Politik hari ini 'cuma kerja' mengungkit balas dendam, bidas Khir Toyo

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/07/2021 11:14:00 PG
Dr Khir Toyo mencadangkan perjanjian atau persefaham baharu politik mencontohi Tun Abdul Razak ketika negara mendepani krisis. - Foto The Sun Daily/Amirul Syafiq

Khir Toyo mendakwa kemelut politik pentadbiran kerajaan kini berpunca tiada  'new deal' atau rundingan baharu selepas pertukaran kerajaan pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dilapor Sinar Harian berkata, sehingga kini, tiada mana-mana parti-parti politik di negara ini berani untuk membuat rundingan baharu seperti yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Mohamad Khir berkata, sewaktu ketidakstabilan politik negara pada tahun 1969 lalu, Tun Abdul Razak telah membawa rundingan baharu dengan memperkenalkan DEB yang dapat diterima baik oleh semua pihak termasuk rakyat negara ini.

"Kita kena kaji balik apa Tun Abdul Razak buat ketika itu antaranya dengan tubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan membuat 'new deal' sehingga Barisan Nasional (BN) dapat dibentuk.

"Ketika itu, parti Gerakan yang menang di Pulau Pinang turut dijemput masuk ke dalam BN bersama-sama Pas.

"Tapi bila berlaku pertukaran kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu, kita tak buat 'new deal' itu. (Apa) Yang berlaku hanya ungkit mengungkit dan kerja balas dendam," katanya dipetik Sinar Harian menerusi Facebook Live Apa Kata Dahlan bertajuk 'Jajaran Baru UMNO Ke Arah Mana?' 

Khir dilapor Sinar Harian berkata, DEB sudah diperkenalkan sejak 30 tahun lalu dan negara pada masa ini masih tidak mempunyai sebarang dasar baharu yang diyakini mampu untuk direalisasikan serta dinikmati oleh rakyat.

Menurut Khir, ahli-ahli politik sepatutnya bertindak rasional memandangkan kebanyakan parti-parti politik di negara ini mempunyai pengalaman berada dalam pentadbiran kerajaan.

"Jadi mereka akan tahu apa kepincangan kerajaan tapi malangnya masih tak ada idea-idea baharu," katanya.

Tambahnya, golongan muda di negara ini turut terkapai-kapai berikutan gagal melihat dengan jelas hala tuju negara pada masa hadapan.

"Sebab itu, kerajaan mana pun yang naik atau kekal selepas ini perlu menyediakan satu pelan jangka panjang seperti mana dilakukan oleh Tun Abdul Razak.

"BN mampu stabil selama 30 tahun kerana gagasan 'new deal' yang dibawa ketika itu cukup difahami pemimpin dan diyakini rakyat," katanya.

Untuk rekod, negara kini berhadapan krisis keabsahan kerajaan Muhyiddin Yassin di parlimen selain perang mulut antara pemimpin Umno di dalam kabinet Muhyiddin dengan mereka yang di luar, tidak mendapat apa-apa habuan jawatan.

Kerajaan Muhyiddin juga mendapat tekanan semua parti utama antaranya Umno, PKR dan DAP agar parlimen segera bersidang.

Sementara itu, veteran Umno Tan Sri Rafidah Aziz pula menggelar politik hari ini sebagai politik 'konco-konco' membangun diri sendiri bukannya membangun membela rakyat.