (saya) dilantik KPN pada 2019, hampir 100 anggota sudah pakai baju itu,” katanya. 

Kelmarin, Hamid berkata, “ambil duit” menjadi budaya dalam kalangan pegawai bawahan hingga atasan. 

Beliau turut dilaporkan berkata, sekumpulan polis membentuk kartel untuk mendominasi pasukan itu bagi menjatuhkannya. 

Katanya, kartel itu akan memastikan rakan subahat mereka dinaikkan pangkat untuk mendominasi pucuk pimpinan tertinggi polis pada masa depan. 

Pada sidang media hari ini, Hamid sekali lagi menegaskan pendedahan kartel itu tidak ada kena-mengena dengan kontrak perkhidmatannya yang tamat Mei ini. 

“Saya bukan nak ‘test market’ dan umpan. Saya tidak minta kontrak disambung, saya bukan manusia macam itu. “Saya yakin dengan pegawai muda dan pelapis sedia ada. Perkara ini tiada kaitan politik dan saya ikhlas dedahkan perkara ini.” 

Beliau berkata pihaknya tidak berhasrat mendedahkan senarai nama anggota dan pegawai yang didakwa mewujudkan kartel berkenaan, tetapi akan mengambil tindakan terhadap mereka yang dikenal pasti. 

“Saya mahu orang awam tahu, saya tahu apa yang mereka tahu mengenai kerja tidak elok dalam pasukan polis. 

Perkara ini akan dibincang dengan timbalan KPN (Acryl Sani Abdullah Sani).” Beliau berkata, tidak salah untuk mana-mana pegawai bercita-cita tinggi, namun niat mereka berbuat demikian harus baik. 

“Tiada masalah apabila bercita-cita untuk menjadi pengarah di Bukit Aman dan KPN. Yang tak sihat dan salah adalah (menyimpan) niat lain.”

Sumber: FMT