oleh Shahbudin Husin

Datuk Seri Johari Abdul Ghani, atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan Kedua, adalah tumpuan terbaru dalam kemelut yang belum menemui titik nokhtahnya berhubung penyelesaian luar mahkamah antara 1MDB dan IPIC.

Beberapa kenyataannya yang berbeza nada segera menimbulkan persoalan, apakah isi hati beliau yang sebenarnya, setujukah beliau dengan penyelesaian antara 1MDB dengan IPIC dan jika apa yang berlaku sekarang berlawanan dengan prinsip dirinya, apakah yang akan dilakukannya selepas ini?

Ketika berita awal masih dalam bentuk khabar angin berkenaan penyelesaian luar mahkamah itu, Johari lantas mengatakan beliau dan Kementerian Kewangan sama sekali tidak terlibat dalam perundingan tersebut.

Semuanya, kata beliau, dilakukan oleh pihak 1MDB dengan dibantu pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri.

Advertisement

Ia lantas menimbulkan rasa pelik lagi hairan kerana 1MDB itu sendiri terletak di bawah Kementerian Kewangan.

Kemudian, apa pula peranan dan keperluan pegawai daripada Pejabat Najib Razak terlibat dalam rundingan dengan IPIC itu.

Siapa yang diwakilinya dan apa mandat yang dibawanya dalam mesyuarat untuk mencari titik penyelesaian yang akhirnya membuatkan 1MDB seperti melupakan wang lama berjumlah AS$3.5 bilion yang hilang serta sanggup mengeluarkan wang baru dengan jumlah yang sama untuk membuat bayaran kepada 1PIC?

Ketika penyelesaian sudah sah dan menjadi berita diseluruh dunia, Johari sekali lagi bersuara dengan mendedahkan terdapat bukti yang mengesahkan Aabar BVI adalah anak syarikat IPIC.

Malah kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu lagi, berdasarkan rekod yang dibekalkan 1MDB kepada PAC sebelum ini, syarikat pelaburan milik kerajaan itu juga mengesahkan Aabar BVI ialah anak syarikat IPIC.

“Fakta itu kemudian disahkan lagi oleh Pendaftar Hal Ehwal Korporat British Virgin Islands melalui suratnya bertarikh 11 Ogos 2016,” kata Johari.

Berdasarkan bukti-bukti yang dimiliki itulah, tegas Johari, Kementerian Kewangan bertegas dengan pendirian untuk menuntut keadilan di Tribunal Timbangtara Antarabangsa sejak awal lagi.

Berdasarkan dua kenyataan itu, sepertinya Johari tidak bersetuju dengan langkah penyelesaian luar mahkamah yang dicapai antara 1MDB dengan IPIC itu.

Namun demikian, disebalik Najib tidak berkata apa-apa dan pihak media juga mungkin dilarang bertanya soalan mengenainya, semua makhluk di dunia ini tahu bahawa Petdana Menteri pasti gembira dengan penyelesaian yang telah dimuktamadkan itu.

Johari pun tentunya tahu dan faham perkara itu.

Dengan tiada prosiding timbangtara, bermakna banyaklah perkara yang sepatutnya terdedah dapat disembunyikan. Bersetuju membuat pembayaran barangkali bukanlah masalah kerana ia bukan menggunakan duit poket mereka. Ia boleh jadi duit kita semua yang hari-hari membayar cukai GST.

Namun demikian, diselami dengan lebih mendalam berikutan wujud sedikit keberanian dalam diri Johari dari segi terus bersuara, meskipun beliau sedar kedudukan dan jawatannya adalah atas perlantikan Najib, apakah isi hatinya yang sebenar ketika ini?

Apakah beliau selamanya tidak setuju dengan langkah penyelesaian dan sekarang seolah-olah meletakkan kesalahan kepada Najib berkenaan dengannya?

Berbeza dengan Najib yang diperkatakan terlibat secara langsung, tidak langsung, sipi-sipi, depan belakang dan kiri kanan berkaitan 1MDB, Johari sebaliknya tidak terkait sama-sekali dan hanya dilantik menjadi Menteri Kewangan Kedua untuk menggantikan Husni Hanadzlah pada 2015 lalu.

Oleh itu, atas kedudukan dan jawatannya, Johari mungkin benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat dan negara berdasarkan ilmu dan pengalaman melalui jawatan menteri yang disandangnya.

Dalam hal ini, Johari tidak harus sekadar memberi kenyataan seolah-olah tidak setuju dan menunjukkan beliau berbeza semata-mata jika nalurinya sedang berkecamuk dan memberontak tika ini.

Beliau perlu terus bersuara dan bercakap berdasarkan suara hati atas nama kebenaran serta takutkan Tuhan.

Jika ada yang tidak kena, merasakan penyelesaian itu semata-mata kerana kehendak Najib dan bukan demi kepentingan rakyat serta negara dan atas sebab itu juga Kementerian Kewangan disisihkan dalam perundingan, adalah amat terpuji untuk Johari meluahkan segala-galanya secara terbuka dan kemudian meletakkan jawatan dengan segera.

Beliau pasti disanjung dan dikenang atas perjuangannya, malah seluruh rakyat Malaysia akan berbangga dengan prinsipnya berbanding jika hanya berani mengeluarkan kenyataan sekali dua, tetapi selesa dan nyaman berada dalam kelambu yang sama.

*Shahbudin Husin adalah penulis buku politik terkenal. Artikel adalah pendapat peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili pendirian MalaysiaStyloNews.

KLIK BACA: ‘Jika KM penjawat awam, adakah PM kuli?’ – Tun Mahathir

KLIK VIDEO GAMBAR: Ribut landa Muktamar PAS di Kedah

KLIK BACA: Saman Mahathir batal kerana Najib bukan penjawat awam, apa kata Aziz Bari?

KLIK BACA: PKR AMANAH anggap patung monyet hina HADI cubaan SABOTAJ

KLIK BACAKenapa 1MDB selesai di luar mahkamah kalau di tangan sudah ada bukti?

KLIK BACA: Johari Ghani berdirilah dengan berani, 1MDB bukan bayar duit poket mereka

KLIK BACA: Mufti setuju CUKAI GST HARAM!

KLIK BACA: Kerajaan mahu saya kenakan Mahathir, kata Anwar

Advertisement

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share