Anwar merayu hantar senarai MP kepada Agong, keputusan bersama PH, kata Mat Sabu

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/28/2021 07:53:00 PTG
Lim Guan Eng - DAP dan Mohamad Sabu - Amanah sokong Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim merayu Agong menarik balik perisytiharan darurat serta sidang Parlimen diadakan segera. - Foto Twitter

Presiden Amanah Mohamad Sabu menjelaskan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bersetuju dengan keputusan Anwar Ibrahim menghantar senarai Ahli Parlimen menolak pelaksanaan darurat dan Parlimen bersidang segera kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Tindakan Anwar menghantar nama-nama majoriti MP (Ahli Parlimen) yang menyokong beliau kepada Agong dan tindakan tiga ADUN dari Johor, Perak dan Kedah menyaman Muhyiddin Yassin atas nasihat yang salah untuk dilaksanakan darurat adalah keputusan bersama PH,” tulisnya di Twitter.

Kenyataan Mohamad atau Mat Sabu itu menyusul selepas polis berkata, mereka sedang menyiasat Anwar berhubung kenyataannya merayu Agong membatalkan perisytiharan darurat.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Anwar difahamkan telah menghantar senarai 99 Ahli Parlimen, terdiri daripada PH, Pejuang dan beberapa parti di Sarawak kepada Agong pada 19 Jan lalu, sementara Warisan menghantar senarai berasingan.

Pada 14 Jan lalu, Anwar memaklumkan beliau sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah membatalkan pelaksanaan darurat dan sidang Parlimen segera diadakan.

Ia disusuli tindakan Anwar memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung peranan perdana menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen pada 25 Jan lalu.

Selasa lalu, tiga wakil rakyat PH memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap peranan perdana menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta semua Dewan Undangan Negeri.

Pada 12 Jan lalu, Agong memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika angka kes Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Anwar pada 23 Jan lalu mendakwa 114 atau 115 Ahli Parlimen menolak usul darurat daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, jumlah itu mencukupi dan meminta Agong mempertimbangkan usul itu serta segera memanggil Parlimen bersidang.