Berjaya hasil vaksin Covid-19, pasangan saintis dianugerah darjah tertinggi Jerman

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/01/2021 11:18:00 PG
Penghargaan kepada Dr Ugur Sahin dan Dr Ozlem Tureci akan disampaikan oleh Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier di Istana Bellevue pada 19 Mac ini. - Facebook@COVIDDecoded1

Nama saintis Dr Ugur Sahin dan Dr Ozlem Tureci mungkin satu ketika dulu begitu asing bagi masyarakat dunia.

Namun segalanya berubah selepas pasangan itu berjaya menghasilkan ‘penawar’ kepada pandemik COVID-19.

Kejayaan pengasas syarikat farmaseutikal BioNTech itu menghasilkan vaksin COVID-19 pertama dengan keberkesanan lebih 90 peratus dianggap satu perkembangan baharu dalam dunia perubatan, khususnya dalam melawan pandemik yang meragut lebih 2.5 juta nyawa di seluruh dunia, setakat ini.

Susulan sumbangan mereka, Pejabat Presiden mengumumkan pasangan suami isteri itu akan menerima Darjah Kebesaran Merit oleh Republik Persekutuan Jerman.

Menurut kenyataan, Sahin, 56, dan Tureci, 54, dianugerahkan Darjah Kebesaran Merit Komandan Kesatria, iaitu salah satu penghormatan tertinggi yang diberikan oleh Jerman.

Penghargaan tersebut akan disampaikan oleh Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier di Istana Bellevue pada 19 Mac ini.

“Dengan pembangunan vaksin COVID-19 yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa, Tureci dan Sahin memberikan sumbangan besar dalam membendung penularan COVID-19.

“Kedua-dua saintis itu menghubungkan penyelidikan asas perubatan dengan menterjemahkan untuk penggunaan praktikal,” demikian menurut kenyataan itu dipetik Astro AWANI.

Sahin dan Tureci menubuhkan syarikat BioNTech di Mainz, Jerman pada 2008.

Vaksin Pfizer menggunakan teknlogi baharu mRNA sintetik (asid ribonukleik pengutus) yang menghantar arahan genetik kepada sel manusia untuk membina sebahagian daripada koronavirus.

Molekul mRNA berada dalam partikel lemak untuk melindunginya, tetapi ia mudah terurai lebih cepat berbanding vaksin biasa. Oleh sebab itu, ia memerlukan simpanan suhu ultra-rendah.

Setakat ini, Malaysia antara negara yang menerima vaksin Pfizer, dengan penghantaran kumpulan pertama sebanyak 312,390 pada 21 Februari lalu.

Dr Ugur Sahin dan Dr Ozlem Tureci pencipta vaksin Covid-19 - Foto agensi 

Tahukah anda, vaksin Pfizer adalah hasil usahasama syarikat milik Dr Ugur Sahin, seorang pakar onkologi dengan PhD dalam bidang ‘oncology chemotherapy’. 

Beliau telah mengabdikan hidup mereka dalam bidang onkologi dan penyakit berjangkit. Bahkan sudah bertahun-tahun dalam penyelidikan rawatan imunoterapi khusus untuk penyakit kanser.

Dalam mausim pandemik Covid-19 ini mereka memutuskan untuk mencipta satu vaksin yang boleh mencegah daripada jangkitan virus Covid-19 ini.

Pengasas Vaksin Pfizer ini merupakan orang Turki yang beragama Islam. Dr Ugur Sahin yang berhijrah ke Jerman semasa usia masih kecil dan belajar bersama-sama seorang doktor wanita iaitu Dr Ozlem Tureci yang juga berketurunan Turki.

Difahamkan, vaksin ini menggunakan teknologi mRNA iaitu bebas daripada khinzir dan ia hasil daripada penyelidikan di syarikat BioNTech milik beliau dan syarikat Pfizer. Pada asalnya, makmal ini hanya menumpukan kajian imunoloterapi dalam pasakit kanser.

Memetik daripada laporan CNN mengatakan bahawa 90 peratus daripada calon sukarelawan vaksin Pfizer berkesan menggunakan ubat ini sebelum dipasarkan ke dunia.

“Saya rasa mesej ini sangat penting untuk masyarakat dunia tentang kepentingan vaksin ini sangat berkesan untuk mencegah Covid-19,” jelasnya pada wartawan CNN.

Untuk pengetahuan anda, pasangan suami isteri ini antara individu yang terkaya di Jerman dengan nilai aset sebanyak RM 20 billion. Menariknya, walaupun mereka adalah billionair, namun mereka tidak memiliki kereta dan hanya menggunakan basikal untuk ke tempat kerja.

Dr Sahin dan Dr Tureci sama-sama menanam minat untuk penyelidikan tentang kanser dan imunisasi badan manusia.

Sehubungan dengan itu, BioNtech telah menugaskan 500 kakitangannya untuk berganding bahu bersama-sama dua pasangan ini untuk mengkaji vaksin yang bersesuaian untuk melawan Covid-19.

Menurut Dr Sahin, tujuan BioNTech berkolaborasi bersama Pfizer adalah untuk meningkatkan produksi vaksin ini dan berharapdapat menghasilkan 1.3 millian dos pada akhir tahun 2021 ini.