Hukuman mati pembunuh Najadi kekal

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/01/2021 06:48:00 PTG
Koong Swee Kwan pembunuh Hussain Najadi pengasas Ambank - Foto NST

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman mati seorang bekas pemandu trak tunda bagi kesalahan membunuh pengasas Arab-Malaysian Bank (AmBank) Hussain Ahmad Najadi pada 2013.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf turut mengekalkan hukuman penjara 18 tahun yang dijatuhkan ke atas Koong Swee Kwan bagi kesalahan cuba membunuh isteri Najadi iaitu Cheong Mei Kuen.

Turut bersidang hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Rahman Sebli dan Hasnah Mohammed Hashim.

Dalam penghakimannya, Rohana berkata pembelaan Koong telah diberi pertimbangan sewajarnya oleh Mahkamah Tinggi namun bukti terhadapnya amat kukuh dan meyakinkan.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Koong, berkata jalan terakhir anak guamnya untuk mendapatkan kebebasan ialah dengan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Pengampunan.

Koong, 52, yang dikenali sebagai Sei Ngan Chai, telah dijatuhi hukuman mati pada 27 Okt 2017 kerana membunuh Najadi, 75, selepas kes itu dibicarakan semula.

Dia turut dijatuhi hukuman penjara 18 tahun kerana cuba membunuh Cheong.

Lelaki itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan di kawasan parkir Kuil Kuan Yin di Lorong Ceylon antara 1.30 tengah hari dan 2 petang pada 29 Julai 2013.

Pada 5 Sept 2014, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Azman Husin telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Koong kerana membunuh Najadi dan penjara 18 tahun bagi kesalahan cuba membunuh Cheong.

Chew Siang Chee pemandu teksi yang membawa pembunuh Koong Swee Kwan menembak mati Hussain Najadi dan cuba membunuh isterinya. - Foto Bernama

Bagaimanapun, pada 14 Dis 2016, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengenepikan sabitan terhadapnya dan mengarahkan kes itu dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi selepas memutuskan Mohd Azman mungkin berprasangka memandangkan dia telah mendengar rayuan seorang pemandu teksi, Chew Siang Chee, yang berdepan pertuduhan memiliki pistol dan peluru.

Chew dikatakan adalah individu yang memandu kenderaan membawa Koong dari lokasi selepas insiden tembakan itu.

Dia telah disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memiliki pistol serta peluru hidup. Bagaimanapun, dia telah dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2015.

Perbicaraan semula kes Koong telah didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ab Karim Ab Rahman (kini Hakim Mahkamah Tinggi).

Terdahulu, Hisyam berhujah bahawa pembelaan anak guamnya tidak dinilai secara adil oleh hakim yang mendengar perbicaraan kes itu seperti dikehendaki undang-undang.

Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi pula berhujah bahawa sabitan terhadap Koong adalah selamat kerana terdapat bukti yang kukuh serta meyakinkan untuk menyokongnya.

Dia berkata hakim Mahkamah Tinggi telah mematuhi Seksyen 182 Kanun Tatacara Jenayah ketika memutuskan bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan yang munasabah.

- BERNAMA

TIADA MOTIF PEMBUNUHAN?