Gubah wang haram, "Terimakasih, tak mengaku salah", kata Zahid di mahkamah

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/09/2021 09:56:00 PTG
Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas satu tuduhan pindaan bagi pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pertuduhan pindaan dibacakan semula kepada Ahmad Zahid, 68, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffry Ong untuk meminda pertuduhan ke-27.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan penambahan bilangan cek daripada 30 keping berjumlah RM6,885,300 kepada 35 keping cek berjumlah RM7,511,250.

Sejurus sebaik pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa terhadapnya, Ahmad Zahid kemudian menjawab mengaku tidak bersalah.

"Saya faham tuduhan ini untuk memberatkan hukuman kepada saya.

"Terima kasih. Tidak mengaku," katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ahmad Zahid didakwa melakukan pengubahan wang haram iaitu membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram dengan mengarahkan seorang saksi yang juga pengurup wang, Omar Ali Abdullah untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 kepada 35 keping cek.

Cek itu kemudiannya diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co. untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Marhaba Enterprise, Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac dan 15 Julai 2016.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama serta memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fahmee Mohamad Nor, 39, memberitahu mahkamah proses penukaran wang tunai berjumlah RM7.5 juta kepada 35 cek adalah aktiviti mencuci duit daripada sumber meragukan.

Saksi ke-95 pendakwaan itu berkata, perkara itu adalah berdasarkan siasatannya terhadap keseluruhan kes membabitkan Ahmad Zahid.

Beliau berkata, hasil siasatan terhadap Omar Ali memaklumkan beliau tidak mengenali individu memberi wang berkenaan sebelum menukarnya kepada cek atas nama Tetuan Lewis & Co iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.

"Omar Ali memberitahu beliau tidak mengenali individu memberi wang berkenaan dan hanya memaklumkan orang itu berpakaian kemas dan ia (pemberian wang) adalah arahan Ahmad Zahid."

Berdasarkan pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid didakwa mengarahkan Omar Ali untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 membabitkan 35 keping cek yang kemudian diserahkan kepada Lewis & Co untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank yang merupakan hasil aktiviti haram.

Menjawab soalan Harris Ong sama ada wang berkenaan adalah sumbangan Yayasan Al Bukhary, Mohd Fahmee menjawab: "Tidak."

"Sepanjang siasatan, saya tidak menemui resit berkaitan sumbangan daripada yayasan itu.

"Yayasan Al Bukhary adalah yayasan besar, namun saya tidak menjalankan siasatan ke atasnya secara mendalam. Saya tidak melihat akaun (yayasan) serta percakapan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Sumber: Harian Metro/Bernama