Mahkamah akan bicarakan kes Puncak Niaga saman RM13.5 bilion bekas menteri besar, kerajaan Selangor

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/12/2021 12:28:00 PTG
Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan Selangor disaman berhubung penstrukturan semula industri air negeri itu. - Foto The Patriot

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memerintahkan kes saman berjumlah RM13.5 bilion difailkan Puncak Niaga Holdings Berhad terhadap bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri berhubung penstrukturan semula industri air negeri itu dibicarakan.

Ini selepas panel tiga hakim dipengerusikan hakim Hanipah Farikullah membenarkan rayuan Puncak Niaga untuk menterbalikkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman syarikat itu terhadap Khalid dan kerajaan Selangor.

Bagaimanapun Hanipah yang bersidang bersama Vazeer Alam Mydin Meera dan S Nantha Balan, menolak rayuan Puncak Niaga berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman terhadap Mohamed Azmin Ali dalam prosiding yang berlangsung menerusi Zoom hari ini.

Hakim itu berkata, mahkamah mendapati elemen “tort misfeasance” (salah guna kuasa) di pejabat awam tidak dibuktikan secukupnya terhadap Azmin selaku defendan kedua dalam saman tersebut.

“Sehubungan itu, rayuan ditolak dengan kos RM10,000,” katanya.

Panel hakim bagaimanapun berpuas hati pihak perayu mengemukakan alasan yang munasabah terhadap Khalid sebagai defendan pertama berhubung salah guna kedudukan di pejabat awam.

“Mengenai isu pembatasan bawah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam, kami berpendapat perkara ini merupakan persoalan perundangan yang penting yang perlu dibincangkan lebih mendalam.

“Berdasarkan pandangan itu, ada kekhilafan oleh yang arif hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir yang mewajarkan intervensi perayu.

“Sehubungan itu, rayuan oleh Puncak Niaga dibenarkan. Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam diketepikan. Kes ini akan dibicarakan dan pengurusan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 18 Feb,” katanya.

Panel hakim itu membuat keputusan selepas mendengar hujahan peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Puncak Niaga; Edmund Bon Tai Soon bagi pihak Khalid dan N Surendran mewakili Azmin manakala Penolong Penasihat Undang-Undang Selangor Nur Irmawatie Daud mewakili kerajaan negeri itu.

Puncak Niaga merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Feb 2018 yang membatalkan saman syarikat berkenaan terhadap Khalid, Azmin dan kerajaan Selangor.

Dalam saman difailkan pada 2017 itu, Puncak Niaga mendakwa Khalid dan Azmin menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengancam untuk menyebabkan kerajaan persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan menuntut ganti rugi, faedah ke atas ganti rugi dan kos berhubung kehilangan peluang perniagaan di dalam dan luar negara, berjumlah RM13.5 bilion.

Khalid dan kerajaan Selangor memohon Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu dan dalam permohonannya, Khalid berkata tindakan Puncak Niaga terhadapnya dibuat atas dakwaan salah guna kuasa di pejabat awam sedangkan beliau bukan penjawat awam menurut undang-undang berkaitan seperti Akta Prosiding Kerajaan 1956, Akta Tafsiran 1948 & 1967, Undang-Undang Perlembagaan Selangor 1959 dan Perlembagaan Persekutuan. - Bernama