"Tak boleh agenda politik jika Parlimen bersidang semula"

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2/20/2021 03:51:00 PG
Muhyiddin Yassin ketika menghadiri sidang dewan rakyat Parlimen - Foto ihsan BorneoPost

Pemerhati politik berpendapat, persidangan Dewan Rakyat boleh diteruskan, sekiranya anggota parlimen tidak mempunyai motif politik dan hanya memfokuskan isu rakyat.

Penganalisis politik Azmi Hassan, masalah timbul apabila persidangan Parlimen digunakan untuk menekan keabsahan kerajaan yang didakwa sudah hilang majoriti.

“(Persidangan Parlimen) tak jadi masalah. Masalahnya apabila ia digunakan untuk tujuan politik bukan untuk semak dan imbang bagi tangani pandemik (Covid-19).

“Tetapi untuk tekan perdana menteri supaya letak jawatan, bubar parlimen, (dcengan alasan) kerajaan tak cukup majoriti dan sebagainya,

"Sekiranya setiap anggota parlimen dapat mengemukakan surat akujanji untuk tidak membahas soal isu keabsahan kerajaan, maka tidak mustahil persidangan boleh diteruskan.

“Kalau ahli parlimen boleh buat surat akujanji supaya sidang diadakan dan mereka tidak akan biarkan ia gelumang dengan agenda politik. Jadi tak perlu digantung (persidangan Dewan Rakyat).

“Kita perlukan anggota parlimen untuk membahas isu kesihatan awam dan cara penyelesaian untuk tangani isu tersebut,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Bekas pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Dr Jeniri Amir, dilapor Malaysiakini turut berpendapat, persidangan Parlimen boleh diadakan sekiranya wakil rakyat fokus untuk hanya membahaskan lima isu utama, iaitu isu Covid-19, keselamatan, pendidikan, rakyat, dan polisi.

Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya menjelaskan, amat wajar sidang Dewan Rakyat dilaksanakan secepat mungkin.

“Rakyat sendiri berasa pelik kerana banyak pembukaan pelbagai sektor dibenarkan namun parlimen yang khusus 222 ahli parlimen tidak dibenarkan. Akibat daripada ini ramai beranggapan tindakan ini lebih bermotif politik.

“Sebaliknya jika tak mahu laksana sidang Parlimen yang akan timbulkan isu seperti perdana menteri dan Perikatan Nasional (PN) cuba elak berdepan isu keabsahan,” katanya dipetik Malaysiakini.

Pemerhati politik Arif Anwar Lokmanol Hakim pula berkata, tiada masalah sekiranya kerajaan ingin meneruskan sidang Parlimen tetapi ia terletak di tangan Muhyiddin.

Ketika ini, negara berada di bawah darurat susulan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 12 Jan lalu bagi membendung pandemik Covid-19 di negara ini. Ia berkuat kuasa dari 11 Jan hingga 1 Ogos nanti.

Susulan itu, sidang parlimen, dewan undangan negeri (DUN) dan pilihan raya - termasuk pilihan raya umum, negeri atau kecil - tidak akan diadakan sepanjang perintah darurat berkuat kuasa.

Bagaimanapun, pengkritik menuduh Muhyiddin menggunakan darurat untuk terus berkuasa setelah didakwa hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Perkembangan itu juga hadir ketika beberapa wakil rakyat Umno menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Anggota Parlimen BN, Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) sebelum ini mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan diikuti Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) serta Nazri Aziz (Padang Rengas).