Polis tahan pengasuh, kes Sofea Fatehah lemas dalam besen

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/03/2021 06:22:00 PTG
Sophia Fatehah Wan Farhan Danial meninggal dunia awal pagi tadi selepas beberapa jam menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP). - Foto Sinar Harian

BAYAN LEPAS: Polis menahan seorang pengasuh wanita bagi membantu siasatan susulan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat lemas di dalam besen, di rumah pengasuhnya di Batu Maung, Bayan Lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, wanita berusia 43 tahun dari Permatang Damar Laut itu ditahan pada jam 12 tengah hari tadi.

“Suspek ditangkap untuk membantu siasatan dan reman akan dipohon bagi melengkapkan siasatan.

“Penyiasatan akan dilakukan bagi mengenalpasti jika terdapat unsur jenayah dan kes disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selari bersama SDR,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa, Sophia Fatehah Wan Farhan Danial meninggal dunia awal pagi tadi selepas beberapa jam menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dikatakan lemas ketika berada di bawah jagaan pengasuhnya.

Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi pada Selasa ketika pengasuh tersebut mengisi air di dalam besen sehingga hampir penuh untuk memandikan mangsa.

Namun, wanita itu tersebut terlupa untuk mengambil tuala dan meninggalkan mangsa seketika di dalam bilik air.

“Apabila sampai semula di bilik air, pengasuh mendapati kepala mangsa dan separuh badan mangsa telah tenggelam di dalam air sementara kaki berada di luar besen.

“Pengasuh bertindak segera mengalihkan mangsa dari besen dan mendapati mangsa masih dalam keadaan sedar. Pengasuh seterusnya memakaikan lampin lalu menidurkannya,” kata Anbalagan.

Bagaimanapun, selepas 30 minit, kanak-kanak itu dilihat berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya sebelum dia dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans.

Mangsa yang berada dalam keadaan kritikal kemudiannya menghembus nafas terakhir pada jam 2 pagi tadi.

Proses bedah siasat akan dijalankan ke atas mayat mangsa pada Khamis setelah menjalani ujian COVID-19.

Sementara itu, bapa mangsa, Wan Farhan Danial Wan Azmi ketika ditemui redha dengan kejadian menimpa anak bongsunya.

“Pengasuh memang jaga anak saya sejak isteri habis berpantang. Tidak sangka jadi di rumah pengasuh. Pengasuh itu jaga dari anak pertama kami lagi, yang nombor satu dijaga dari umur enam bulan, memang sudah lama.

"Sebelum ini tidak ada da apa-apa yang jadi, kalau demam pun pengasuh akan beritahu, perkara hendak jadi kami tidak boleh hendak salahkan siapa-siapa," katanya.

Sumber ihsan Astro AWANI