KP kesihatan nafi beri vaksin pada ‘influencer’, berita palsu akan diambil tindakan

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/25/2021 06:06:00 PTG
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemberian vaksin akan diberi mengikut keutamaan seperti dinyatakan sebelum ini. - Foto Bernama

Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan Hospital Serdang akan memberikan vaksin kepada “influencer” esok.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan laporan sebuah portal berhubung perkara itu adalah palsu dan tidak benar.

“Semakan awal dengan Hospital Serdang mendapati bahawa sebagai menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak buah di hospital, pihak hospital bercadang untuk memberi vaksin Covid-19 kepada beberapa orang ketua jabatan klinikal selain anggota barisan hadapan yang lain.

“Ketua jabatan klinikal adalah pakar perunding klinikal bidang masing-masing dan sememangnya terdedah kepada risiko Covid-19 dan kerap mempunyai kontak dengan pesakit mahupun waris semasa menjalankan tugasan,” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata, KKM menegaskan pemberian vaksin akan diberi mengikut keutamaan seperti dinyatakan sebelum ini.

Katanya, “memotong barisan” bagi mendapatkan vaksin adalah tidak dibenarkan dan ia akan disiasat untuk tindakan.

“Pihak media dinasihatkan untuk berhati-hati ketika membuat laporan dan hanya melaporkan perkara yang disahkan benar.

“KKM berharap laporan palsu seperti ini dapat diambil tindakan segera oleh pihak berwajib bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya yang turut menasihat orang ramai juga dinasihatkan untuk menyemak dahulu sebarang berita sebelum menyebarkannya.