Orang Kristian Malaysia boleh guna kalimah Allah dalam penerbitan

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/10/2021 08:16:00 PTG
PEGUAM Lim Heng Seng, Annou Xavier dan pasukan peguam keluar dari Mahkamah Tinggi selepas keputusan kes wanita beragama Kristian (Jill Ireland Lawrence Bill) supaya beliau diberikan hak menyimpan lapan keping cakera padat (CD) mengandungi kalimah Allah. FOTO Saifullizan Tamadi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membuat ketetapan membenarkan penganut agama Kristian di negara ini menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan buku agama selain digunakan dalam pembelajaran mereka. 

Bagaimanapun ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nor Bee Abdullah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan juga memutuskan penganut agama Kristian di negara ini juga boleh menggunakan perkataan Kaabah, Baitullah dan solat dalam penerbitan mereka.

Nor Bee Abdullah membuat ketetapan demikian dalam semakan kehakiman seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill yang mana keputusan itu dilakukan selepas mendapati notis larangan oleh Kementerian Dalam Negeri tidak sah dan terbatal.

Malaysia Gazette melaporkan semakan kehakiman oleh Jill telah berlarutan selama hampir 13 tahun.

Pada 11 Mei 2008, cakera padat berjudul ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’, telah dirampas daripada Jill sebaik beliau tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Susulan daripada itu Jill memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula lapan cakera padat mengandungi kalimah Allah.

Selain itu, wanita tersebut juga meminta relif hak perlembagaan untuk mengamalkan agamanya dilanggar dengan menyekat atau melarang pengimportan bahan pendidikan.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill serta memerintahkan agar kesemua lapan cakera padat itu dipulangkan namun tidak membuat sebarang penghakiman mengenai relif-relif lain yang dimohon.