"PAS menghadap Dr Mahathir minta royalti, tak segan silu"

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/22/2021 03:25:00 PG
Raja Bahrin Shah dan Tengku Razaleigh - Foto SosCili

oleh Raja Kamarul Bahrin Shah

Di mana silapnya komen Tengku Razaleigh anggap PAS 'penjual diri'?

Tengku Razaleigh Hamzah merupakan seorang ahli politik veteran dan ahli parlimen lama berkhidmat. Justeru dia amat disegani serta dihormati di Malaysia.

Tentu ada alasan kukuh untuk seorang tokoh seperti Tengku Razaleigh mengeluarkan kenyataan mengenai sikap PAS yang dilihatnya menjual harga diri itu.

Tengku Razaleigh ada sejarah bekerjasama dengan PAS semasa menerajui Semangat 46 dahulu dan sudah tentu dia sangat mengenali perangai parti berkenaan.

Setakat ini PAS hanya boleh menyatakan mereka akan menghantar surat bantahan atas komen yang dibuat ahli parlimen Gua Musang itu. Dan ia tidak lebih daripada surat saja.

Hal itu kerana kenyataan Tengku Razaleigh agak tepat dan mempunyai banyak hujah yang benar.

Kerjasama di antara Semangat 46 dan PAS mempunyai sejarah tersendiri dan ia pastinya dapat memberi gambaran lebih jelas di mata Tengku Razaleigh.

Sikap sebahagian pimpinan PAS hari ini - terdiri daripada mereka yang dahulunya tidak mengaku menjalin kerjasama sulit dengan Umno kepada Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat - serta ahli ahli biasa kini jelas terbongkar.

Pimpinan yang terlibat itu terlalu rakus mengejar kuasa dan kedudukan dalam kerajaan. Lihat semasa Umno berada di kemuncak kuasa dulu. Mereka sanggup berunding tanpa izin dan pengetahuan Tok Guru Nik Aziz dan ahli biasa.

Main politik 'dua kolam'

Tok Guru Nik Aziz dan ahli PAS begitu marah sehingga Timbalan Presiden PAS ketika itu, Nasaruddin Mat Isa - yang dipercayai menjadi dalang utama usaha tersebut - tewas kepada Mohamad Sabu dalam pemilihan parti.

Seminggu selepas Tok Guru Nik Aziz meninggal, saya sendiri ditegur kerana sering menulis mengenai legasi bekas menteri besar Kelantan itu yang tidak merestui kerjasama PAS dengan Umno.

Semasa seluruh Malaysia dan dunia mengkritik Najib Razak kerana skandal mega 1MDB yang makin jelas, PAS pula bersungguh-sungguh mempertahankan ahli parlimen Pekan itu, malah kadang-kadang lebih daripada sesetengah ahli Umno sendiri. Demi berdamping dengan orang yang berkuasa PAS sanggup berbuat demikian.

Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa daripada BN pula, pimpinan PAS berkali-kali menghadap Dr Mahathir Mohmad pula untuk mendapat royalti secara terus.

Setelah dapat, dikhianati pula tanpa segan silu.

PAS berkomplot dengan Umno, Bersatu serta pengkhianat dalam PH untuk menumbangkan gabungan yang mendapat mandat rakyat untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru.

Ia juga menyaksikan PAS bermain politik 'dua kolam' masing-masing dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional dan Umno melalui Muafakat Nasuional.

Apabila timbul masalah di antara Umno dan Bersatu pula, PAS sekali lagi memilih untuk bersama pihak yang berkuasa iaitu parti perdana menteri: Bersatu.

Jadi kenyataan Tengku Razaleigh yang mengunakan istilah "pelacur politik" yang bermaksud PAS menjual diri dengan harga yang murah tanpa prinsip perjuangan adalah tepat dan konsisten dengan perbuatan parti itu selepas pemergian Tok Guru Nik Aziz.

PAS amat konsisten 'menjual dirinya' demi kuasa semata-mata tanpa memikirkan prinsip perjuangan.

Di manakah konsep negara Melayu - Islam yang dijanjikan apabila cabutan khas judi kembali 22 kali setahun selepas PH menurunkannya menjadi lapan kali setahun?

Begitu juga dengan pembukaan pusat judi dan kasino selain kilang arak di semasa darurat masih berkuat kuasa?

Ke mana perginya perjuangan meminda Akta 355 yang dicanang-canang PAS di Padang Merbok sebelum ini?

Kuasa telah diperolehi tetapi undang undang serta nilai Islam diabaikan demi kuasa di peringkat pusat. Bukan sahaja konsep kerajaan Melayu Islam digadai tetapi PAS menjual harga diri mereka dengan murah sekali.

Justeru di mana salahnya kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah itu?

Ramai orang yang masih dalam PAS serta yang pernah bersama PAS sangat malu dan kesal dengan sikap parti itu yang kini mengadai prinsip perjuangan secara murahan.

Kini rakyat dapat menilai dengan mata mereka sendiri bahawa PAS rela menjual diri kepada tawaran imbuhan yang lumayan serta yang dirasakannya terbaik untuk kuasa.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah pengerusi Amanah Terengganu dan anggota Dewan Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi MalaysiaStyloNews.