Azeez Rahim gagal batalkan 13 dakwaan rasuah, gubah wang haram

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/12/2021 08:40:00 PTG

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim gagal batalkan 13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram. - Foto ihsan BHOnline

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tidak berjaya dalam usahanya memohon membatalkan sebanyak 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya hari ini, lapor Malaysia Gazette.

Permohonan Abdul Azeez yang juga bekas Pengerusi Tabung Haji itu ditolak ditolak Mahkamah Tinggi pagi ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan demikian kerana semua pertuduhan terhadap suspek telah mengikut lunas undang-undang dan tidak boleh dipertikaikan.

Kata Muhammad Jamil, tertuduh juga tidak dapat membuktikan pertuduhan terhadap dirinya berniat jahat atau malafide.

Malah beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatan dengan baik.

“Pada pendapat saya, kes ini tidak wajar sama sekali untuk mahkamah ini menggunakan kuasa untuk bebaskan tuduhan terhadap pemohon.

“Pemohon juga tidak berjaya buktikan tuduhan terhadapnya tidak tepat dan salah guna proses mahkamah. Permohonan ini ditolak,” katanya dipetik MalaysiaGazette.

Peguam mewakili Abdul Azeez, Ameer Hamzah Arshad kemudian bangkit memberitahu pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Pasukan pendakwaan kes berkenaan diketuai Timbalan Pendakwaraya, Aslinda Ahad.

Perbicaraan terhadap Abdul Azeez akan bersambung pada Isnin ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi.

Abang tertuduh, Abdul Latif Abdul Rahim dijangka akan memberi keterangan ketika perbicaraan yang sama.

Bekas Pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Rahim ketika ini sedang berhadapan dengan 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak iaitu melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.