Penyanyi Nizam Laksamana jual muruku biaya rawatan isteri

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/07/2021 10:29:00 PG
Nizam dan isterinya, Salwati yang disahkan menghidap kanser payudara, akhir Januari lalu. Foto Ihsan Nizam Laksamana

Penyanyi, Nizam Laksamana menjual muruku bagi menampung kos rawatan isteri, Salwati Zulkifli, 46, yang disahkan menghidap kanser payudara.

Nizam, 55, berkata, dia berusaha mencari wang daripada titik peluh sendiri tanpa meminta bantuan orang lain.

"Saya tidak mahu bergantung kepada bantuan orang. Bukan bermaksud saya sombong, seboleh-bolehnya mahu berusaha sendiri.

"Saya tidak mahu minta bantuan masyarakat kerana ketika pandemik COVID-19, ramai orang susah.

"Alhamdulillah, saya ada simpanan sejak aktif menyanyi. Jadi, Insya-Allah, saya boleh tanggung setakat ini," katanya kepada BH Online.

Nizam juga bersyukur komitmen bulanan seperti pinjaman rumah dan kereta sudah dilangsaikan.

"Tiga anak saya juga sudah bekerja... Semua ini meringankan tanggungan saya," katanya.

Bercerita mengenai kos rawatan isteri, Nizam berkata, proses kemoterapi isteri mampu dibiayai kerana caj dikenakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, tidak mahal.

"Buat masa ini, saya tiada masalah untuk menanggung kos rawatan isteri. Saya juga tidak memohon kepada mana-mana badan kebajikan.

"Namun, pengurusan HKL ada beritahu, saya boleh membuat permohonan di Jabatan Sosial hospital itu dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Ini disarankan doktor kepada semua pesakit yang memerlukan bantuan. Mereka juga beritahu Majlis Kanser Nasional (MAKNA) ada menyediakan peruntukan.

"Jika keadaan memerlukan, saya akan cuba memohon. Sekarang saya perlu kuat bekerja termasuk menjual muruku kerana perlu menanggung kos perubatan yang makin meningkat," katanya.

Nizam berkata, isterinya mula dikesan menghidap kanser pada akhir Januari lalu.

"Ketulan itu sudah lama ada dalam payudara. Silap saya tidak mengambil berat perkara itu kerana isteri tidak sakit.

"Malah, isteri juga tidak mengalami tanda-tanda kanser payudara sehingga kami pulang dari acara hari keluarga. Isteri mula rasa ketulan makin membesar.

"Selepas itu, kami segera membuat pemeriksaan di klinik kerajaan di Gombak. Doktor aturkan temujanji dengan doktor pakar di HKL apabila mendapati ketulan agak besar.

"Selepas membuat pemeriksaan dan imbasan, doktor pakar di HKL mengesahkan isteri saya menghidap kanser payudara dengan ketulan bersaiz 1.6 sentimeter," katanya.

Nizam berkata, isterinya perlu menjalani pembedahan tetapi ditangguhkan berikutan penularan COVID-19.

"Jadi, buat masa sekarang, isteri saya perlu menjalani proses kemoterapi bagi mengecilkan sel kanser," katanya.

Nizam yang popular dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta bersyukur proses kimoterapi isteri dipermudahkan.

"Rezeki isteri saya apabila proses kemoterapi ini dimulakan selepas sebulan menanti. Ini disebabkan doa kawan-kawan yang banyak membantu kami.

"Saya fikir disebabkan kami menyenangkan urusan orang, Allah memudahkan urusan kami pula. Saya nampak hikmah itu sekarang apabila ditimpa musibah," katanya.

Nizam berkata, selepas menjalani proses kemoterapi peringkat pertama pada 3 Mac lalu, isterinya sakit.

"Selepas hari keempat, dia makin merasakan kesannya. Awal pagi kelmarin, dia bangun dan menangis kesakitan.

"Isteri kerap muntah, sakit perut, mual, tak boleh berdiri lama dan baring pun tidak selesa.

"Ini adalah peringkat pertama. Ada lima lagi peringkat proses rawatan yang perlu dilalui.

"Pada peringkat keempat dan kelima, isteri akan menerima dos ubat yang lebih kuat. Saya harap peminat boleh mendoakan agar isteri saya kuat melawan semua ini," kata bekas peserta program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim kedua itu.

Nizam dan Salwati mendirikan rumah tangga pada 1995 dan dikurniakan empat anak yang berusia antara 17 tahun hingga 25 tahun.

Sumber ihsan: BHOnline