Amerika hantar kapal perang ke laut Cina Selatan berdepan pesawat pengebom China

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/26/2021 01:00:00 PG
Gambar fail menunjukkan kapal perang AS, USS Theodore Roosevelt. - Foto AFP

TAIPEI: Amerika Syarikat (AS) menghantar armada kapal tentera penyerang USS Theodore Roosevelt ke Laut China Selatan kelmarin sejurus selepas 13 pesawat pengebom China menghampiri ruang udara Taiwan.

Ia dilihat sebagai mesej jelas pentadbiran Presiden baharu AS, Joe Biden, kepada China ketika hubungan antara kedua-dua negara berada pada tahap terburuk.

Bagaimanapun, tidak dapat disahkan sama ada pergerakan pesawat China menghampiri Taiwan dan USS Theodore Roosevelt memasuki Laut China Selatan itu ada kaitan.

Bagaimanapun, gambar satelit dan laman sesawang penjejakan menunjukkan kapal perang AS itu melintasi Saluran Bashi antara Taiwan dan Filipina pada hari yang sama.

Namun, USS Theodore Roosevelt berada pada jarak yang mampu dicapai oleh pesawat perang China yang dilengkapi peluru berpandu anti-kapal YJ-12.

Pentadbiran tentera AS di Indo-Pasifik, dalam satu kenyataan semalam, berkata angkatan laut itu sedang dalam perjalanan berjadual bagi menyertai Armada AS Ke-7 (US 7th Fleet) dalam operasi 'memastikan kebebasan di laut'.

Menurut kenyataan sama, armada itu melakukan 'operasi keselamatan maritim meliputi penerbangan pesawat, latihan serangan maritim dan latihan taktikal yang diselaraskan antara unit darat serta udara.

Terdahulu, itu, Kementerian Pertahanan Taiwan memaklumkan, lapan pengebom H-6K China, empat jet pejuang J-16 dan sebuah pesawat anti kapal selam Y-8 memasuki ADIZ.

China, yang mendakwa Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, melakukan penerbangan hampir setiap hari berhampiran pulau itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kebiasaannya membabitkan pesawat pengawasan.

Bagaimanapun, jumlah besar kontinjen pada Sabtu lalu dan kehadiran pengebom adalah sesuatu yang di luar kebiasaan.

Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, tenteranya memberi amaran kepada pesawat China dan menempatkan peluru berpandu untuk memantau mereka.

Washington mengecam Beijing atas tindakan itu dan mengkritik 'usaha Republik Rakyat China (PRC) menakut-nakutkan jirannya'.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price, dalam satu kenyataan, menegaskan pihaknya mendesak Beijing menghentikan tekanan ketenteraan, diplomatik dan ekonominya terhadap Taiwan.

"Sebaliknya, adakan dialog dengan wakil rakyat Taiwan yang dipilih secara demokratik.

"Kami (AS) akan membantu Taiwan dalam mengekalkan keupayaan pertahanan diri yang mencukupi," katanya. - AGENSI