Anak lapor polis ayah sendiri cabul cucu

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3/07/2021 03:03:00 PTG
JOHOR BAHRU: Seorang warga emas ditahan polis kerana disyaki mencabul cucunya yang berusia lapan tahun, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor, Superintendan Fariz Ammar Abdullah, berkata suspek yang berusia 74 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.50 petang semalam di rumah keluarganya.

Beliau berkata, warga emas itu dipertanggungjawab menjaga tiga cucunya yang berusia 10, lapan dan empat tahun ketika ibu bapanya bekerja.

Bagaimanapun, katanya warga emas itu mengambil kesempatan terhadap seorang daripada cucunya itu ketika ibu bapa kanak-kanak berkenaan keluar berniaga.

"Bapa mangsa membuat laporan polis selepas mendapat tahu anaknya dicabul ayahnya sendiri di sebuah bilik di kediaman keluarga berkenaan di Skudai.

"Siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan terkutuk itu sebanyak tiga kali terhadap cucunya.

"Susulan laporan polis dibuat bapa mangsa, kanak-kanak itu dibawa ibunya melakukan pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk pemeriksaan.

"Hospital mengesahkan terdapat kesan koyakan pada selaput dara alat sulit mangsa yang diakibatkan benda tumpul. Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan susulan dari pakar kaunseling dari Unit Psikiatri HSA," katanya seperti dilapor BHOnline.

Fariz Ammar berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

"Ia membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dengan sebatan. Kita akan dapatkan perintah reman dari Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini," katanya.