Bila pemimpin DAP dipuji orang kuat kebanggaan Umno - Kadir Jasin

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/03/2021 07:13:00 PG
Datuk A Kadir Jasin bekas pemimpin Umno yang menyertai Bersatu bersama Tun Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin - Foto Info Rakyat Blog

 Tulisan Kadir Jasin di bawah mengulas pujian pemimpin Umno terhadap pemimpin DAP dan sejarah kemenangan saman fitnah DAP terhadap Umno. 

oleh A Kadir Jasin

1. Orang Melayu, khususnya yang menjadi ahli atau penyokong Umno, jangan marah kalau parti DAP yang mereka panggil DAPig ini hebat.

2. Cuba baca perakuan (endorsement) berikut mengenai salah seorang pemimpinnya iaitu YB Yeo Bee Yin, bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Cuaca kerajaan Pakatan Harapan:

“Saya sekarang mengakui bahawa YB Yeo Bee Yin seorang yang jujur dan telus dalam pengurusan wang Skim Mesra Usia Emas.” 

3. Memang hebat pemimpin DAP ini sebab perakuan tersebut bukan daripada penerima bantuan Skim Mesra Usia Emas atau daripada mana-mana brosur propaganda tetapi daripada seorang orang kuat Umno.

4. Bukan setakat itu saja, hero Umno ini turut memohon maaf kepada Yeo atas perbuatan fitnahnya. “Saya minta maaf, YB Yeo Bee Yin,” katanya.

5. Dia ini bukan alang kepalang wira tetapi wira yang menjadi pujaan dan kebanggaan Umno serta orang Melayu yang seangkatan dengannya. Dia tidak lain dan tidak bukan adalah Datuk Seri Jamal Yunus, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor.

6. Pada tahun 2017 Yeo telah mengemukakan saman malu dengan tuntutan ganti rugi RM5 juta ke atas Jamal kerana memfitnahnya mengenai Skim Mesra Usia Emas.

7. Tapi Jamal tidak keseorangan dalam memohon maaf kerana memfitnah. Banyak lagi pemimpin Umno dan Pas yang kalah kes saman malu oleh musuh politik mereka. Ada yang hanya memohon maaf dan membayar kos mahkamah tetapi ada juga yang kena bayar ganti rugi ratusan dan jutaan ringgit.

8. Malah organisasi media pro-Umno/BN ketika parti itu memerintah pun banyak yang kalah saman malu oleh parti-parti pembangkang dan terpaksa bayar ganti rugi yang besar.


*Datuk A Kadir Jasin adalah tokoh wartawan negara dan bekas ketua pengarang NST juga bekas penasihat media Tun Dr Mahathir. Tulisan yang diambil di Facebook beliau tidak semestinya mewakili pendirian MalaysiaStyloNews.