Dulu kerja dari Hotel, kini boleh tempah hotel untuk 'kuarantin' - Covid-19

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/31/2021 06:02:00 PTG
Tawaran Pakej Kuarantin oleh Eastin Hotel KL - Foto Facebook

KUALA  LUMPUR - Hotel terkemuka cuba menarik pelanggan dalam menghadapi wabak Covid-19 dengan menawarkan penginapan kepada mangsa positif yang sedang menjalani kuarantin.

The Eastin Hotel di Kuala Lumpur kini mempromosikan pakej kuarantin selama tujuh hari sehingga dua minggu dengan menyediakan perkhidmatan termasuk menghantar makanan yang dibungkus ke bilik pelanggan.

Perkembangan ini berlaku ketika jumlah kes Covid-19 semakin meningkat dan langkah kerajaan membenarkan individu yang tidak bergejala tinggal di rumah untuk menjalani kuarantin.

Sebelum ini, banyak hotel menyediakan pakej 'bekerja dari hotel' bagi mereka yang mahu menukar suasana bekerja dari rumah.

Kelonggaran sekatan perjalanan rentas negeri dikatakan bakal memberi nafas baru bagi industri perhotelan.

Portal Free Malaysia Today melaporkan ketua eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng berkata, kadar tempahan kebanyakan hotel jatuh ke bawah 20 peratus selepas PKP 2.0 diumumkan.

“Setelah mengalami kerugian selama hampir setahun, keadaan sekarang adalah lebih buruk.

“Hotel terpaksa membuat keputusan segera. Ia mungkin tidak mampu menunggu keputusan kerajaan sama ada PKP akan dilanjutkan atau sebaliknya. Ketidakjelasan itu menyukarkan perancangan,” katanya seperti dilapor.

Setiausaha agung Kesatuan Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia Rosli Affandi yang berkata, lebih 8,000 ahli kesatuan itu kini terhimpit.

Menurutnya, ramai kakitangan belum mendapat gaji mereka dan terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama tiga hingga empat bulan.

“Ramai pekerja hotel kini dilanda kemiskinan. Mereka membuat hingga tiga kerja sekali gus, menjual kuih dan pelbagai kerja sambilan hanya untuk hidup," katanya dipetik FMT.