Zuraida kini bergelar Datuk, terima darjah kebesaran sempena Hari Wilayah 2021

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/01/2021 06:18:00 PTG

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin adalah antara menteri Kabinet yang menerima darjah kebesaran Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021. - foto FMT

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin adalah antara menteri Kabinet yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, selain Zuraida, Menteri Kanan (Pendidikan) Mohd Radzi Md Jidin turut menerima darjah kebesaran sama, iaitu darjah kebesaran pangkat ketiga, Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk.

Manakala itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pula dianugerahkan Darjah Kebesaran Pangkat Pertama, iaitu Seri Utama Mahkota Wilayah, yang membawa gelaran Datuk Seri Utama bersama-sama dengan lima penerima lain, antaranya Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin dan isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ragard Kurdi Taib.

Bagi Darjah Kebesaran Pangkat Kedua, iaitu Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri, antara anggota Kabinet yang menjadi penerimanya adalah Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan.

Selain itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Dr R Santhara Kumar, yang juga anggota Pusat Pengurusan Krisis Jawatankuasa Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan pula dianugerahi Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah atas sumbangannya memainkan peranan penting dalam memerangi wabak Covid-19.

“Bagaimanapun, tarikh penyempurnaan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2021 sedang ditentukan mengambil kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19 dan akan dimaklumkan kepada penerima,” katanya.

Jumlah keseluruhan penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan adalah seramai 335 orang, dengan 6 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Pertama, 24 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Kedua, 81 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga.

“Seterusnya, 49 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Keempat, 76 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Kelima, 31 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Keenam dan 68 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketujuh,” katanya. - Bernama


KLIK BACA: Siapa Lyiana Roslee isteri ahli politik yg boleh digantung edar ganja?

BACA LANJUTTommy dedah siapa Mahathir fakta mengejutkan - Dr Kamarul