Sabah: Buaya ‘bandar’ masuk perangkap selepas sebulan diami longkang

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/04/2021 10:01:00 PTG

 KOTA KINABALU: Petugas hidupan liar akhirnya berjaya menangkap seekor buaya yang lebih sebulan mendiami longkang monsun di seberang sebuah taman joging di sini, lapor FMT.

Renjer unit penyelamat hidupan liar negeri memerangkap reptilia sepanjang 2m itu di Taman Ujana Rimba Tropika semalam.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuugan berkata, buaya itu kali pertama dilihat di kawasan berkenaan Disember lalu.

“Kami menerima laporan buaya itu berjemur di beberapa struktur pilon plastik di seberang taman itu,” katanya dalam kenyataan.

Buaya itu ditangkap di longkang berkenaan yang bertentangan dengan bangunan Wisma Muis.

Tuuga berkata, insiden konflik antara buaya dan manusia meningkat di Sabah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sambil menambah, beberapa kejadian mengakibatkan kematian manusia.

“Ini disebabkan oleh peningkatan populasi buaya hasil program pemuliharaan yang berkesan sepanjang 30 tahun ini,” katanya.

Sen Nathan, yang mengetuai unit penyelamat hidupan liar, berkata, ada yang ingin jabatan hidupan liar tidak mengganggu reptilia itu.

“Mereka menyuruh kami memasang tanda untuk memberi amaran kepada orang ramai tentang buaya itu tetapi, sayangnya, ini tidak akan berkesan di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu,” katanya

Longkang monsun itu bersambung dengan sistem saliran di kawasan perumahan di kawasan Luyang dan Foh Sang yang berdekatan.

“Haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing akan menjadi ‘fair game’ untuk reptilia ini,” katanya.

“Apabila buaya itu bertambah besar, ia akan menjadi risiko serius bagi anak kecil dan orang dewasa. Inilah sebabnya mengapa buaya ini harus dipindahkan dari lokasi tersebut.”